Tuesday, January 25, 2011

Penjajahan kebudayaan, Muhyiddin perlu waspadai American Peace Corps

Oleh H FANSURI

Menteri Luar Negara Amerika Hillary Clinton berada di Malaysia untuk membahas hubungan Malaysia dengan Amerika. Sebenarnya, Hillary bukan datang ke Malaysia sahaja. Dia datang Asia.

Sebelum tiba di Malaysia, beliau tiba dari Kemboja. Beliau Menteri Luar Negara Amerika melakukan kunjungan bilateral di Malaysia sejak Warren Christopher tahun 1995.

Kini kapitalis Amerika sedang mengirim seorang wanita untuk menusuk jarum penjajahan secara halus.

Amalan, dasar dan prinsip kapitalis sudah bermula sejak Syarikat Hindia Timur berpengkalan di India. Ketika penjajahan Thai dan British bermula di Tanah Melayu, Kedah menyerahkan Pulau Pinang untuk mendapatkan perlindungan British daripada serangan Thai.

Tetapi Francis Light juga bersikap curang. Setelah menduduki Pulau Pinang, beliau menyerahkan Anna seorang isteri rakannya kepada Raja Thailand di Bangkok untuk mengajar bahasa Inggeris.

Anna tidak cuma mengajar hal-ehwal bahasa, malah mengajar kebudayaan Inggeris supaya Thailand itu dapat menerima penjajahan kebudayaan dengan lebih mudah. Thai menurut kata sejarah, tidak dijajah.

Hakikat sebenarnya ia tetap dijajah, tetapi tidak dijajah melalui politik dan kekerasan militan. Ia seperti Johor yang dikatakan tidak dijajah kerana menerima banyak sistem British. Di sini, Johor dan Thai ada persamaan, mereka seperti tidak dijajah negerinya, tapi dijajah kebudayaan dan sistem pentadbirannya.

Hillary seperti Anna?

Penjajahan juga bermula dengan bahasa. Apabila Jepun menduduki Tanah Melayu, Jepun memaksakan bahasa Nippon dipelajari oleh penduduk peribumi. Jadi kisah Anna dikirim ke Thailand seperti paparan filem Anna and The King, The King and I untuk belajar bahasa adalah langkah penjajahan di Asean.

Seperti permuafakatan British dengan Thailand untuk menjajah Melayu maka di Champa, Perancis pun melakukan hal yang sama, iaitu bermuafakat dengan Khmer dan Viet guna menyisihkan Melayu Cam.

Hari ini, Amerika melaksanakan hal yang sama. Ia adalah proses sejarah yang berulang-ulang. Jabatan Luar Negara Amerika mengeluarkan kenyataan bahawa pertemuan Hillary di Malaysia menunjukkan betapa pentingnya dialog Amerika dengan kawasan di rantau Asean di situ.

Kenyataan itu menyebut bahawa Washington sedang mengusahakan kerjasama dengan Kuala Lumpur berhubung hal perdagangan, ilmu, pendidikan, Afghanistan dan larangan berdagang senjata pemusnah.

Sementara itu, di Boston, pada 12 Januari lalu tersiar laporan mengenai Program Sukarelawan Amerika Syarikat (American Peace Corps), yang dicadangkan Najib Razak untuk dilaksanakan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di Asean.

Sekali lagi, Hillary yang memegang watak Anna zaman pasca moderen ini dikirim Amerika bertujuan meluaskan ufuk penjajahan. Muhyiddin singgah di Boston tanpa terfikir peristiwa Jamuan Teh Boston lalu antara hal yang lama dirancang Freemason dalam rangka penjajahan Amerika suatu ketika dahulu.

Tapi pertemuan itu berlangsung jua. Tidak terfikir langsung di benak fikiran Muhyiddin tentang sejarah ini. Kepada pemberita, Muhyiddin cuma mengangguk lalu berkata, beliau akan mendapatkan maklumat berhubung bilakah program pembelajaran bahasa itu dapat dimulakan.

"Sambutan setakat hari ini (terhadap pelan program itu) baik dan ini peluang untuk kita menyusul balik (tentang) bila rancangan itu dapat dimulakan,” katanya kepada wartawan.

Muhyiddin, diiringi isterinya di Amerika Syarikat dalam rangka lawatan kerja enam hari ke Boston dan Washington. Dalam masa yang sama isteri Najib Razak bersikap Menteri Pelajaran pula apabila beliau 'melancong' ke Arab Saudi tanpa Najib Razak di sisinya.

Sebenarnya, pada September tahun lepas, Najib Razak pernah berucap di New York dalam persidangan PBB. Di depan pimpinan Asean dan Presiden Amerika Barack Obama Najib Razak mengesyorkan agar Program Sukarelawan American Peace Corps itu dapat dilaksanakan di rantau ini.

Kita julang bahasa baku, fus'ha

Ya, dan hari ini bahasa Inggeris Amerika mahu diajar pula sedangkan kita sudah menerimapakai bahasa Inggeris mengikut ejaan, sebutan Britain. Guru-guru Malaysia patutlah menentang sikap Muhyiddin ke atas dasar pengajaran bahasa Inggeris ala Amerika Syarikat ini.

PIBG, ibubapa guru-guru dan setiap ahli masyarakat perlu sedar bahawa bahasa Inggeris Amerika akan menjadi alat penjajahan yang merosakkan fikiran kerana akal memerlukan bahasa untuk berfikir.

Penjajahan tidak hanya muncul atas nama militer, senjata api dan bom C4. Malah, ia boleh jadi muncul melalui ekonomi, kebudayaan, bahasa dan corak gaya kehidupan.

RTM suatu ketika dahulu pernah menyiarkan sitkom komedi 'Mind Your Language' yang menunjukkan betapa perlunya kita berbahasa Inggeris melalui jalan pertuturan nahu tatabahasa betul, fasih lagi baku.

Malaysia memiliki sejarah yang panjang dengan British. Sejak dulu kita mengawasi ejaan, cara sebutan Amerika tidak sama dengan British. Malaysia sejak dulu melatih guru-guru terawal di Kirby, Britain.

Sekali lagi, pertemuan Muhyiddin Yassin dan Hillary Clinton bermaksud penjajahan baru. Maka, lawan segera langkah mempelajari bahasa Inggeris Amerika Syarikat di rantau Asean khasnya di Malaysia.

No comments: