Tuesday, February 15, 2011

Kisah 'Datuk Amar' Rosmah, 'Leila Trabelsi' Sarawak dan PGL

Oleh H FANSURI

Pada 6 Februari lalu, RTM menayangkan filem Puteri Gunung Ledang (PGL) di TV2. Antara babak yang paling menarik sepanjang zaman ialah babak tujuh syarat peminangan PGL itu.

Sebelum melanjutkan perbincangan, perlu diingat bahawa, ada beberapa sudut pandang yang boleh kita telaah dalam perihal peminangan PGL ini.

Pertama, raja tersebut amat zalim. Kedua, Puteri Gunung Ledang itu 'baik' sebab beliau sekadar ingin menguji raja atau pun tidak mahu jatuhkan maruah raja, maka beliau menolak peminangan itu secara halus. Ketiga, yang jarang dilihat orang ialah - PGL itu sebenarnya 'zalim', mewah berbelanja seperti Rosmah Mansor. Maka, dalam telaah ringkas ini kita menyorot sudut pandang ketiga - PGL itu seperti Rosmah Mansor yang boros berbelanja mewah!

Dengan penayangan filem yang diangkat dari kisah purba Sulalatus Salatin ini, maka kita sepatutnya berasa insaf sedar bahawa Rosmah Mansor bukan 'First Lady' pertama yang menunjukkan kepada dunia bahawa dirinya bernafsu besar menjalani kehidupan mewah berbelanja.

Jambatan Emas, Perak - 'Jambatan Berkembar' pertama di dunia?

Berdasarkan petikan asal Sulalatus Salatin, syarat peminangan itu dirakam sebagai berikut, "Pertama, sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak yang dibina menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang. Kedua, tujuh dulang hati nyamuk. Ketiga, tujuh dulang hati kuman. Keempat, satu tempayan air mata. Kelima, satu tempayan air pinang muda. Keenam, satu mangkuk darah raja. Ketujuh, satu mangkuk darah anak raja."

Soalan yang baik untuk ditanya di sini, adakah PGL bernafsu besar seperti Rosmah Mansor sehingga tergamak menjadikan harta kekayaan rakyat Melaka demi kepentingan peribadinya dalam urusan peminangan beliau?

Jika terlaksana projek mega pembinaan Jambatan Emas dan Jambatan Perak yang menghubungkan Melaka dengan puncak Gunung Ledang, maka itulah Jambatan Berkembar yang pertama di dunia, lebih agung daripada Menara Berkembar hari ini.

Adakah PGL suka berjalan-jalan seperti Rosmah? Mungkinkah dengan Jambatan Berkembar Melaka ke Gunung Ledang itu akan menyebabkan PGL lebih mudah melancong dengan kehidupan mewahnya kelak?

PGL wanita penyihir, jalani kehidupan berpuaka?

Diriwayatkan bahawa Tun Mamat bertemu balai yang mana perkakasnya diperbuat daripada tulang dan beratapkan rambut. Di situ, ada seorang wanita tua; Dang Raya Rani.

Timbul persoalan, kenapa balai itu dibina dengan tulang, rambut? Walhal, balai itu dibina dalam hutan yang tentu sahaja mewah dikelilingi kayu kayan dan pokok Cengal, Meranti yang bermutu. Mungkinkah balai yang dibina dengan tulang dan rambut itu sebenarnya balai pemujaan tempat memuja Iblis dan tempat menjalankan upacara menyihir?

Jika kedudukan PGL sebagai wanita penyihir ini benar, adakah sebelum itu PGL memang sudah lama menyihir Raja Melaka dari jarak jauh di atas puncak Gunung Ledang agar Raja Melaka jadi teringat dan rindu kasih terhadap beliau? Dengan sudut ini, adakah PGL setaraf 'wanita pertama' Malaya kita kini?

Gelaran 'Datuk Amar' dan rakan baharu Leila Trabelsi Sarawak

Kini Rosmah mendapat gelar 'Datuk Amar' yang jasanya bukanlah patut dibanggakan sangat. Permata Pintar adalah program sunat dan bukan wajib pun. Menurut kaedah feqah, jika perkara sunat menghalang urusan wajib, maka tinggalkanlah perkara sunat itu.

Misalnya, jika solat sunat Tahajud boleh menyebabkan tergendala solat Subuh yang fardhu dan wajib, maka tinggalkanlah solat Tahajud yang sunat itu.

Demikian urusan Permata yang bertaraf 'sunat' itu. Peruntukan RM111 juta lewat 'Belanjawan Seluar Dalam' untuk menampung urusan Rosmah itu boleh menyelamatkan duit PTPTN yang dipinjam daripada perbadanan KWSP.

Membayar hutang hukumnya fardhu lagi wajib. Walhal, menyediakan pendidikan pintar cerdas itu hukumnya sunat atau harus. Najib perlu menjadi lelaki bijaksana dengan berani menyampaikan teguran buat Rosmah dalam hal-hal yang sukar agamawan Umno menegurnya itu.

{Sebagai termaklum, agamawan Umno pun bukannya ikhlas masuk Umno. Mereka masuk Umno sebab terpaksa kerana ugutan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan bahawa kononnya sudah ada anasir keganasan Jemaah Islamiyyah di kampus-kampus universiti.}

Syahadan, maka, Rosmah pun mendapat gelar Datuk Amar ekoran jasanya dalam program Permata. Agamawan Umno kelu lidah lumpuh bicara. Najib pun sudah tiada daya upaya menegurnya lagi dengan pesan-pesan hangat dari api neraka.

Pesan-pesan sebegini tentu sahaja tidak dapat disampaikan isteri baharu Taib Mahmud berbangsa Arab itu kepada Rosmah. Selain berbeza bahasa dan budaya, beliau tidaklah arif darihal masalah kewangan di negara kita.

Pemimpin kini jauh lebih bergaya, hebat dan berjaya dibanding Raja Melaka. Setidak-tidaknya, Raja Melaka tidak berhasil mendapat PGL. Tapi pemimpin hari ini 'merampok' kekayaan Sarawak lalu dengan kekayaannya itu, beliau berhasil mendapatkan 'puteri' Tanah Arab yang cantiknya berpuluh kali lipat berbanding Rosmah. Ya, puteri di Tanah Arab yang kini hangat dengan arus pergolakan Revolusi Thawrah itu, kini menjadi rakan baik Rosmah.

Dengan timbunan kekayaan Bumi Kenyalang itu juga, maka Rosmah diberi anugerah, gelaran, pingat atas jasa yang entah direstui rakyat atau pun tidak.

No comments: