Friday, February 18, 2011

Umno teruk kerana fitnah orang dan pecahkan Melayu PKMM

Oleh H FANSURI

Lee Kuan Yew (LKY) sudah menceroboh wilayah kehormatan umat Islam di serata alam baru-baru ini, khasnya di Singapura. Hanya Dr Mahathir yang menjadi jurubicara Najib untuk membidas LKY.

Najib tidak berani bersuara keras. Mursyidul Am PAS melawan kenyataan LKY, tapi seni melawannya, diungkap dengan cara mengkritik Umno juga akhirnya.

Nik Abdul Aziz berkata, Melayu Malaysia tolak Islam lebih teruk dibanding LKY. Ini bermakna, beliau juga menegur Menteri Mentor itu, tapi dalam masa sama, beliau mengambil peluang membidas Umno.

Jika Nik Aziz mengkritik LKY saja, maka nampaklah kedudukan PAS setaraf Umno. Dan seperti ijmak juga Umno dan PAS dalam menyerang LKY.

Jadi, perbezaan cara mengkritik itu harus ada. Hal ini ada benarnya. Bagaimana Umno dan Dr Mahathir tiba-tiba jadi wira walhal tuntutan Islam ke atas Dr M dan Umno juga banyak terabai.

Dr Mahathir tentu sahaja berang dengan Mursyidul Am Pas ini. Tetapi, Najib berdiam sebab jika beliau terjebak ke dalam kancah perang ini, nanti beliau akan terjatuh dalam lubang pertikaian bersama LKY.

Serangan Dr Mahathir ke atas Mursyidul Am

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata, “Kata Nik Aziz, 'Melayu' (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kuan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh LKY. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk keIslaman mereka.”

Hal ini ada benarnya, Umno lebih teruk menekan Melayu dan Islam di negara ini melalui pembunuhan dalam peristiwa Memali. Apakah Muslim Singapura dibunuh seperti di Memali? Ini tidak bererti LKY lebih baik dibanding Dr Mahathir. Tapi, Dr Mahathir lebih teruk menekan Islam, Melayu di Malaysia.

Seterusnya, Dr Mahathir berhujah bahawa ramai pembesar Melayu minum arak. Lalu, hasil perjuangan nasionalis Melayu Umno itulah mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi kerajaan, menerapkan nilai-nilai Islam, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan Islam, memudahkan haji orang Islam, mendirikan masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah.

Lalu, Dr Mahathir bertanya, “Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?”

Jawapannya, memang teruk. Umno sebenarnya sudah terbiasa dengan arak. Antara punca kenapa kaum agamawan Umno bertindak keluar daripada Umno ialah kerana mereka tidak tahan dengan Umno yang tidak pedulikan soal halal haram, khasnya yang terkait dengan perjudian dan arak.

Persoalan penerapan nilai-nilai Islam, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam dan Takaful ini hanya bermula apabila wujudnya Anwar Ibrahim dan kumpulan anak-anak muda Islamis yang berjaya dibawa masuk ke dalam Umno. Jika Dr Mahathir sendiri melakukan ini semua, nescaya Umno tetap sekular.

Umno pecahkan Melayu PKMM, KMM?

Hujah Dr Mahathir lagi, “Sebaliknya apakah yang dilakukan PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya pecahbelahkan Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam Umno untuk memperjuang nasib bangsa beragama Islam.”

Di sini, Dr Mahathir setaraf orang Umno lain yang buta sejarah negara dan sejarah bangsa. Umno parti Melayu bangsawan Melayu yang tertegak pada 1946 manakala penubuhannya itu direstui British ketika itu yang sedang memantau Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang lahir pada 1945.

Malah sebelum kelahiran PKMM lagi, sudah wujud Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob yang cuba menyatukan Umno seluruh negara bagi menentang penjajahan British itu.

PKMM satukan Melayu, Umno pecahbelahkan Melayu

Antara bukti bahawa PKMM menyatukan Melayu ialah bersandarkan kepada pantun Dr Burhanuddin yang digemakan dalam Kongres PKMM itu, “Di atas runtuhan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka, BERSATULAH MELAYU seluruh baka, membela hak keadilan pusaka.”

Setahun selepas PKMM ditubuhkan, maka Umno diwujudkan dengan restu penjajah British pada 1946 untuk memecahkan kesatuan Melayu ketika itu bersatu di bawah payung perpaduan PKMM dan KMM sebelum itu. Inilah hakikat yang tidak dapat disangkal oleh Umno dan Dr Mahathir lagi.

Seterusnya, kenapakah Dr Mahathir dan Umno itu jauh lebih teruk berbanding Lee Kuan Yew adalah – Dr Mahathir dan Umno adalah raja fitnah. Fitnah itu menurut al-Quran adalah jauh lebih teruk daripada dosa membunuh. Dr Mahathir memfitnah Anwar atas isu liwat kerana ingin sekat Anwar menjadi PM.

Lalu, beliau menaikkan Abdullah Ahmad Badawi. Hal ini, samalah seperti Onn Jaafar dan Umno sudah memfitnah Ibu Zain yang kononnya ada hubungan sulit dengan Dr Burhanuddin sebab risau musuhnya itu bakal menjadi Perdana Menteri Malaya. Lalu, setelah ditabur fitnah, maka beliau pilih Tunku Abdul Rahman sebagai penggantinya lalu rasmilah kedudukan Tunku sebagai PM di negara ini.

Hal ini samalah kedudukannya dengan Dr Mahathir memilih Abdullah sebagai penggantinya lalu beliau halang Anwar menjadi PM dengan menabur fitnah, sama seperti fitnah Onn Jaafar dan Umno terhadap Dr Burhanuddin dan Ibu Zain itu. Betapa teruknya Umno dan Dr Mahathir, sampai sekarang, tiada lagi permohonan maaf ke atas keluarga Dr Burhanuddin dan keluarga Ibu Zain di atas fitnah itu.

No comments: