Oleh H FANSURI
Pada 12 Februari lalu, Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD) mengadakan acara berkaitan pemikiran Melayu. Salah seorang pembentangnya adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Dato' Dr Siddiq Fadzil. Penyampaian beliau menunjukkan bahawa betapa banyaknya fikiran Melayu yang dirosakkan penguasa, khasnya ketika menyebut gejala Fir'auniyyah yang membodohkan rakyat.
“(Dengan yang demikian), maka Fir'aun memperbodoh kaumnya lalu, mereka mereka mematuhinya, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq – derhaka.” (Al-Zukhruf: 54)
Sebenarnya, selain daripada usaha membodohkan rakyat, Firaun juga terlibat dengan rancangan untuk memecahbelahkan ikatan perpaduan antara rakyatnya sendiri agar beliau kekal dan kebal memerintah.
Tetapi untuk perbincangan kali ini, biarlah kita menyentuh tentang gejala pembodohan umat yang telah dirancangkan oleh Umno dan Barisan Nasional sebagai warisan pentadbiran Fir'auniyyah ini.
Najibiyyah menyuburkan kelekaan cinta remaja
Najibiyyah (dasar-dasar fikiran Najib, warisan Fir'auniyyah) secara tidak sedar telah pun melumpuhkan kekuatan akliah dan pemikiran generasi muda hari ini dengan melekakan mereka melalui hiburan.
Lihat sahaja tindakan Najib Razak yang merelakan penubuhan kelab hiburan malam untuk memajukan perusahaan pelancongan. Strategi ini sebenarnya bersifat dua mata. Pertama, untuk keuntungan. Kedua, untuk melekakan anak muda daripada terus memikirkan masalah kehidupan seperti kenaikan petrol.
Maka, segala unsur yang melekakan seperti Valentine's Day contohnya tidak akan diambil peduli Najib Razak sama sekali. Ini kerana, jikalau ramai pemuda terleka, maka kedudukan Najib akan lebih selamat untuk jangka masa panjang.
Rejim Najib akan berterusan menaja kehadiran Saint Valentine sebagai wira cinta, guna memabukkan generasi muda dengan cinta. Najib menyedari bahawa revolusi Tunisia, Mesir dan lain-lain negara Arab itu ditukangi golongan marhaen dan dibidani oleh anak-anak muda yang sedar penyimpangan diktator.
Najibiyyah seboleh-bolehnya tidak mahu melihat kedudukan Saint Valentine sebagai watak yang sudah menentang kezaliman Raja Rom yang punya gaya pemerintahan seperti pentadbirannya sendiri.
Perbalahan dengan kezaliman Rom
Kisah yang kurang diapung kepada umat ialah kisah St Valentine dibunuh sebab perbalahannya dengan Raja Rom; Raja Claudius II yang memerintah selama dua tahun; 268 sehingga 270 Masehi.
Kononnya, Raja Claudius II membatalkan perkahwinan kerana Rom banyak terlibat dalam peperangan. Namun, St Valentine dan St Marius mengahwinkan juga orang Kristian secara rahsia. Akibatnya, beliau ditangkap dan dihukum mati pada tarikh tersebut.
Lalu, untuk mengingatinya sebagai lambang keberanian dan ketabahannya berjuang melawan penguasa yang menindas rakyat, maka tarikh kematiannya diangkat sebagai upacara untuk mengenang jasanya.
Valentine's Day; lambang kekejaman ratu, bukan cinta tanpa tuju
Najib Razak bernasib baik, kerana ketika ini anak-anak muda masih melihat sosok itu sebagai lambang wira cinta dan bukan watak revolusioner yang merebahkan tembok kediktatoran di Tunisia dan Mesir.
Mungkin, oleh sebab usahanya itu, Claudius II hanya mampu bertakhta selama dua tahun sahaja kerana tidak tahan dengan desakan dan tuntutan rakyat.
Dan, Najib Razak 'bernasib baik' juga kerana Majlis Fatwa Kebangsaan Najib hanya 'berani' mencetak fatwa untuk melarang setiap ahli masyarakat khasnya Muslim menyambut perayaan itu.
Tidak kedengaran majlis fatwa memutuskan fatwa melarang syarikat penyiaran tv menayangkan iklan Valentine yang menaja cinta yang menyimpang itu. Tidak dengar pula pengharaman terhadap syarikat-syarikat korporat supaya tidak menaja acara-acara yang berkaitan Valentine itu.
Hanya ada suatu cara sahaja yang mungkin menyebabkan Valentine's Day ini diharamkan Najib – iaitu dengan memberi gambaran kepada orang-ramai bahawa perayaan ini bererti revolusi pemberontakan ke atas kezaliman. Dengan cara ini sahajalah maka perayaan tersebut akan diharamkan Najibiyyah.
Adakah penguatkuasaan boleh dibuat ke atas syarikat juga?
Suatu hal yang mengukuhkan lagi dasar Najibiyyah – Fir'auniyyah dalam usaha membodohkan rakyat dan melekakan generasi muda ini ialah - tidak kita dengar pula Jais, Jawi, Jakim dan sebagainya, diberi kuasa menangkap dan menahan syarikat yang menaja Valentine's Day dalam rupa cinta gelap ini.
Hal ini bermaksud, Najibiyyah – Fir'auniyyah merelakan gejala pembodohan dan melekakan ini terjadi. Sedangkan jika majlis fatwa telah menghukumkannya sebagai haram, maka tentu sahaja ia perlu diikuti dengan penguatkuasaan. Tetapi, adakah hal ini berlaku?
Sepatutnya para penguatkuasa agama ini diberi kuasa penuh untuk membuat tangkapan terhadap mana-mana korporat dan mana-mana syarikat tegar yang masih menaja lambang penyimpangan cinta ini.
Syahadan, begitulah betapa kita perlukan pencerdasan bagi mengelakkan kebanjiran fatwa 'Najibiyyah-Fir'auniyyah' yang kerap menyogok maklumat salah dan mengirim kebatilan ke benak kita hari ini.
No comments:
Post a Comment