Saturday, February 12, 2011

Pesan kemerdekaan, revolusi - Interlok dan 'Sang Murabbi' Malaya

Oleh H FANSURI

"Pengarang itu 'korps avant garde', bukan menghibur... tugasnya melawan kejahatan dalam tulisan-tulisannya." - Pramoedya Ananta Toer

Persatuan Penulis Nasional (Pena) 'menerjah' Perdana Menteri Najib Razak di Kg Baru pada 5 Februari lalu. Kita menyebut 'terjah' kerana hal itu mungkin tiada dalam agenda awal Najib Razak di situ. Ketika Abdullah Ahmad Badawi melakukan pecah tanah di Pasar Minggu, Kg Baru tahun lalu, saya bekerja sementara di Malaysiakini dan melaporkan kejadian tersebut.

Sekelompok pemuda Kg Baru yang bersemangat akhirnya terpaksa berputih mata kerana menunggu ketua mereka mengeluarkan lampu hijau, sebagai isyarat menerjah Abdullah saat itu. Oleh kerana takut, maka sampai ke akhirnya terjahan itu tidak dilakukan. Daripada berita yang saya dengar, hal ini terkait dengan ketakutan ketua mereka sendiri yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan beliau ada hubungan baik dengan Abdullah.

"Entahlah bang, kami pun tak tahu bila nak jumpa Pak Lah ni," kata anak muda yang lebih muda berbanding saya dengan nada kecewa. Mereka ini tidak suka kampung mereka 'diceroboh' oleh faham sesat tahyul pembangunan dan dibelit amalan khurafat kemajuan tajaan Umno.

Hari ini, kepemimpinan negara bertukar baton dan Najib Razak kembali dengan bendera Umno berkibaran di Masjid Jamek Kg Baru dan berjuntai, terjulai di balik kabel telefon di Jalan Raja Alang, Kg Baru. Maka, di celah kebingitan itu, sekumpulan warga Pena pergi meredah menemui Najib Razak.

Saya tidak hadir, tapi melalui khabar yang saya terima - memor itu berjaya diserahkan. Apakah Najib membaca atau bakulsampahkan, itu tiada diketahui. Memo itu terkait pendirian Pena yang menyatakan bahawa desakan pihak tertentu agar pindaan perkataan dalam novel Interlok itu tidak perlu dilaksanakan lagi.

Usaha tidak boleh dipersalahkan. Berkesan atau tidak usaha Pena, tidak wajar dipersoalkan oleh semua pihak. Kesan ini adalah urusan Tuhan. Nabi-nabi berdakwah, tetapi akhirnya ada yang beriman dan ada yang tidak menghiraukan pesan.

Mungkin Pena telah menerjah Najib. Selalunya, bertemu secara tiba-tiba tanpa makluman awal ini dinamakan terjah. Tapi mungkin juga Pena maklumkan kehadiran mereka itu. Wallhu'alam. Terjah adalah sebahagian daripada amalan revolusi. Contohnya, umat akan terjah pintu Putrajaya untuk mendesak Najib Razak berehat. Dalam perang Islam sekali pun, ada surat dan notis awal diberi terlebih dahulu.

Sekeping surat dikirim kepada sesebuah negara. Jika mereka beriman, maka mereka selamat, jika sebaliknya maka negara itu diminta bernaung di bawah pemerintahan Islam. Tapi, revolusi tidak begitu. Ia bukan peperangan melibatkan negara. Revolusi itu adalah suatu seni menukar kepimpinan yang zalim dalam negara melalui cara kekerasan ke atas pemimpin yang zalim sahaja. Pemimpin yang baik akan sejahtera, selamat dan haknya tidak diganggu gugat.

Revolusi Tunisia, Mesir

Ketika mengarang ini, di belahan dunia Timur Tengah sedang bersemarak dengan percikan api revolusi. Rakyat semua berharap, kejatuhan diktator di negara masing-masing akan rebah satu per satu bagaikan Teori Domino selepas peristiwa penggulingan keluarga Ben Ali di Tunisia itu.

Bersama revolusi dan gerakan menuntut kemerdekaan di Indonesia, lahir Keluarga Gerilya, hasil garapan karya Pramoedya Ananta Toer yang di dalamnya sarat dengan muatan isi penentangan terhadap penjajah dan penjajahan Belanda.

Sebab itu, jiwa pengarang yang sedang berjuang melawan penjajahan dan pengarang hari ini sedikit berbeza. Pengarang hari ini yang hidup berlimpahan kemewahan tidak akan meluncurkan penentangan sebaliknya memperihal hal-hal yang dianggap remeh.

Kepengarangan Bung Pram yang hidup tertindas di bawah lembayung penjajahan Belanda di Indonesia itu sampai menerbitkan ungkapan, "Pengarang itu korps avant garde, bukan menghibur... tugasnya melawan kejahatan dalam tulisan-tulisannya."

Interlok, karya Abdullah Hussein adalah bahagian daripada cebisan kisah yang berlaku pada awal kemerdekaan. Tapi, ia disukat nilai sebagai novel yang memperihal kehinaan orang lain. Ini beza orang yang melihat dari tempurung sempit berbanding penglihatan burung yang jauh lebih menyeluruh.

Ketika DBP dan Kementerian Pelajaran memilih karya itu, ia bukan didasari niat menghina mana-mana kaum tapi dengan nawaitu jernih; menyatukan semua bangsa dengan mengingatkan mereka perjalanan bangsa yang sedang bangkit menuju ke gerbang kemerdekaan sebagai yang sedang berlaku di negara-negara Arab kini.

Pesan kemerdekaan masih juga berlanjutan sehingga ke hari ini. Yang melihat kemerdekaan itu dari ruang mata yang sempit, tentu menganggap bahawa perjuangan ini sudah berakhir. Namun, tindakan Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin yang tidak faham hasrat dan menyantuni khalayak terbanyak telah mengecewakan ramai pihak.

Selepas beberapa minggu perbahasan polemik berhubung Interlok didebatkan di banyak wacana, tempat dan akhbar, maka tindakan politik kepartian jua yang diambil iaitu dengan bertemu MIC, lalu disifatkan hal itu sebagai 'win-win situation', pendekatan menang-menang.

Amalan muafakat dan bantu-membantu sesama Melayu-India dalam filem

Kalaulah Interlok difilemkan, entah bagaimanalah penerimaannya? Kini, sudah ada filem yang menonjolkan semangat persaudaraan dalam Estet (Mamat Khalid) dan Appalam (Afdlin Shauki) yang sekali gus menunjukkan pengarah Melayu juga boleh mengarahkan filem yang memperihalkan kehidupan orang India. Malah, jauh lebih awal dari itu, P Ramlee pernah mengarahkan filem Gerimis yang menonjolkan pernikahan Melayu dan India.

Jadi, kita mesti berani berterusan bersuara walaupun kerajaan menganggap pendekatan menang-menang itu telah berhasil dicapai, padahal tidak. Boleh atau tidak jika difilemkan Interlok itu untuk dinilai baik atau bagusnya terhadap orang-ramai? Jika Estet, Appalam dan Gerimis yang memperlihat Melayu dan India boleh diganding bersama, kenapa tidak Interlok?

Jika karya novel sasterawan negara Shahnon Ahmad, Ranjau Di Sepanjang Jalan sudah difilemkan, maka sekali lagi kita bertanya, kenapa tidak Interlok?

Filem biografi Dr Burhanuddin al-Hulaimy, 'Sang Murabbi' Malaysia

Jika banyak karya novel berat difilemkan, rakyat boleh mencerap banyak maklumat sambil berhibur. Dato' Samad A Samad Said antara yang mengunjungi pawagam GSC Mid Valley. Dalam pertemuan dengan para penulis, beliau akui hal menonton filem berasas kejadian sebenar menyebabkan isi gambaran menyeluruh karya itu akan mudah diingatinya.

Baru-baru ini ada wacana filem Islam. Mungkin wacana ini sudah lama wujud. Seorang rakan berkata, "Adakah PAS boleh buat filem Islam? Kita nak lihat pawagam dikunjungi wanita berpurdah dan lelaki berketayap. PAS boleh kaut untung berjuta daripada filem ini."

Suatu masa dahulu, pernah saya berbisik kepada teman, "Jika Partai Keadilan Sejahtera (PKS) ada Sang Murabbi, kenapa tidak diriwayatkan kisah arwah Presiden Pas Fadhil Noor?"

Atau, filem biografi Dr Burhanuddin Al-Hulaimy adalah antara yang terbaik boleh PAS usahakan. Jika 1957 Hati Malaya meriwayatkan Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman (tokoh-tokoh lama), kenapa tidak boleh meriwayatkan Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob, Shamsiah Fakeh dan lain-lain tokoh lama pejuang berhaluan kiri?

Itulah jiwanya revolusi! Adakah Gapena, Pena boleh filemkan Interlok? Adakah PAS akan filemkan Dr Burhanuddin? Kita mesti berani mencuba. Kata Bung Pram, pengarang itu 'korps avant garde' sang pahlawan yang melawan kejahatan lewat penulisan. Tiadalah salah sambil berhibur, kita lawan rejim Najib dan Rosmah lewat filem. Revolusi itu tidak semestinya perjuangan berdarah.

No comments: