Thursday, February 10, 2011

Bawa pulang siswa Mesir, Najib takut revolusi?

Oleh H FANSURI

Ada suatu hal yang memeningkan kepala mengenai sikap, dasar dan pendirian Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak ketika beliau beriya-iya mahu membawa pulang mahasiswa Mesir di Universiti Al-Azhar. Apakah asas yang beliau gunakan? Adakah beliau berfikir bahawa kerajaan ada hak mutlak?

Mahasiswa Mesir bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka. Mereka hanya akan pulang ke tanahair dengan perintah ibu bapa dan bukan dengan perintah kerajaan.

Kita semua tahu bahawa pelajar itu ditaja melalui dana rakyat, kutipan percukaian rakyat serta bantuan zakat kaum Muslimin di negara ini. Jadi, Mohd Najib perlu ada sikap yang jelas ke atas hal ini.

Ketika ini, sudah terdengar laporan bahawa kerajaan Arab Saudi akan terbangkan siswa Malaysia yang diminta pulang ke tanahair. Juga, terdengar keresahan PM tentang kenyataan – “Kerajaan akan fikirkan kaedah membiaya semula kos penerbangan mahasiswa Al-Azhar ke Malaysia baru-baru ini.”

Kenapakah dalam hal ini maka dengan tiba-tiba Arab Saudi dan Malaysia boleh saling membantu untuk mengurangkan jumlah pelajar Malaysia yang belajar di Mesir itu?

Teori awal yang berlegar di kepala ialah – Najib dan kalangan pimpinan negara Arab adalah pendokong kuat Hosni Mubarak. Mereka tentu tidak inginkan kejatuhan rejim diktator itu. Jatuhnya salah seorang diktator di Tanah Arab, itu bererti kejatuhan mereka sedikit demi sedikit.

Tapi itu cuma teori. Kita ingin jelaskan di sini mengenai pendirian yang sepatutnya Mohd Najib pegang ketika berdepan dengan semangat revolusi yang membuak-buak di Mesir itu.

Setiap anak bertanggungjawab ke atas ibu bapanya

Dalam sebuah hadis ada suatu peristiwa di mana seorang anak muda ingin menyertai perang jihad. Lalu beliau ditanya Rasulullah s.a.w, “Terangkan kepadaku tentang keadaan ibu bapamu.”

Lalu, anak muda itu berkata, “Ya Rasulullah, aku ini anak tunggal. Ketika mahu keluar dari rumah tadi, maka kedua ibu bapaku menangisi pemergianku.”

Maka sabda Rasulullah s.a.w, “Sekarang, kembali ke rumahmu dan gembirakanlah kedua ibu bapamu.”

Maka anak muda itu pulang sebab taatkan perintah nabi, walaupun berkobar-kobar jiwanya untuk pergi berperang. Itu sikap ibu bapa yang tidak merelakan pemergian anaknya ke medan perang.

Namun begitu, ada juga ibu yang menyerahkan anak-anaknya ke medan juang. Beliau punya tiga anak yang kesemuanya dikirim ke medan jihad. Ketika anak ketiga sudah meninggal dunia, beliau menangis sehingga hal itu menimbulkan kehairanan bagi jirannya yang lain.

“Kenapa engkau menangis terhadap kehilangan anak yang ketiga ini, wahai ibu?” jirannya bertanya.

“Selepas ini, aku sudah tiada anak-anak lagi yang boleh kukirimkan ke medan jihad,” balasnya.

Lihatlah dua watak ibu bapa yang berbeza ini, tetapi Rasulullah s.a.w tetap menyantuni perasaan ibu di zaman pemerintahan baginda.

Seandainya si ibu itu bersedia mewakafkan anaknya demi agama, maka hal itu sangat baik. Tapi, jika si ibu belum bersedia maka Rasulullah s.a.w memerintahkan anak itu agar segera pulang menemui ibunya semula. Dan, hal itu bukanlah suatu masalah besar pun bagi nabi.

Al-Qaradawi hadiahkan Fiqh Al-Jihad, Najib bacakah?

Sudahkah Mohd Najib membaca Fiqh Al-Jihad yang dihadiahkan Yusuf Al-Qaradawi ketika peristiwa kehilangan enjin jet pejuang berlaku di negara kita?

Nampaknya, sia-sia sahaja Fiqh Al-Jihad itu dihadiahkan kepada Mohd Najib kerana agamawan Umno pun tidaklah menterjemahkan kitab tersebut.

Kita semua tahu bahawa Umno bukanlah fikirkan keselamatan rakyat. Hal ini pernah terjadi dalam kes 'assasination' pembunuhan beramai-ramai di Memali 1985 ketika terbunuhnya Ustaz Ibrahim Libya.

Maka, sejak bila pula kerajaan diktator rejim Najib – Rosmah itu dengan tiba-tiba berlembut hati, mahu panggil pelajar Melayu di Mesir itu pulang kerana kononnya mahu mereka selamat. Insan berjiwa halus tidak sampai hati meletupkan model wanita Altantuya dari Mongolia dengan bom C4.

Mereka akan selamat jika tinggal di rumah sewaan secara diam-diam, tidak menyertai revolusi. Mereka berhak membuat keputusan sama ada mahu sertai revolusi atau sebaliknya. Itu hak mereka. Jika mereka sertai, itu lebih afdal seperti Melayu Cape Town yang menyertai perang menentang sistem Apartheid.

Tapi jika mereka kekal berada di rumah sekali pun, sebagai pemerhati, itu tiada salahnya. Biar mereka di sana, mengutip pengalaman di negara orang, menjadi saksi mata untuk generasi seterusnya.

Najib jangan jadi seperti Bush yang mengirim askar Amerika ke medan perang walaupun sudah banyak desakan ibu bapa di USA yang enggan anak mereka dikirim ke Iraq dan Afghanistan untuk berperang.

Najib tidak lebih daripada khadam yang boleh disuruh majikan rakyat untuk memanggil anak mereka pulang ke Malaysia. Najib tidak boleh anggap dirinya tuan lalu berhak memanggil semua siswa Mesir pulang atas nama mahu menjaga keselamatan rakyat Malaysia kononnya.

No comments: