Monday, February 07, 2011

Facebookers Malaysia mangsa AMCP dan 'nyamuk' Filda?

Oleh H FANSURI

Ketika baru melayari internet dengan Celcom Broadband, tiba-tiba muncul pesanan Perdana Menteri Najib Razak seperti berikut:-

Name:
Number: CELCOM
Content: Salam 1Malaysia. Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada kaum Cina. Ikhlas dari Najib Razak & keluarga. najib@1malaysia.com.my
Time: 01/02/2011 10:42:42


Perhatikan, pada nama kita dikosongkan. Jadi, kenalkah Najib Razak kepada saya? Dia tidak kenal dan dia mengosongkan tempat yang sepatutnya terisi dengan nama kita; para pengguna Celcom Broadband.

Saya fikir, Najib tidak jujur ketika mengirim pesan ini. Setidak-tidaknya, letaklah nama kita. Mungkin ramai yang mendapat pesanan yang sama. Tetapi, tidak bagi seorang teman lain. Dia mengasak dengan tiga bilah pertanyaan buat kita semua, termasuk Najib Razak kerana ingin menyemak sistem yang ada.

Did Najib Tun Razak really send the Chinese New Year's greeting e-mail? How did he know our e-mail addresses? Is it Net-ethically right, where privacy of e-mail's owner is concerned?

Facebookers turut dimangsakan AMCP?

Kita tidak fikir Najib sendiri yang mengirim mel-e ucapan Tahun Baru Cina itu. Beliau tidak kenal kita dan tidak tahu siapa kita. Jadi, beliau 'tahu' emel kita mungkin sebab sistem pembekal perkhidmatan ini menjalankan urusannya. Maka, timbul pertanyaan terakhir - adakah maklumat rahsia pemilik mel-e kini kekal sebagai maklumat rahsia peribadi mereka? Adakah Najib sudah tahu semua mel-e kita?

Lantunan pertanyaan ini mengheret kita terhadap persoalan Facebooker yang akan diheret masuk dalam jaringan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP). Lihat, betapa ramainya ahli-ahli FB (Facebookers) yang bakal dimangsakan oleh AMCP-KDN ini menjelang Mac depan.

Najib Razak mungkin sangat takut berdebat, tetapi cuma berani melemparkan perkataannya dalam mel-e kita semua rakyat Malaysia. Najib jua jarang mengkritik Lee Kuan Yew yang telah menghina Melayu Islam Singapura mutakhir ini. Juga, Najib selalu takutkan bebayang Anwar.

Anwar cabar debat, Najib melarikan diri

Dalam sepucuk surat rasmi berjudul: Berdebat berkaitan kedudukan ekonomi negara dan fakta yang terkandung dalam Buku Jingga, Anwar Ibrahim menulis sebagai berikut:-

1. Setelah hampir seminggu berlalu tanpa sebarang jawapan positif dari YAB Dato' Seri, saya dengan ini mengulangi jemputan kepada YAB Dato' Sri untuk berbahas secara terbuka isu berkaitan kedudukan ekonomi negara dan fakta-fakta yang terkandung dalam Buku Jingga. Hal tersebut kian mendesak memandangkan mutakhir ini kos sara hidup melonjak lebih dari 50% buat pertama kali dalam sejarah. Perbahasan ini ternyata mustahak dan berkepentingan umum.

2. Merujuk kepada kenyataan YAB Dato' Sri yang membidas Perancangan 100 hari Pakatan Rakyat, bertarikh 10 Januari 2011, YAB Dato' Sri menuduh hasrat kami itu sebagai tidak bertanggungjawab, populis, malah akan memufliskan negara. Kami menyangkal tohmahan tersebut kerana belum berlaku dalam sejarah, sesebuah negara itu muflis apabila melaksanakan tatakelola yang baik dan berusaha meringankan beban rakyat.

3. Saya berharap YAB Dato' Sri menerima pelawaan debat ini kerana saya yakin hujah yang bakal diutarakan oleh pihak YAB Dato' Sri dan saya selaku Ketua Pembangkang mampu memberi manfaat kepada usaha memperkukuh amalan demokrasi, penyebaran maklumat tanpa sekatan dan memulihkan kembali ekonomi negara.

Adakah Najib menggunakan FB atau mel-e rakyat?

Timbul persoalan lain. Jika surat rasmi Anwar ini tidak berjawab - adakah selepas ini, kenyataan Anwar tentang isu-isu ekonomi, kenaikan harga barang akan dijawab dalam FB beliau atau dikirim dalam mel-e rakyat? Ini tentu menyulitkan umat bagi mengikutinya di FB selepas disekat AMCP-KDN Mac nanti.

Kita tidak mahu lagi Najib hanya 'berani' bercakap di televisyen, radio yang dikawalnya tapi, pimpinan PR tidak dibenarkan bersuara di televisyen, malah suara PR di FB pun disekat AMCP-KDN lagi.

Mutakhir ini seolah-olah termeterai 'perjanjian' terbaru antara Najib-Umi Hafilda. Jika disemak cabaran Umi ketika cabaran ketua pembangkang itu sedang ditujukan buat Najib, maka tampak jelas wanita ini berkemungkinan 'diperalatkan' bagi mengganggu debat Anwar – Najib itu.

“Sebelum debat dengan Najib, debat dengan saya dulu...” katanya, sambil marah-marah kerana digelar nyamuk oleh Anwar. Umi berhujah balas bahawa nyamuk mengundang kematian kepada Namrud.

Umi seperti wanita suci kerana hujahnya berpaut di dahan al-Quran. Pada 14 Januari lalu, kata Anwar cabaran Umi itu bagaikan 'nyamuk' sebab ia hadir saat cabaran debat kepada Najib sedang berlangsung.

Sebenarnya, untuk pengetahuan Umi Hafilda, tidak semua nyamuk hisap darah. Hanya nyamuk betina menghisap darah demi kelangsungan hidup telurnya. Jadi, kita wajib memerangi nyamuk betina sahaja.

Polemik nyamuk betina ini tidak bolehlah dipanjangkan di FB gara-gara belitan AMCP Mac ini. Mel-e tidak selamat sebab Najib mungkin memantau semua mel-e kita dan hanya kempen BN akan disalurkan dengan lebih meluas sementara pendirian rakyat di FB akan terus dibakulsampahkan.

No comments: