Thursday, March 24, 2011

Bolehkah diwujudkan akhbar Kg Baru untuk protes Raja Nong Chik?

Oleh H FANSURI

Namanya Zaki. Dia tinggal di Ampang. Rumah neneknya terletak di Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru. Di gerai nasi lemak Wak Manjor in Kg Baru, dia melengung. Mungkin mengenangkan hal dirinya.

Seorang pekerja di warung itu menegurnya, “Buat apa-apa yang patut. Buka kedai sebelah malam. Pagi kerja di pejabat pos, malamnya kerja di warung... dah letih, balik rumah, tidur.”

Anak muda sebatas usia 20-an itu mungkin sebahagian daripada anak-anak muda di kampung ini yang belum faham apa-apa mengenai 'pembangunan' Kg Baru yang sedang dirancang itu.

Apakah pemuda ini sedar bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah menyerahkan draf undang-undang perbadanan Kg Baru itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi sebelum dibentang di Parlimen sebelum ini?

Ketika beliau menjawab borang soal selidik tentang pembangunan di Kg Baru, Zaki tidak pula menolak borang kaji selidik itu, sama seperti sikap para penduduk Kg Baru yang lain.

Beliau dengan mudahnya menjawab borang itu sedangkan ramai penduduk lain enggan mengisi borang tersebut sebagai lambang protes dan bantahan mereka terhadap 'pembangunan' Raja Nong Chik itu.

Beliau sama seperti pemuda lain – mungkin gelisah memikirkan kehidupan diri, dan belum menghidu malang bahaya yang muncul Jun nanti ketika rang undang-undang baru di Kg Baru itu mahu dibacakan bagi menggantikan peranan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di sini.

Pendirian Raja Nong Chik

Dalam kenyataan beliau yang lama sebelum ini, Raja Nong Chik berkata bahawa antara inti pati draf rang undang-undang baru itu ialah Perbadanan Kg Baru itu akan dijadikan sebagai badan pengawal dan penyelaras terhadap pembanguan Kg Baru yang akan mula beroperasi pada tahun ini.

"Perbadanan berfungsi untuk mempertahan ciri-ciri Melayu termasuk penglibatan pemilik dan pewaris dalam peringkat lembaga pengarah dan lembaga penasihat," katanya.

Kata Raja Nong Chik juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak ketepikan kerana lembaga itu akan bertanggungjawab terhadap perancangan bandar raya Kuala Lumpur.

Ya, Kg Baru yang berusia 110 tahun dan meliputi tujuh buah kampung terletak di atas tanah seluas 90.2 hektar itu kini didiami kira-kira 35,000 penduduk.

Rata-rata mereka kebanyakannya berjiwa revolusioner. Pada 14 Mac lalu, misalnya mereka sekali lagi berhimpun membuat perisytiharan di Kelab Sultan Sulaiman di kampung itu bertujuan mengumpulkan kekuatan kata-kata dan semangat bagi meneruskan perjuangan membantah rencana Raja Nong Chik.

Tapi, hingga catatan ini ditulis nampaknya sepanjang tempoh penundaan rang undang-undang Kg Baru itu, Raja Nong Chik belum memanfaatkan masanya untuk berbincang dengan para penduduk di sini.

Sedangkan alasan menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu sebenarnya memberi ruang kepada pemilik dan pewaris berbincang dengan beliau.

Zaki, anak muda itu mungkin tidak mengetahui kesangsian penduduk terhadap rang undang-undang itu yang berkaitan klausa “tidak boleh dicabar” atau imuniti dalam rang undang-undang tersebut.

Ada kemujuran juga penduduk di sini bersama Mas dan Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa menyusun protes sebegini. Maka, setidak-tidaknya kepekaan penduduk akan terbangun dengan sendirinya.

Rasa tidak puas hati penduduk ke atas rang undang-undang itu menjadi pertikaian yang juga dilagukan dalam pertemuan-pertemuan tertentu. Kalau Mas dan pusat khidmat parlimen Tititwangsa tidak bangun menyatakan bantahan ini, mungkin rang undang-undang ini diluluskan tanpa persetujuan semua.

Tiada jalan keluar lain, pentadbiran Kg Baru wajib diserah semula kepada MAS yang sudah mentadbir selama 110 tahun belakangan ini tanpa sebarang masalah.

Dan, ketika berlabuh di warung ini, Zaki sudah menyerahkan semula borang itu tanpa rasa apa-apa. Dia tidak perasan bahawa borang kaji selidik itu mungkin suatu perangkap akademik yang menjerat rakyat yang lama bermastautin di Kg Baru ini.

Penduduk di kampung ini mungkin terpaksa memikirkan kaedah baru – selain bertemu dan melakukan rapat umum untuk terus memajukan bantahan secara bersemuka, mereka mesti melancarkan akhbar Kg Baru untuk diedarkan daripada rumah ke rumah biar semua masyarakat luar menyedari kemarahan Kg Baru di sini sedang bangkit bagaikan gergasi!

No comments: