Friday, March 18, 2011

Protes Tuan Simi ke atas 'wanita pertama' Singapura

OLEH H FANSURI

"Demikianlah adanya lebih dan kurang
menurutkan seperti perkhabarannya orang
kelakuannya Tenku Perabu gelap dan terang
dari mula pertama sampai sekarang.

Mula-mulanya ora(ng) menampalkan pelekat
di pintu kota konon dilekat
Tenku Perabu dengan Tambi duduk berdekat
dilihat orang suatu tempat.

Gemparlah sekalian hamba dan sahaya
setengah orang tidak percaya
sampailah kepada miskin dan kaya
banyak yang melihat mengatakan ia."


{Dikarang oleh Tuan Simi dalam Syair Tenku Perabu di Negeri Singapura Adanya. Termuat di dalam Syair Tantangan Singapura, himpunan Muhammad Haji Salleh.}

Memang sudah menjadi sumpahan agaknya ketika melihat kejatuhan ramai pemimpin di dunia moden hari ini. John F Kennedy misalnya jatuh oleh sebab hubungannya dengan Marilyn Monroe. Tapi, Marilyn bukan wanita pertama. Begitu juga halnya dengan hubungan cinta gelap antara Bill Clinton dengan Monica Lewinsky. Tapi, sekali lagi - Lewinsky itu juga bukanlah wanita pertama.

Marilyn Monroe misalnya menyanyikan lagu 'Happy Birthday, Mr President' kepada Kennedy, bersempena sambutan hari lahir lelaki pertama itu. Monroe juga menyanyikan lagu klasik 'Thanks for the Memory', yang ditujukan khas untuk Kennedy.

    Thanks, Mr. President
    For all the things you've done
    The battles that you've won
    The way you deal with U.S. Steel
    And our problems by the ton
    We thank you so much


Selepas itu, Kennedy naik ke atas pentas dan berjenaka mengenai lagu tersebut dengan berkata, "Sekarang, saya boleh bersara daripada politik selepas mendengar lagu sempena hari lahir saya yang didendangkan dengan sungguh merdu itu." Beliau berkata begitu ketika merujuk gaya penampilan Monroe pada malam itu yang sungguh mengkagumkan. Ya, hal ini tidaklah menghairankan kerana Monroe digelar simbol seks.

Walaupun Rosmah tidaklah seseksi Monroe, tetapi persamaan antara Monroe dan Rosmah tetap ada ketika menyanyikan lagu If Tomorrow Never Comes kepada Najib Razak. Cuma, bezanya lagi - Najib Razak tidak sampai mengucapkan terima kasihnya secara terbuka kepada Rosmah seperti mana Kennedy mengucap terima kasih ke atas Monroe yang menyanyikan lagu Happy Birthday, Mr President itu.

Sumpahan wanita pertama ke atas pemimpin negara

Syair di atas adalah suatu bentuk gaya penentangan dan protes seorang penyair Singapura pada abad ke-19 yang bernama Tuan Simi. Semua itu, timbul oleh sebab berlakunya pergolakan skandal dalam istana raja yang melibatkan seorang Tambi dan wanita pertama yang bernama Tenku Perabu.

Kalau kita menyebutkan hal ini sebagai suatu sumpahan, maka kita melihat 'kejatuhan' Nabi Adam a.s pun terkait dengan godaan Siti Hawa juga adanya. Tetapi, tidak tepat juga diperihalkan Siti Hawa sebagai wanita pertama. Yang paling tepat, paling kuat ialah Marie Antoinette di Perancis. Beliau lebihlah akrab jika dinisbah terhadap Rosmah. Sekali lagi - Rosmah bukan berdarah raja, sebaliknya cuma perasan diri sahaja sebagai wanita pertama.

Apa pun, semua ini adalah antara contoh kejatuhan pemimpin yang disebabkan 'wanita pertama' di negara mereka. Di sana, ada lagi contoh kejatuhan yang masih boleh dijadikan pengiktibaran. Presiden Berlusconi di Italy yang dihakimi saat ini juga adalah contoh luar negara. Adakah protes penyair ke atas wanita pertama di negara kita?

Setakat ini, Tuan Simi adalah penyair terawal yang benar-benar nyata ketika memajukan bantahannya secara keras dan jelas terhadap wanita pertama Singapura.

Sebenarnya, bukanlah Tuan Simi seorang yang menajamkan kritikannya terhadap politik Singapura. Dalam Hikayat Abdullah, Munsyi Abdullah turut sama mengasah penanya untuk menghunjam kritikan kerasnya terhadap kelas atasan; Borjuis Mustakbirin di Singapura.

Namun, beza Munsyi Abdullah dengan Tuan Simi adalah - Munsyi cuma menyerang Tambi Abdul Kadir (kekasih gelap Tenku Prabu). Sedangkan Tuan Simi lebih jelas mennyerang wanita pertama Tenku Perabu termasuk Tambi Abdul Kadir.

Munsyi Abdullah cuma memakukan kritikan dan memahat catatannya terhadap Abdul Kadir dan bukannya menggeledah dosa wanita pertama. Di sinilah letaknya kelebihan Tuan Simi yang lebih berani. Kata Munsyi Abdullah ...

"Maka apabila aku sampai ke Singapura, maka kudengarlah berbagai-bagai khabar dari hal dalam istana Sultan Singapura, iaitu dari sebab ia mengasihi seorang peranakan Keling anak Melaka, yang bernama Abdul Kadir bin Ahmad Sahib, negerinya Muhammad Bandar. Maka adalah Abdul Kadir itu dipercayainya sampai ditaruhnya akan dia dalam istananya seperti orang anak-beranak atau seperti orang berlaki bini rupanya dalam istana itu. Maka dari sebab itu menjadi sumbanglah pada pemandangann segala orang besar-besarnya dan segala kaum keluarga Sultan itu, sehingga menaruh cemburulah mereka itu masing-masing akan Abdul Kadir itu. Maka jikalau sekiranya mereka itu menjadi harimau, maka sebentar itu juga hendak dipatahkannya batang lehernya. Dan lagi pula semenjak ada Abdul Kadir itu, maka jaranglah sudah segala orang-orangnya dan menterinya yang dikasihinya dahulu itu, melainkan Abdul Kadir itulah yang dilebihkannya dan diserahkannya ikhtiar kepadanya daripada baik dan jahatnya. Maka barang katanya kata Sultan. Maka dari sebab segala perkara yang tersebut itu pekerjaan Sultan itu menghilangkan akal segala manusia. Maka aku pun menjadi seperti orang menangkap bayang-bayang dalam cermin adanya, melainkan kudengarlah berbagai-bagai khabar dan cerita yang tiada patut dan layak kutuliskan dalam hikayatku ini, melainkan Allah Ta'ala juga yang amat mengetahui akan segala perkara yang ghaib itu."

Jelaslah sudah. Munsyi Abdullah mengakui bahawa beliau tidak sanggup menggeledah dosa wanita pertama Singapura tapi Tuan Simi mendahului beliau dengan Syair Tenku Prabu di Negeri Singapura Adanya. Maka, kepenyairan Tuan Simi perlu diangkat dibanding Munsyi Abdullah kerana keberaniannya melawan wanita pertama itu.

No comments: