Thursday, April 28, 2011

Hiburan adalah fitrah, bukan 'mind-set' Umno

Oleh H FANSURI

"Rasanya soalan yang lebih afdal selama ini ialah setelah Paksi dan Budayawan Bertindak dan lain-lainnya berjinak-jinak dengan Pakatan Rakyat (termasuk PAS), apakah yang telah Pakatan lakukan?

"Soalan tuan menggambarkan seolah-olah 'mind-set' kita masih macam Umno. Tonggak kehidupan kita, khasnya orang-orang Melayu ialah hiburan, bukannya budaya dan pemikiran. Apakah kita tidak risau dengan 'mind-set' seperti ini? Ini bukanlah pula bermakna saya anti artis. Bukan isu itu. Yang lebih utama ialah kita perlu keluar dari kepompong artis dan hiburan," kata seorang pembaca setia Harakah.

Kata-kata itu merujuk tulisan saya keluaran Harakah Bil. 1632 di muka surat N23 yang judulnya bernada pertanyaan kepada parti, lebih kurang bunyinya - kalau 10 artis 'masuk' PAS, apakah persediaan kita? Hal ini terkait dengan kenyataan Bob Lokman bahawa ada 10 artis yang cenderung kepada PR.

Setidak-tidaknya, ada dua isu yang boleh dicungkil lewat pertanyaan ini. Pertama, persoalan mengenai apakah yang pimpinan parti lakukan setelah Paksi dan Budayawan Bertindak akrab dengan PR-PAS? Kedua, persoalan 'mind-set' Umno yang menilai seluruh kehidupan yang terpusat kepada hiburan dan bukannya budaya tinggi dan pemikiran. Soalan ini, menurutnya, bukan bersifat anti artis sebaliknya mahu kita semua keluar daripada artis dan hiburan.

Dalam tulisan sebelum ini, saya sebutkan kisah debat di Kelantan berhubung 'pergeseran kecil' antara Tok Kenali dan Tok Selehor. Maka, ketika ditanya apakah sikap Tok Kenali terhadap Tok Selehor yang gemarkan bunyian, kompang dan paluan gendang termasuk acara berzanji dan berburdah, Tok Kenali berdiam diri. Sebenarnya, antara kedua-dua mereka sudah ada saling memahami antara satu sama lain.

Polemik seperti ini wujud dalam syura Wali Songo. Sunan Kalijaga mahu menyalurkan pesan keagamaan lewat acara kesenian dan hiburan. Dan, ada juga hal lain yang menyebabkan wujudnya perpecahan antara wali dan sunan berjumlah sembilan orang itu.

Mereka berpecah mengikut tabiat dakwah membawa haluan sendiri. Sunan Kalijaga serta rakan-rakan yang mendokongnya menyusun gerakan menyuntik unsur-unsur keagamaan Islam ke dalam wayang kulit yang selama ini membawa ini membawa kisah-kisah keagamaan Hindu.

Tanah Jawa akhirnya diislamkan melalui peranan yang banyak dimainkan Sunan Kalijaga yang merayapkan kegiatannya sesuai dengan kecenderungan. Maka, perkara ini (debat mengenai hiburan) adalah khilaf yang biasa terjadi.

Maka, wali yang masih kekal dengan dakwah di pergunungan akan berterusan berdakwah di pergunungan seperti biasa. Dan, mereka yang melebarkan sayap dakwahnya keluar dari cara gaya dakwah sebelum ini, merumuskan pergerakan menyuntik pesan agama lewat hiburan dalam wayang kulit.

Maka, perkara pertama yang ingin dipersembah di sini ialah - antara wali di Malaya (Tok Kenali, Tok Selehor) dan sunan-sunan Wali Songo di Tanah Jawa itu, mereka akhirnya membuat konsensus dan ikatan perjanjian untuk tidak mencerca dan mencela tabiat dan manhaj dakwah masing-masing.

Soalan yang berbangkit di sini - adakah kita boleh membuat ikatan perjanjian dan konsensus begini? Iaitu sesiapa yang ingin kekal berceramah di masjid, surau dan langgar dipersilakan dan tidak akan mencela urusan menyebarkan faham-faham pencerdasan lewat dunia hiburan. Dan, begitulah sebaliknya.

Apa yang dibuat untuk Paksi dan Budayawan Bertindak?

Soalan tentang apa yang dibuat ke atas badan kesenian Paksi dan Budayawan Bertindak itu patut ditanya sendiri ke atas pimpinan parti. Mungkin mereka ada jawapan. Kita menulis bukan untuk menjadi jurubicara sesiapa. Menjadi amalan saya untuk bertanya perkara yang timbul dalam fikiran saya sahaja.

Kalau soalan itu timbul di fikiran orang lain, sewajarnya orang itu yang afdal bertanya pimpinan parti. Saya tidak akan bertanya soalan yang timbul dalam fikiran orang lain. Setiap orang mesti berani menyuarakan pertanyaan yang timbul dalam fikirannya sendiri dan bertanggungjawab menerima kesan dan menanggung akibat daripada soalan mereka itu.

Bagaimanapun, dengarnya PAS sudah mewujudkan lujnah kesenian ekoran desakan dan tuntutan berulangkali oleh polemik itu. Jadi, bolehlah dimanfaat lagi lujnah itu. Jika masih ada kekurangan, maka bolehlah disalurkan lagi pendapat bertalu-talu kepada lujnah itu.

Seterusnya, perkara yang terkait dengan 'mind-set' yang didakwa masih mengekalkan cirinya seperti Umno. Kononnya, tonggak kehidupan kita, khasnya orang Melayu ini banyak berkisarkan hiburan, bukannya budaya dan pemikiran.

'Mind-set' Umno, iatu segala juzuk kehidupan ini berorientasikan hiburan itulah yang perlu kita risaukan, kata teman itu lagi. "Yang lebih utama ialah kita perlu keluar dari kepompong artis dan hiburan."

Fikiran ini dikeluarkan seolah-olah kita terlupa Tuhan mengirim kitab kepada Daud a.s (Zabur) atau dikatakan Mazmur oleh Kristian. Isinya adalah lagu pujian terhadap Tuhan. Bayangkan nabi bertaraf raja, dan diberi kitab khas; Zabur (Mazmur) semata-mata bernyanyi menghidupkan jiwa dengan ingatan buat Tuhan.

Yang berlaku kini adalah 'penyelewengan hiburan'. Isi ajaran kecintaan terhadap Tuhan telah diselewengkan kepada kecintaan terlarang antara pemuda dan kini meleret-leret kepada cinta sesama jenis, homoseks dan lesbian. Jelasnya, yang berlaku adalah penyelewengan hiburan mengikut tradisi asal.

Nyanyian dan hiburan mengikut warisan Daud a.s itulah yang perlu dikembalikan hari ini. Kritik asal sepatutnya disebut 'penyelewengan hiburan', bukan dikelirukan atas nama 'hiburan'. Kita perlu berhati-hati mengguna perkataan agar tidak dikelirukan, terkeliru dan kemudian mengelirukan.

- ibnuamir@gmail.com - Sekolah Pemikiran Kg Baru.

No comments: