Thursday, April 14, 2011

Nak bakar Utusan Malaysia kali kedua? Bila? Di mana?

Oleh H FANSURI

"Saya sebagai pembayar cukai tidak bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat video seks ini. Tiada signifikan langsung. Kalaulah betul-betul itu adalah Anwar, apa masalahnya? Dia bukan menteri atau penjawat awam yang boleh dipecat.

"Dan, dosa itu antara dia dengan Allah. Kalau betul nak dakwa, bahagian mana nak dakwa?" Zuhairah bertanya. "Jika rakyat ingin terima (Anwar), beliau akan tetap diterima macam Soi Lek. Suruhanjaya video Linggam sebelum ini pun kita tidak tahu apa dah jadi."

Zuhairah mengeluh mengenai betapa banyaknya masa dan wang yang dibazirkan. Katanya, hanya kerana takutkan Anwar, kerajaan masih mahu bazirkan masa. Demikian keluhan beliau. 

Pada 4 April lalu, rakan-rakan mula menyebutkan bahawa ada video seks 'Anwar' yang sudah terlepas di YouTube. Kata mereka, ada perkataan Thai di video itu termasuk perkataan Copyright 2011 yang menunjukkan ia masih baru dirakam dalam tahun ini juga.

{Ada juga maklumat mengenai nama jalan di Bangkok itu, Phaholyothin Road Bangkok, Thailand 10400. Jika anda rajin, bolehlah menyiasatnya kemudian}


Kini baru masuk bulan April, 2011. Jadi, kalau benar Anwar adalah sosok yang berada dalam video itu, maka kejadian rakaman itu tentulah berlaku antara Januari sehingga April tahun ini juga. Persoalannya, jika kita boleh semak kembali jadual perjalanan Anwar, sempatkah beliau ke Bangkok?

Selama yang kita tahu, beliau hanya disibukkan dengan kegiatan ceramah dan perjalanan ke luar negara; London kerana berceramah tentang Pluralisme, New York, America dan mungkin di lain-lain. Kalau ke Thailand, tidaklah diketahui atas urusan apa? Boleh semak juga passport beliau itu.

Tapi, keesokannya 5 April (Selasa), negara ini dikejutkan lebih dahsyat dengan gempa bumi dan tsunami apabila Utusan Malaysia tergamak menyiar tiga gambar kelucahan di muka depannya. Di mana maruah Melayu kerana akhbar itu pernah disebut sebagai pembela suara Melayu suatu ketika dahulu?

"Agak-agaknya, ada hubungan tak dengan tersiarnya video seks itu di YouTube malam itu dengan laporan Utusan Malaysia keesokan harinya?" seorang teman bertanya. Entah. Saya geleng kepala. Tetapi, yang lebih memeningkan ialah sikap polis yang 'akan' menyiasat youtube itu di internet. 

Walhal polis tahu siapa yang dedahkan sebelum ini. Tentulah sumber terawal itu datangnya daripada Rahim Tamby Chik, Eskay Abdullah dan Shuib Lazim.

Video seks itu terbit daripada ketiga-tiga Dato' yang nama lengkap mereka sudah diketahui polis, nak siasat apa lagi? Atau mungkin polis mahu cari cara terbaik untuk melindungi penjenayah itu?

Hishammuddin Hussein berkata beliau tidak tahu sumber video seks di Youtube. Beliau juga menafikan kementeriannya dan polis terlibat dalam hal itu.

"Ini dimaklumkan kepada saya oleh IGP apabila ditanya tadi, siapa yang keluarkan, siapa yang dedahkan, siapa dalam video itu, siapa yang turunkan dalam Youtube, wallahu a'lam," katanya. 

Kalimat wallahu'alam perlu dimanfaatkan bagi menampakkan watak soleh dan warak Hishammuddin itu. Tapi, beliau tidak terfikir pula mahu bertanya KEMAS dan BTN, bagaimana badan itu boleh dapat salinan video seks tersebut sebelum ia terapung di YouTube.

Kita sedang menyemak ketelusan siasatan polis, kalau penjenayah itu dibebaskan tanpa dibawa ke pengadilan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hanya berkata dalam sidang medianya, "Kita siasat secara menyeluruh."

Video itu dikatakan ada kesamaan dengan video yang didedahkan kepada wartawan dan individu tertentu pada 21 Mac lalu dan diserahkan kepada polis oleh bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik pada 24 Mac lalu.

Selain Rahim, dua lagi 'Dato T' yang bertanggungjawab menyiarkan video itu ialah Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim. Kata mereka, video tersebut hanya ada satu salinan sahaja. Rakyat sudah semakin bijak membuat penilaian.

Kadangkala kita terfikir pula. Jangan-jangan, penyiaran itu terkait dengan niat untuk menyebarkan gambar lucah di laman muka depan Utusan Malaysia pada 5 April?

Jangan diherdik wartawan dan warga pekerja Utusan melainkan golongan yang bertanggungjawab meletak gambar lucah di depan laman Utusan sahaja. Akhir-akhir ini saya terfikir filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Alkisahnya, setelah segala usaha penduduk kampung menemui kegagalan, akhirnya Usop seorang OKU melaungkan usul yang bersifat revolusioner, "Apa kata, kita bakor sahaja rumah Kak Limah!?"

Begitulah keadaannya hari ini. Apabila memikirkan kewibawaan polis terhakis, kesucian mahkamah dinodai, SPRM umpama kilang pembunuhan, dan kini Utusan pula menyiar gambar lucah satu Malaya, maka jalan yang ada hanyalah,  "Kita bakar saja Utusan buat kali kedua!"

Simpan naskhah Utusan 5 April (edisi lucah) untuk tindakan kita bersama nanti. Janganlah bertanya sama ada kita mahu bakar atau tidak. Yang perlu kita bangkitkan pertanyaan, "Bilakah waktunya dan di manakah tempatnya untuk kita bakar Utusan itu?"

Semua ini sangat perlu sebagai lambang bantahan dan simbol protes terhadap SPRM, polis, mahkamah yang dirogol dan diperkosa kerajaan mutakhir ini. ibnuamir@gmail.com - Sekolah Pemikiran Kg Baru (SPKB).

No comments: