Thursday, May 12, 2011

1Malaysia ancam bangsa, bahasa Melayu secara Perlembagaan?

Oleh H FANSURI

Baru-baru ini, saya menerima kiriman e-mel dan catatan aduan ringkas daripada seorang rakan yang kini sedang menyambung pelajaran di luar negara.
Maka, isi catatan itu saya sunting sedikit untuk kesesuaian bacaan umum. Beliau adalah seorang ibu yang ingin mendaftarkan kelahiran anak beliau di Jerman. Tetapi, ada sedikit kesulitan yang berlaku, iaitu nama bangsa dan keturunan anaknya tidak boleh ditulis. Berikut diperturunkan sedikit kisahnya.

"Saya sekarang berada di Jerman. Saya daftarkan anak saya yang baru lahir di Konsulat Malaysia di Jerman pada hari Jumaat lepas (6 Mei). Untuk kami mendapatkan sijil kewarganegaraan, maka kami diminta mengisikan borang.

"Pada borang tersebut, bahagian keturunan ibu dan bapa kanak-kanak dicop dengan perkataan CANCELLED. Jadi, kami tidak perlu mengisi bahagian tersebut. Kemudian kami diberi sijil kewarganegaraan kanak-kanak tersebut.

"Pada ruang keturunan telah dicopkan dengan perkataan 'cancelled' (dibatalkan). Apabila saya bertanya kenapa tidak dicatatkan perkataan Melayu? Kata kerani tersebut, sejak diperkenalkan 1Malaysia, nama keturunan telah dimansuhkan.

"Itulah jawapannya. Harga borang dan sijil RM30," kata kenalan baru saya itu.

Tidak cukup dengan itu, kenalan baru saya itu mengirim borang pendaftaran kelahiran yang didapati di pejabat Konsulat Malaysia di Jerman itu sebagai bahan bukti yang menunjukkan bahawa di bahagian keturunan itu memang sudah dibatalkan.

Saya fikir kenalan baru saya di Jerman itu berkata benar kerana ini adalah pengalamannya sendiri. Jika Perdana Menteri Najib Razak membaca catitan ini, maka beliau boleh menghubungi pegawai yang bernama Mohd Marzuki Mohd Amin, Pegawai Konsul (Pendaftar Besar Warganegara, iaitu pegawai yang menandatangani borang) tersebut dan cik Petra Bercik, Consular Assistant (kerani yang menguruskan pendaftaran kewarganegaraan kelahiran itu).

Kadang-kadang, kita terfikir juga, adakah perkara seperti ini yang menyebabkan gelombang fikiran pekerja Utusan Malaysia (dahulu Utusan Melayu) pun menjadi bergelora dan memuncak lalu bertindak memuntahkan isi kemarahan hatinya di dada lautan rakyat sehingga masyarakat Melayu diseru supaya menggerakkan 1Melayu, 1Bumi?

Saya fikir, Utusan ini perlu kembali kepada akar umbi Melayu untuk menyeru semua Melayu untuk menolak 1Malaysia tajaan Najib Razak yang mendapat tajaan Apco Israel itu. Bukannya Utusan tidak tahu siapakah yang berada di belakang seruan 1Malaysia Najib Razak.

Oleh itu, Utusan Malaysia ataupun mana-mana sahaja kolumnis akhbar itu termasuk editorial lidah pengarang Utusan yang sudah menulis mengenai isu 1Melayu, 1Bumi (agar seruan 1Malaysia dihapuskan) sebelum ini, turut bangkitkan masalah keturunan Melayu yang gagal didaftarkan di luar negara ini. Janganlah hendaknya Utusan hanya membangkitkan perkara ini gara-gara pilihan raya di Sarawak sahaja.

Selain itu jika benar Perkasa dan lain-lain NGO Melayu pro-Umno ini mahu membela Melayu, maka tunjukkan bukti dalam perkara yang sama juga. Tidak molek jika badan-badan NGO Melayu ini cuma bersuara dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan politik kepartian semata-mata.

Di sinilah juga kita dapat menilai apakah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang merangkap Timbalan Presiden Umno itu ingin menyelesaikan beban permasalahan yang maha berat ini atau tidak demi kepentingan Melayu dan Islam? Jihad si Muhyiddin yang lebih bercitra Melayu adalah menegur kesilapan Najib Razak mutakhir ini yang hanyut dibuai oleh arus deras, di mana riak geloranya dicetuskan oleh Apco Israel yang menaja 1Malaysia ini.

Sepertimana yang disebut dalam Al-Quran, "Tidaklah sesekali Yahudi dan Nasrani merestui kamu sehinggalah kamu sendiri yang mengikuti jejak langkah mereka itu."

Pendek kata, jika Muhyiddin, Perkasa dan lain-lain NGO Melayu ingin menjadi pengkhianat Melayu, mereka hanya perlu berdiam diri dan jangan sesekali berani mengangkat suara untuk menegur Najib Razak.

Semoga Najib Razak tidak dianggap pengkhianat Melayu selepas mendengungkan 1Malaysia ini, selepas beliau seolah-olah menjadi pengkhianat Islam dan Muslimin ketika mengeluarkan kenyataan berhubung 'kematian' Osama kerana begitu takutkan pelobi Yahudi Zionis dan kaum Neocon Amerika itu.

No comments: