Saturday, May 14, 2011

Taib 'rasuah' Najib dengan pingat gelaran kepada Rosmah?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Najib Razak amat bergantung harap kepada Taib Mahmud untuk memenangi pilihan raya di Sarawak. Pengalaman Taib itu tentu sahaja tidak boleh diabai oleh Najib. Itu antara sebab kenapa Taib Mahmud masih berpeluang bertanding dan kononnya beliau akan melepaskan jawatannya selepas itu.

Mengikut lojik fikiran, orang yang akan bersara tidak akan menunjukkan minat bertanding pilihan raya untuk memegang jawatan lagi. Tetapi sifir ini tidak digunakan Taib Mahmud. Barangkali, sudah tentu ada sebarang perjanjian, 'deal', perhitungan dan kira bicara mengenai siapa mendapat apa?

Dan yang terkini Najib berkata bahawa adanya 'tempoh peralihan' untuk menggantikan kedudukan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak. Di sini, terbit beberapa kemungkinan dan pertanyaan - kenapakah susah sangat menyingkirkan racun toksik dalam pemerintahan Taib ini?

Penjelasan awal, Rosmah isteri Najib Razak pernah diberi pingat gelaran oleh Taib Mahmud. Adakah hati Najib Razak mula lemah kepada Taib? Andaian ini, sekiranya benar, maka ia malapetaka besar. Rakyat perlu membangun peringatan agar hati Najib tidak dilemahkan Taib Mahmud melalui pemberian pingat dan gelaran terhormat ke atas Rosmah di Sarawak baru-baru ini.

Adakah pengurniaan pingat dan darjah kebesaran kepada Rosmah itu boleh dilihat sebagai 'rasuah' kepada Najib Razak agar Taib terus kekal berkuasa di Sarawak selepas pilihan raya nanti? Wallahu'alam. Namun, kemungkinan ini tetap ada. Janji manusia boleh bertukar, inikan pula janji politikus.

Jika pemberian pingat gelaran daripada Sarawak ini boleh dilihat sebagai umpan Taib untuk 'membeli' Najib, tentu sahaja Taib terlepas daripada jebakan SPRM, apatah lagi dengan imej SPRM yang telah sedia buruk selepas insiden kematian seorang pegawai Kastam sebelum ini.

Namun, nasihat kepada Najib Razak agar beliau tidak malu alah kepada Taib Mahmud dalam hal pemberian pingat dan bintang gelaran terhadap Rosmah ini tentu sahaja menyemai benih masalah. Dalam politik, nasihat rakyat akan diabaikan Najib dengan mudahnya. Pesan agamawan Umno pun Najib tolak ketepi, inikan pula pesan rakyat.

Kedudukan Taib dengan Sarawak hampir sama kedudukan Dr Mahathir dengan Malaysia. Taib Mahmud mencapai tahap usia matang politik. Rakan lawan Taib pada usia muda mereka sudah ramai yang tersingkir daripada arena politik. Yang kekal adalah Taib.

Keadaan ini sama seperti Dr Mahathir yang sudah banyak menyingkirkan 'pembantu-pembantu'nya sebelum ini seperti Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam. Maka, yang tinggal kekal selepas penyingkiran ini adalah Dr Mahathir dan Taib Mahmud itu sendiri.

Setiap kali penyingkiran pembantu-pembantu Dr Mahathir ini, sejarah menunjukkan berlakunya pergolakan-pergolakan besar di dalam parti. Penyingkiran Tengku Razaleigh misalnya menyaksikan kewujudan Team A dan Team B dalam Umno yang kemudiannya melahirkan Semangat 46.

Malah, ada keunikan terjadi ketika Dr Mahathir 'menyingkir' diri sendiri daripada Umno. Iaitu beliau berhasil menyingkir Abdullah Ahmad Badawi selepas Najib Razak gagal membuang Abdullah, Perdana Menteri yang lemah itu.

Adakah Taib Mahmud akan menjadi seperti Dr Mahathir? Iaitu, tersingkir (atau menyingkirkan diri sendiri) tetapi masih mempunyai sengatan di Sarawak?

Lee Kuan Yew misalnya masih mempunyai sengatan walaupun sudah meninggalkan jawatan beliau itu sejak sekian lama. Dr Mahathir misalannya, masih lagi mempunyai kuasa walaupun sudah melepaskan jawatannya.

Sama ada mereka menyingkirkan diri daripada sistem kepartian yang mereka sendiri ciptakan, namun lingkaran sengatan itu masih tetap wujud berbisa.

Taib Mahmud mungkin akan menyingkirkan dirinya sendiri dalam keadaan beberapa kepentingannya masih wujud dalam ekonomi Sarawak. Taib mungkin menjadi seperti Dr Mahathir dan kapitalis British ketika pihak kolonial mahu berundur meninggalkan Malaya.

Dr Mahathir melepaskan jawatan tapi masih ada kepentingan ekonomi dalam Petronas. Kolonial British juga melepaskan Malaya lalu serah kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman dengan suatu perjanjian; bahawa segala kepentingan ekonomi British seperti perladangan getah dan komoditi lainnya mesti Tunku pelihara. Maka, atas perjanjian itulah British 'melepaskan' Malaya kepada Umno dan Tunku.

Begitulah sedikit sebanyak gambaran persamaan antara Dr Mahathir, Taib Mahmud dan kolonial British. Mereka ada kepentingan ekonomi. Taib juga ada kepentingan empayar ekonomi yang dibinanya sebelum ini. Justeru, jika Taib berundur, mungkin kepentingan ekonomi itulah yang mesti Najib pelihara.

Namun, ketika berdepan dengan pilihan raya Sarawak ini, Najib memang sangat memerlukan Taib Mahmud. Kalau BN menang di Sarawak, maka tuntutan Taib Mahmud tentu sahaja lebih banyak terhadap Najib jika hajat Taib berundur daripada politik Sarawak itu terlaksana.

Maka, tiada jalan lain lagi daripada menyelamatkan ekonomi Sarawak daripada berterusan disedut oleh empayar Taib, melainkan PR mesti gulingkan BN agar segala kepentingan ekonomi empayar Taib itu dapat dikembalikan semula 100 peratus kepada rakyat.

Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Maka, 'sayangkan' Najib, Taib Mahmud dan Rosmah, guling-gulingkan. Sayang Sarawak, sungai kemakmurannya itu kita sempit-sempitkan bagi Taib Mahmud dan lebar-lebarkan bagi rakyatnya.

No comments: