Thursday, June 23, 2011

Najib Razak, rasuah dan kronikah yang sebabkan tindakan tertunda 2 tahun?

Oleh H FANSURI

Saya pernah terdengar dalam suatu kuliah Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas bahawa suatu ketika dahulu, pada zaman Tunku Abdul Rahman, ada seorang menteri atau pegawai berjawatan tinggi yang terus dipecat kerana menerima rasuah sebanyak RM200 sahaja.

"Kini, rasuah bukan sekadar RM200," kata Al-Attas. Kempen mengatasi rasuah memang giat dicanang di televisyen. Tapi, yang kerap tersangkut di jaring pukat SPRM adalah 'ikan bilis', bukan 'ikan jerung'. Kalau sudah tertangkap, nescaya mati pula seperti Beng Hock dan kes pegawai kastam sebelum ini.

Syahadan, berbicara mengenai rasuah, maka 'Bruce Wayne', sahabat lama saya menghubungi saya baru-baru ini. Agak lama kami berbual. Ia mengenai rungutan penduduk terhadap penjaja kecil yang berniaga berhampiran Taman Seri Serdang, Kepala Batas. Katanya, gerai penjaja itu terletak di sebatang jalan garisan belang tempat laluan orang.

Maka, beliau pun mengirim suatu aduan salah seorang rakannya yang pernah mengirim aduan itu kepada pihak berkuasa tempatan. Aduan itu dikarang dengan judul, "Penjaja Haram Pulau Pinang: Antara Keluarga, Hubungan Istimewa, Kroni atau Makan Suap?"

"Tolonglah sampaikan kepada mana-mana pihak agar diambil tindakan," kata 'Bruce Wayne'. Saya pun meneliti aduan itu. Ia ditulis atas nama 'Para Ibu Prihatin Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang'.

Tulisan itu saya sunting sedikit untuk kesesuaian pembacaan umum, seperti di bawah ini...

"Kami adalah para ibu dan suri rumah yang sering menghantar dan mengambil anak pergi dan balik dari sekolah ingin membuat aduan tentang ketidakpuashatian kami terhadap penjaja kecil yang menjaja di tepi jalan terutama berdekatan simpang dan garisan belang yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan membahayakan para pelajar sekolah yang melintas jalan raya berkenaan.

"Jalan raya yang kami maksudkan ialah di Jalan Tiga, Taman Seri Serdang Kepala Batas SPU, Pulau Pinang yang amat berdekatan dengan Kuarters Guru Taman Seri Serdang, SMK Kepala Batas dan SK Kepala Batas SPU Pulau Pinang.

Apa yang menghairankan, dari maklumat yang diperolehi secara tidak rasmi dan pemerhatian yang dibuat, didapati ramai kakitangan pihak berkuasa seperti MPSP, Pegawai Pejabat Tanah Dan Daerah, termasuk para Pegawai Polis dan kakitangan Jabatan Lain seperti Hospital dan sebagainya serta orang awam yang datang makan seolah-olah tidak memperdulikan tahap kebersihan makanan dan keselamatan masing-masing memandangkan kenderaan yang lalu-lalang yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan.

Kami amat risau tentang keselamatan anak-anak kami terutama yang masih belajar di sekolah rendah yang sering kali melintas jalan untuk mendapatkan makanan dari gerai berkenaan. Pernah beberapa kali anak-anak kami hampir dilanggar oleh beberapa kenderaan yang lalu-lalang ditempat berkenaan.

"Sebelum ini juga terdapat kemalangan nyawa yang melibatkan orang awam yang menaiki motosikal kerana berkemungkinan cuba mengelak daripada kenderaan yang berhenti membeli makanan terutama penjaja yang menjaja berdekatan 'zebra line' dan simpang empat bertentang dengan kuarters guru.

"Kejadian seperti ini sudah beberapa kali pernah disaksikan sendiri oleh beberapa orang pihak berkuasa yang singgah ke gerai menjaja berkenaan seperti kanak-kanak melintas jalan dan hampir dilanggar kenderaan yang lalu-lalang di situ tapi kenapa tidak ada sebarang tindakan tegas seperti memindahkan gerai-gerai tersebut ke tempat yang lebih sesuai?

"Lebih menghairankan bagaimana para penjaja ini dengan mudah menceroboh dan membina gerai besi dengan tidak mengikut undang-undang sebenar dalam mendirikan gerai menjaja. Saya tidak mahu menuduh tapi persoalan timbul apakah pihak yang bertanggungjawab bersekongkol dengan para penjaja ini kerana mungkinkah ada hubungan kekeluargaan, hubungan istimewa, kroni atau makan suap?

"Aduan pernah dibuat sebelum ini tapi tiada tindakan susulan dibuat. Hanya tindakan kompaun sahaja yang diambil oleh pihak MPSP yang dinyatakan melalui maklumbalas e-mail bertarikh 21 Mac 2009 iaitu lebih dua tahun yang lalu yang dihantar kepada kami bahawa bidang kuasa untuk memindahkan penjaja ini adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah Daerah.

"Persoalannya kenapa asyik menuding jari? Sampai bila perkara ini akan selesai? Apakah pihak MPSP tidak boleh bekerjasama dengan pihak PTD untuk selesaikan masalah ini bagi membantu orang awam misalnya? Hendak seribu daya.

"Untuk pengetahuan semua anak-anak kami sebelum ini memang pernah mengalami masalah keracunan seperti terdapat kesan kencing kucing melalui makanan atau minuman yang mereka makan dan minum setelah membeli makanan dan minuman dari penjaja haram berkenaan. Kami sebelum ini sengaja tidak mahu memperbesarkan hal ini kerana tidak mahu berlaku salah faham."

Selesai membaca surat ringkas Para Ibu Prihatin ini, dengan masalah mereka yang berlarutan hingga dua tahun (2009 - 2011), maka tidak boleh salahkan mereka jika wujud spekulasi bahawa masalah yang tidak kunjung selesai ini berkemungkinan daripada kroni dan rasuah. Spekulasi hadir ketika kes sudah berlarutan dan ketika menteri tidak menjawab soalan wartawan.

Nota ini sekadar luahan rasa kita kepada Najib Razak - benarkah ada unsur rasuah dan kroni di taman perumahan itu?

No comments: