Thursday, June 23, 2011

Keluar Umno lebih baik daripada menyelar video seks

Oleh RUHI HAYATI THANI

Ketika agamawan Umno-Salafi Wahabi mula memasuki Umno, mereka dijebak dengan ugutan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan bahawa kononnya di kebanyakan universiti dan kampus tempatan kini sudah menular faham keganasan yang dibawa oleh Jemaah Islamiyyah (JI).

Khabarnya ugutan Musa ini berhasil membawa masuk kira-kira 100 nama agamawan pada mulanya, tetapi pada saat-saat akhir hanya 40 sahaja terlekat dalam jaringan pukat tipu helah perdaya Umno dan polis itu. Baki 60 agamawan lagi khabarnya sedang berfikir.

Tapi, akhirnya Musa berundur dan laporan berita mengenai baki 60 agamawan itu akan masuk Umno mula sepi. Dan, syukurlah Umno pun tidaklah peduli lagi sama ada 60 agamawan Umno itu mahu masuk ataupun tidak.

Mungkin, bagi Umno, tidak dapat 100 pun, 40 agamawan pun sudah memadai untuk membuktikan bahawa Umno pun parti yang perjuangkan agama. (Senarai 100 nama mereka ini khabarnya sudah ada dalam simpanan pihak tertentu)

Jika tidak, masakan Umno disertai oleh 40 agamawan berbondong-bondong, beramai-ramai itu? Helah ini berkecai bagai kaca yang terhempas ke lantai, menjadi keping-kepingan yang mudah melukakan hati sesiapa pun. Kaca yang halus itulah yang mungkin terpijak oleh orang-ramai yang berjalan menuju mencari jalan pulang kehadrat Tuhan.

Di sana, ada hadis nabi yang jelas menunjukkan kepada kita bahawa iman yang paling lemah ialah mengeluarkan benda-benda tajam di jalanan. Maka, duri-duri keman atau kaca-kaca yang bertabur di jalanan itu jika dikutip, maka ia telah menunjukkan bahawa mereka beriman dengan kadar paling kecil.

Tapi, kemasukan 40 agamawan ini ke dalam Umno adakah boleh dikatakan sebagai iman yang tinggi? Walhal, mereka terpaksa masuk Umno sebab takut ditahan di bawah ISA lantaran bimbang difitnah sebagai pengganas JI di kampus-kampus.

Bagaimanapun, betapa akhir-akhir ini pun, kita sudah dapat melihat agamawan Umno Salafi-Wahabi itu akhirnya terpaksa meluahkan rasa tidak senang yang lama terbuku di hati mereka berhubung pendedahan video seks trio Dato' T di tengah-tengah masyarakat edan kini.

Di sana, memang ada juga hadis yang menyebutkan bahawa sebaik-baik jihad adalah perkataan adil, benar yang disuarakan di hadapan pemimpin yang zalim. Sebenarnya, dalam konteks perlawanan agamawan Umno Salafi-Wahabi ini, semua ini memang mudah dilaksanakan.

Apa susahnya 40 agamawan Salafi-Wahabi itu membangunkan tegurannya terhadap Najib Razak berkaitan video seks, sedangkan masyarakat umum pun sudah lama tidak menyenangi kehadiran video tersebut. Jadi, mereka pun sedar bahawa mereka sebenarnya ada sokongan rakyat dalam hal ini.

Tetapi, sekadar menyelar dari dalam Umno, maka hal itu belum membuktikan apa-apa. Sesiapa pun boleh menyelar Umno seperti ular tedung selar. Tapi, bisa selaran itu akan lebih terasa menusuk ke jantung hati Umno jika 40 agamawan Salafi-Wahabi itu bertindak keluar daripada Umno beramai-ramai.

Walaupun Mursyidul Am Pas yang beraliran Kaum Muda (mirip fahaman 40 agamawan Umno) sudah menasihat mereka keluar Umno, tapi belum terzahir petanda isyarat bahawa mereka akan keluar Umno.

Jika pimpinan PDRM takut menerima nasib sama seperti Musa Hassan yang dibuang selepas berjasa besar kerana 'membawa' agamawan Salafi-Wahabi ke dalam Umno, inikan pula 40 agamawan muda yang tiada perlindungan apa-apa itu.

Setidak-tidaknya, pimpinan PDRM itu lengkap bersenjata, tapi tetap sahaja gentar kepada Hishammuddin jikalau kenyataan mereka didapati bercanggah dengan Umno. Apatah lagi 40 agamawan Salafi-Wahabi yang masuk Umno dengan 'tangan kosong' itu.

Tapi, itulah lumrahnya. Sekadar tindakan agamawan Salafi-Wahabi menyelar Umno dari dalam, maka itu bukan sikap perwira. Ini kerana, yang mengkritik Umno bukan seorang dua.

Ramai sudah para pensyarah Umno yang sudah menjadi 'jaguh' kerana menyelar Umno atas isu PPSMI, tetapi dengan tiba-tiba pensyarah Gapena Umno ini bakal mengundi Umno juga dengan setianya dalam pilihan raya umum akan datang nanti bagaikan pengkhianat Melayu jua.

Yang berani menyelar Umno ini juga, dengan tiba-tiba boleh menyokong kezaliman Umno. Adakah 40 agamawan Umno ini akan mengundi Umno ataupun sebaliknya?

Apa-apa pun, jikalau yang dianggap 'suci' dan 'terbaik' dalam Umno (pensyarah dan agamawan Umno) pun hanya sekadar terdaya menyelar, (tapi akhirnya mengundi Umno juga), maka siapalah lagi kelompok yang boleh diharap untuk memberi pengajaran kepada watak Yahudi dalam Umno ini?

Kekalnya agamawan Salafi-Wahabi ke dalam Umno bukanlah akan menyebabkan dakwah Islamiyyah itu berkembang dalam Umno, kerana Umno kini hanya boleh 'didakwah' melalui laras bahasa undi.

Umno tidak risau dan gusar ke atas kritikan sesiapa pun termasuk teguran mufti-mufti. Kalungan bunga masih juga diletakkan di Tugu Negara walaupun ada fatwa jelas berhubung kesyirikan amalan itu.

Agamawan Umno Salafi-Wahabi tentu sedar bahawa yang dirisaukan Umno ialah ketika mana undi dan sokongan rakyat telah beralih arah daripada mereka. Maka, saranan Mursyidul Am PAS supaya mereka keluar Umno itu perlu mereka ikuti jika benar-benar mereka itu perjuangkan agama.

No comments: