Sunday, June 19, 2011

Bersatulah umat penyair-penulis, selamatkan KTM Tg Pagar Singapura

Oleh H FANSURI

Salam revolusi Dato' A Samad Said yang terhormat. Baru-baru ini sekumpulan masyarakat penulis bertamu di sebuah penerbitan di Shah Alam kerana ada projek penulisan yang mereka rencanakan beramai-ramai itu. Saya dapati, ada lima jenis buku yang bakal mereka terbitkan. Untuk ringkas cerita, cuma 2 aliran novel yang saya sebutkan di sini.

"Bagi penulis mapan, digalakkan mengarang bagi Jiwa Kacau dan Orang Berdosa," kata penganjur mesyuarat bersama penulis itu. Saya bertanya kepada editor novel kumpulan Jiwa Kacau, "Adakah jiwa kacau ini boleh dikarang tulis dengan menyentuh isu politik semasa?"

Beliau menjawab, "... biar profesional, jangan bangunkan kritikan kepada parti A saja..." Saya angguk walau terperangkap dalam daerah kesamaran untuk mentakrifkan bait-bait penjelasan itu. Manakala bagi aliran novel Orang Berdosa, menurut editor, isinya sarat dengan riak gelombang bernada Islamik.

Kata editor kumpulan novel Orang Berdosa, "...Ayat dalam novel ini mesti bersifat melankolik dan nadanya berentakkan gaya keagamaan..." Sekali imbas, di sini, novel Islamik dalam takrif aliran Orang Berdosa yang dinisbah kepada Islamik ini, seolah-olah menggambarkan pencarian jalan pulang jiwa orang berdosa untuk kembali kepada rahmat dan keampunan Tuhan. Begitu tafsiran awal saya. Saya fikir, dalam hal ini, memang tiada salahnya Pak Samad.

Cuma saya sering terfikir juga betapa novel Islamik hari ini kerap terhitung dalam himpunan wajah-wajah keinsafan manusia berdosa. Saya terfikir, novel Islam ini mungkin boleh berkembang dalam wajah rupa paras perlawanan kaum marhaenis mustadh'afin (miskin tertindas) ke atas elit pemodal kapitalis mustakbirin (pemeras, penindas).

Hal-hal perlawanan ini jelas terzahir apabila kalimat mustadh'afin dan mustakbirin ini kerap disebut-sebut dalam Al-Quran juga. Ringkasnya, novel Islami juga adalah novel-novel revolusi yang dikarang tulis para pengarang yang berjiwa revolusioner. 
 
Wujudkah para penerbit yang bersedia menerbit novel di dalam rupa paras gaya penentangan begini? Jika dikarang kisah umat melawan PPSMI tajaan elit pemodal Umno ini, berapa banyak perusahaan bersedia menerbitkannya? Inilah antara gugusan, sederet pertanyaan yang berbaris di fikiran saya, hanya menunggu orang-orang yang bersedia menjawabnya.

Tentang Jiwa Kacau bercorak 'thriller' dan pembunuhan tadi, adakah boleh kita tulis ceritera kematian Altantuya dan Beng Hock dengan sedikit gubahan? Adunan kisah pembunuhan yang diramu dengan bom C4 dan nama-nama Sirrul Azhar dan Azilah Hadri yang ditukar-tukar ini, bolehkah diterbitkan? Najib bukannya bodoh sangat. Beliau tentu ada penasihat untuk memantau kesusasteraan melawan pada masa depan.

Sekali-sekali menyindir Najib lewat cerpen dan novel di akhbar arus perdana, mungkin Najib dan Rosmah tidak perasan. Tetapi, para pengampu ini bukan tiada yang bakal tampil berbisik ke telinga Najib mengenai kehadiran karya-karya revolusioner yang bakal menggulingkan mereka di Putrajaya nanti.

Tidak apalah Pak Samad. Ini sekadar nota yang bersifat mengajak kita khasnya penyair dan pengarang merenung semula gejala gelap yang terbentang di depan mata. Kini, mana ada penyair dan pengarang yang ditangkap, dihumban ke penjara gara-gara karyanya menikam perasaan pemerintah? Anugerah kesusasteraan tanahair belum menampilkan watak pengarang yang dizalimi di jeriji besi.

Dahulu, A Samad Ismail merengkok di penjara kerana laporannya. Said Zahari mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu ditahan ISA 17 tahun dan dia pun bercerpen mengarang puisi di penjara.

Saya tulis begini, kerana seorang kenalan berbisik selepas tamat acara di Shah Alam itu, "Dengarnya, Julai depan KTM Tg Pagar, Singapura ditutup. Perlu ada acara puisi di sana." Maka, saya tertanya juga, oleh sebab nafas muda Pak Samad pernah berhembus di bumi itu, apa kata kita berbuat sehabis baik, sedaya upaya sekudrat tenaga untuk mengekalkan KTM itu?

Beberapa kerat penyair, pengarang muda berkata, "Awak buang masa, kerajaan Malaya, Singapura dah memutuskan segala perkara..." Saya kata, "Lebih mulia kalah daripada mengalah. Yang kalah tidak dihukum Tuhan, tapi melarikan diri dari medan perang, hal itu memang dicela Tuhan dalam Al-Quran." Jadi, Pak Samad fikir bagaimana?

No comments: