Oleh BOESTAMAM SARI
Jika mahu pilih jalan selamat, maka sebaik-baiknya pihak polis sejak awal lagi jangan bermain dengan perasaan masyarakat awam. 'Kata-kata hikmat' polis sebelum ini ialah - polis sudah pun mengesahkan siapakah lelaki yang berada di dalam video seks itu.
Jika mahu pilih jalan selamat, maka sebaik-baiknya pihak polis sejak awal lagi jangan bermain dengan perasaan masyarakat awam. 'Kata-kata hikmat' polis sebelum ini ialah - polis sudah pun mengesahkan siapakah lelaki yang berada di dalam video seks itu.
"Tapi, polis tidak pula mendedahkan siapakah lelaki itu," kata seorang teman. Kenyataan polis yang kedua mengenai isu yang sama ialah, salinan video seks itu sudah pun dihantar kepada pasukan penyiasat luar negara kerana ingin menguji ketulenan video seks tersebut.
Sesudah itu, PDRM mendedahkan kepada umum bahawa video seks tersebut adalah tulen. Padahal, semua kenyataan berhubung ia tulen ataupun tidak itu, sudah tidak perlu lagi disahkan kerana trio Dato' T sudah pun tampil bagi mengesahkan kehadirannya sebagai dalang pembikin video seks itu sekali gus membenarkan bahawa kejadian seks itu benar-benar berlaku.
Dan, mutakhir ini PDRM seolah-olah sudah tertekan kerana ramai wartawan bertanya soalan bertubi-tubi dan mendesak mereka agar mereka dedahkan siapakah lelaki yang dikatakan memang sudah dikenalpasti oleh PDRM itu.
Timbalan Ketua Polis Negara tidak terdaya menjawab. Jalan keluar atau jalan selamat ialah, dia perlu memilih ayat-ayat terbaru untuk diberikan kepada barisan wartawan yang asyik bertanyakan soalan itu.
Kesilapan ini berlaku sejak awal lagi ketika polis berkata, mereka sudah kenal identiti lelaki itu. Jikalau polis berkata, bahawa mereka masih menyiasat, atau polis berkata, bahawa gambaran lelaki dalam video seks itu masih samar-samar, maka tidaklah wartawan mendesak polis menjawab teka-teka ini.
Akhirnya, mungkin sebagai jalan selamat, maka TKPN hanya terdaya berkata, bahawa tiada keperluan daripada segi perundangan untuk PDRM dedahkan identiti lelaki dalam video seks ciptaan trio Dato' T itu.
Tambah Khalid Abu Bakar, kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang menjurus kepada kesalahan mengedar dan mempamerkan video lucah sahaja dan ditinjau daripada sudut itu, tiada keperluan untuk pihak polis mendedahkan identiti lelaki itu.
"Tiada keperluan undang-undang untuk mendedah pelakunya. Jika kita mengambil tindakan yang lebih daripada had undang-undang, kita akan dituduh pula terlibat di dalam politik," kata Khalid.
"Kita menjalankan tanggungjawab menyiasat kes ini, apa yang tidak boleh didedah kita tidak akan dedah. Jangan mendesak kita, kita mengikut peruntukan undang-undang," katanya ketika mengulas kenyataan Zaid Ibrahim yang mendakwa kewibawaan polis terjejas jika teragak-agak mendedah identiti pelaku dalam video seks itu.
Sepatutnya, Khalid tidak patut berhujah bahawa dengan mendedahkan nama pelaku itu, maka PDRM akan dituduh terlibat pula dalam politik. Kenapakah pula polis yang menyiasat ini dengan tiba-tiba pula boleh berasa gusar dan bimbang?
Sehingga kini, tidak sedikit pun kita dengar kalau-kalau biro dan unit agama atau kor agama PDRM itu berfungsi dan bertindak sebagai badan penasihat kepada PDRM berhubung isu video seks itu.
Saya difahamkan, PDRM juga sudah menjadi seperti tentera yang ada kor agama mereka sendiri. Tetapi kor agama PDRM ini entah apa pula peranannya?
Bagaimanapun, setidak-tidaknya dengan penyebaran video seks ini akhirnya sikap masyarakat terhadap polis sudah buruk dan berubah sama sekali. Kita sudah mula meragui PDRM itu sendiri. Kalau kita berada di tempat polis pun, boleh jadi kita berasa serba salah juga.
Gaji, elaun dan pelbagai imbuhan sudah pun diberikan oleh kerajaan. Jadi, mustahil polis tidak terhutang budi dengan Umno-BN? Bagaimanakah PDRM mahu menangkap trio Dato' T (Shuib, Eskay dan Tambi Chik) jika ketiga-tiga mereka adalah orang-orang yang erat terlibat dengan Umno yang telah lama menawarkan gaji, elaun dan pelbagai imbuhan kepada mereka selama ini?
Sedangkan Azilah Hadri, Sirrul Azhar yang terang-terangan membunuh Altantuya itu pun boleh terlepas, inikan pula trio Dato' T yang memang menyerang terang-terangan musuh Umno, BN (Anwar) itu. Sudah tentu trio Dato' T yang tidak membunuh (hanya fitnah) ini akan selamat dalam apa keadaan pun.
Seperti biasa, Najib Razak akan mengambil sikap membisu dahulu buat sementara dan membiarkan trio Dato' T ini bercakap kepada media. Menaburkan isi fitnah dengan pelbagai cara seperti jam Omega dan sebagainya, bukanlah akan menjebakkan Eskay ke dalam kancah bahaya.
Skripnya telah tersedia, iaitu gabungan tiga trio ini mungkin akan terlepas juga akhirnya melalui mahkamah. Kalaupun terkena hukuman, mungkinlah ada juga habuan-habuan lain selepas mereka dihukum itu.
Bagaimanakah caranya Umno berfikir, maka mungkin begitulah polis berfikir. Cara mereka berfikir dan berkata kepada media lebih kurang sama, supaya mereka saling menjaga antara satu sama lain. Misalnya, dalam isu video seks tersebut, pemimpin Umno dan polis bercakap dalam riak gelombang nada yang lebih kurang sama.
Perkara yang dibangkitkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat pada awalnya bukanlah persoalan video itu tulen atau palsu, tapi perihal lelaki berperut buncit yang dikatakan mirip Anwar itu. Juga, pimpinan Umno dan polis tidak menjawab soal Twitter pada malam kejadian rakaman itu dibuat. Tetapi, kor agama PDRM buat apa sekarang ini? Kita tertanya-tanya juga.
No comments:
Post a Comment