Thursday, June 16, 2011

Al-Attas cuma diperalatkan, dia bukan sokong Umno

Oleh H FANSURI

Entahlah dirasuk oleh fahaman jenis apa, maka dengan tiba-tiba sahaja Najib Razak pun mengeluarkan suatu kenyataan berhubung guru berwibawa, dan pendeta guru sempena Hari Guru ini.

Kadangkala pening juga memikirkan, apakah Najib Razak mengerti makna guru? Bezanya guru dengan mahaguru, pendeta, cendekia. Kesemua perkataan ini menunjukkan bahawa betapa Melayu ini tidaklah pernah sunyi, kering, gersang lagi tandus daripada wilayah alam keilmuan.

Betapa banyaknya perkataan yang dihubungkan dengan perguruan itu menunjukkan bahawa bangsa ini memang kaya dan mewah dengan keilmuan dan tidak perlu menjadi pengemis dan bergantung kepada bahasa tamadun dan bangsa lain untuk melayakkan mereka menjadi cerdik pandai.

Adakah semua perkara ini menjadi lintasan hati dan perasaan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin? Jadi, kedua-dua pimpinan Umno ini perlu menilai dan menilik kembali, adakah mereka faham apa-apa yang mereka sebutkan mutakhir ini? Guru-guru jenis acuan bagaimanakah yang boleh mengangkat bangsa?

Adakah guru-guru dalam aliran sistem pengajian hari ini benar-benar guru dalam erti kata ulama yang mewarisi ilmu yang dipusakai oleh anbiya' sebelum ini?

Padahal, Najib Razak baru sahaja menyampaikan anugerah kepada  Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tokoh guru bangsa baru-baru ini. Jadi, tidakkah Najib belajar sesuatu daripada Al-Attas itu?

Nampaknya Umno memang licik. Parti itu bukan cuma menyampaikan anugerah itu dalam kekosongan jua, melainkan ia memberi anugerah itu bertujuan mengangkat kata-kata Al-Attas, bahawa perjuangan Umno itu sungguh bermakna dan terus kekal relevan sampai bila-bila.

Benarkah begitu maksud sebenar Al-Attas? Sebetulnya, kerelevanan Umno itu bersyarat juga. Iaitu, hal kerelevanan itu mestilah bersandarkan kepada sikap Umno, sikap Najib serta Muhyiddin untuk kembali mendengar petunjuk alim ulama dan cendekiawan universiti dalam urusan menguruskan negara ini.

Tetapi hakikat dan realiti yang ada, telah menunjukkan bahawa Umno sudah menolak pendapat ulamak dalam urusan menegakkan hukum hudud. Umno juga menolak pandangan golongan cendekiawan yang pernah menolak dasar PPSMI ini. Oleh itu adakah relevan Umno hari ini setelah mereka menolak suara ulamak dan cendekiawan kita berhubung hukum hudud dan pemansuhan PPSMI itu?

Jawapannya, Umno tidak lagi relevan. Al-Attas, menurut hemat saya, telah pun memilih kata-kata yang bijaksana, iaitu dengan meletakkan syarat bahawa Umno itu relevan 'jika' parti itu mahu mendengarkan pandangan ahli ilmu yang bijaksana dan tiada kepentingan peribadi.

Dan, saya mengenali ketokohan watak Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas melalui beberapa siri ucapannya termasuk tulisannya. Dalam kebanyakan tulisan orang berhubung cara berfikir Al-Attas ini, saya terkesan dengan salah satu pandangannya berhubung sikap dan pendirian dakwah Nabi Yunus a.s.

Kata Al-Attas, beliau mengambil iktibar daripada sikap Nabi Yunus a.s yang meninggalkan dakwah ke atas kaumnya. Lalu, akibatnya, baginda dihukum Tuhan dengan bergelap dalam perut ikan Nun.

Jadi, kata Al-Attas walaupun idea-ideanya ditolak dan dibuang, tetapi beliau tetap tidak akan melarikan diri daripada umat ini. Catatan itu sudah saya lupa terletak dalam majalah apa dan bertarikh bila. Cuma yang saya ingat, Al-Attas mempersembah pandangan itu dengan cara yang menarik.

Demikianlah Al-Attas (sebagaimana yang dirakam pengarang yang menulis berhubung idea-idea beliau yang ditolak selama ini), beliau tetap tidak akan melarikan diri daripada umat. Dia tidak akan bersikap seperti Yunus bin Matta yang meninggalkan kaumnya semata-mata kerana seruannya ditolak.

Lalu, baru-baru ini, seorang kenalan memanjangkan pertanyaan tentang anugerah daripada Umno yang baru diterima oleh Al-Attas itu.

"Adakah beliau melihat Umno itu masih relevan?" tanya rakan bualan saya itu ketika merujuk pautan Youtube berjudul, 'Perjuangan Umno sangat bermakna dan terus relevan - Syed Naquib.'

Maka, demikianlah jawapan yang kita tinggalkan di atas. Pertama, menurut hemat saya, tokoh tersebut menjawab secara bijaksana dan berhemah, dengan cara meletakkan syarat tertentu jika Umno ingin jadi relevan, iaitu dengan mendengar pandangan orang bijaksana, berhikmah dan tiada kepentingan.

Jadi soal kenapakah beliau masih juga pergi menemui Umno yang hampir binasa itu, maka tindakan itu mungkin disebabkan kerana Al-Attas tidak mahu bersikap seperti Nabi Yunus a.s yang sudah bertindak meninggalkan seruan dakwah ke atas kaumnya.

PARTI GERAKAN TAJAAN AL-ATTAS, BUKTI UMNO TIDAK RELEVAN

Apabila seorang yang berilmu telah mengambil keputusan untuk meninggalkan seruan ke atas kaumnya maka Allah s.w.t akan menimpakan azab dan hukuman ke atas orang yang berilmu itu.

Untuk keperluan akliah saya sendiri, maka saya fikir adalah lebih baik kalau saya pilih untuk berlapang dada dan bersangka baik terhadap kenyataan Al-Attas baru-baru ini.

Hanya bersandarkan kepada media Umno semata-mata, maka tidaklah adil untuk saya sendiri terus membuat keputusan bahawa Al-Attas sudah menganggap bahawa Umno itu relevan dalam keyakinan yang sebenar-benarnya.

Jika Umno masih relevan, masakan Al-Attas bersama saudaranya Syed Hussin Alatas dengan tiba-tiba boleh tergerak menyatu dalam rangka menubuhkan Parti Gerakan yang berjiwa Sosialis hingga berjaya menumbangkan Umno dalam pilihan raya umum 1969 tidak lama dahulu? Ertinya, Umno juga tidaklah relevan pada ketika itu, dan tidak mustahil untuk tidak lagi relevan buat masakini.

No comments: