Thursday, June 16, 2011

Umno jebak Al-Attas? 16 Mei... guru-guru selamat menggulingkan PPSMI 2.0!

Oleh H FANSURI

Salam Dato' A Samad Said yang terhormat. Baru-baru ini, saya menonton Youtube mengenai wawancara Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang menerima anugerah Umno. Beliau adalah guru bangsa berjiwa revolusioner. Beliau terlibat dalam saf gerakan revolusi Indonesia anjuran Sukarno, begitu antara isi wawancara itu.

Arakian, dalam temu bual itu juga, saya fikir parti ini menjebaknya dengan persoalan tentang kerelevanan Umno. Jadi, ucapan beliau di klip video itu pun diberikan tajuk, bahawa Umno itu masih juga relevan.

Sebenarnya, beliau yang saya kenal melalui murid-muridnya, adalah watak yang tidak gemar ucapannya dirakam, juga beliau tidak gemar kalau ceramah ilmiahnya dilaporkan di dada akhbar. Kata murid-muridnya, beliau khuatir umat akan salah tanggap dan salah faham tentang maksudnya yang sebenar.

Jika ditelaah secara halus dan teliti, sesiapa pun yang berada di tempat beliau itu berasa serba salah untuk menyebutkan Umno itu parti relevan dengan melihat realiti yang ada hari ini. (Tidak perlu dibariskan kesemua jenayah Umno - gejala rasuah, fitnah dan PPSMI.)

Jadi, secara ringkasnya yang dapat saya simpulkan berdasarkan ucapan beliau di Youtube Media Umno itu adalah - parti itu bukan relevan (kerana sudah cukup sempurna untuk terus kekal relevan).

UMNO RELEVAN DENGAN PANDANGAN CERDIK PANDAI

Umno adalah parti yang tidak sempurna (pelaksanaan dasarnya meminggirkan kepentingan umat) sebab parti itu banyak menolak pendapat baik. Semua itu terangkum dalam kata kunci yang Al-Attas sebutkan lewat ucapannya di Youtube itu, 'Umno akan relevan jika ia terima pandangan cerdik pandai ...'

Pemerintahan Umno itu rapuh. Buktinya, rakyat berterusan bergolak menolaknya di jalan raya atas nama kezaliman ISA, penindasan yang membabitkan kehakiman negara dan kecelaruan pemikiran pemimpinnya berhubung isu PPSMI.

Dalam klip video itu Al-Attas turut tekankan, ilmu-ilmu yang menerangkan kedudukan tempat sebenar adalah yang dipusakai anbiya'. Ilmu itu bukan yang diajar di kampus. Ini bermakna, gedung kampus, gudang universiti yang dibanggakan kini masih belum lengkap untuk mencetak insan unggul pencinta risalah kebenaran itu.

Kini, kampus (Upsi) ditubuhkan untuk mencetak guru. Secara lojik, beberapa masalah yang ditimbulkan di dunia pendidikan kini boleh selesai atau tak akan parah jika sakitnya masih belum kebah. Tapi timbul pula rungutan siswa di kampus itu, bahawa mereka sulit mendapat pekerjaan guru.

Pak Samad. Itu baru satu masalah iaitu bakal guru sulit mendapat tempat bekerja. Kini gelora kedua PPSMI mula membuak semula, memancutkan darah dari torehan luka yang belum cukup sembuh oleh parut yang lama ditoreh Umno.

Dengan kesulitan mendapat pekerjaan guru, mungkinkah guru lepasan kampus termasuk siswa KPLI, DPLI akan bangkit memansuh PPSMI 2.0?

Saya fikir, satu kempen ke atas guru muda Upsi dan di seluruh maktab perguruan ini juga perlu dilaksanakan juga. Iaitu, mengasuh fikiran mereka dengan pendirian - untuk mansuhkan PPSMI, kita perlu undi parti selain Umno, BN.

Ini penting sebab bukan semua pejuang bahasa yang undi PR untuk guling PPSMI. Ramai yang tampak gagah menyelar PPSMI tapi setia mengundi Umno. Mereka pengkhianat bahasa sekali gus merangkap pengkhianat bangsa juga.

Syahadan, kepada Al-Attas, Pak Samad, guru-guru, rakyat yang gigih berjuang mengguling dasar PPSMI, penggerak GMP dan dengan segala cerita derita yang begitu kuat menghimpit dada, maka dengan lafaz tercungap-cungap kelelahan kita ucapkan Selamat Hari Guru!

No comments: