Monday, June 13, 2011

MPP perlu waras dalam kritikan berhubung mutu fikiran

Oleh H FANSURI

Sebelum Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan kritikan ke atas prestasi mahasiswa hari ini, sebenarnya sudah pun terbit laporan berhubung penulisan tesis yang menggunakan bahasa yang biasa digunakan dalam sms dan chat. Dan, hal ini pun turut diakui siswa itu sendiri.

Namun tiba-tiba, ketika Prof Dato' Dr Zaini Ujang mengesahkan siswa universiti hari ini tidak bermutu dan universiti hari ini menjadi lambakan mahasiswa yang tidak bernilai pemikirannya, maka marahlah mahasiswa yang berhaluan pro-Umno itu.

Mereka pun 'berjuang' menolak kenyataan itu dengan alasan bahawa pandangan NC itu tidak relevan kerana sebahagian besar mereka yang menuntut di universiti ketika ini adalah golongan siswa yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Jika keputusan dalam peperiksaan yang menjadi ukuran, maka mereka patut sedar bahawa peperiksaan juga banyak dijalankan di pentadbiran kerajaan untuk kenaikan pangkat.

Maka, ramai juga penjawat awam yang cemerlang lalu dinaikkan pangkat, lalu terjebak dengan amalan rasuah. Kita masih ingat betapa suatu masa dahulu, ketika dibuat kaji selidik berhubung sikap siswa itu terhadap rasuah, maka ramai yang berkata, jika rasuah diperlukan maka apalah salahnya.

Maka, kecerdikan akal fikiran dan kecemerlangan akademik belum tentu menjadi penawar buat gejala yang tidak sihat. Amalan rasuah, penyelewengan dan penyimpangan yang menular tumbuhnya di dalam masyarakat hari ini bukanlah disebabkan masyarakat ini tidak menerima pendidikan yang baik.

Peperiksaan di jabatan-jabatan awam untuk naik pangkat dalam PTD dan sebagainya bukanlah menapis sikap menyimpang dalam berkerjaya. Tetapi, itulah yang disebut-sebut dalam akhbar ketika mahasiswa ini gagal bermuhasabah mengenai kelemahan diri sendiri.

Setiausaha Agung MPP Universiti Tun Hussien Onn Malaysia Syed Shahir Syed Mohd dilapor berkata, mereka diterima masuk ke universiti kerana keputusan akademik yang cemerlang, sekali gus pekerjaan mereka hari ini bermula dengan kecemerlangan akademik mereka di universiti.

Sebetulnya Naib Canselor UTM menyelar sikap kerajaan yang masih juga menghantar siswa cemerlang ke luar negara. Keadaan ini berterusan sehingga menyebabkan universiti tempatan kini menjadi tempat lambakan mahasiswa yang kurang bermutu.

Tambah beliau, sikap kerajaan ini menyebabkan institusi pengajian tinggi tempatan sukar melonjakkan keupayaan masing-masing ke tahap lebih tinggi setanding universiti-universiti yang terbaik di dunia.

Ketika NC sudah bercakap dengan nada berterus-terang begini, memang remuk redamlah hati kerajaan yang selama ini sudah lama melaksanakan dasar ini. Lalu kerajaan pun menggunakan lidah mahasiswa pro-Aspirasi Umno ini bagi menyelar kenyataan NC UTM tersebut.

Antara lain, Presiden MPP Universiti Malaysia Sabah Khalil Sabu berkata, hal penghantaran pelajar ke luar negara itu perlu dilihat sudut positif dan dijadikan cabaran untuk mereka bersaing dengan penuntut universiti di luar negara.

“Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan setiap pelajar diiktiraf kerana mereka mempunyai idealisme dan corak perjuangan tersendiri,” kata beliau.

Turut sama membangkitkan teguran ke atas NC itu ialah Presiden MPP UTM, Wan Ahmad Wan Daud yang turut menilai pencapaian siswa di universiti tempatan pada hari yang disifatkannya sebagai sangat cemerlang. Selebihnya, kenyataan bekas Presiden MPP USM, Ahmad Wafi Sahedan.

Ahmad Wafi berkata, tidak wajar pelajar universiti tempatan dikatakan 'hampas' kerana kayu ukur mutu itu bukannya dilihat dari segi akademik sahaja, tetapi dinilai dalam pelbagai aspek.

Ke atas kenyataan mereka semua ini, saya fikir Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang melibatkan siswa pro-Aspirasi Umno itu perlu menilai semula kenyataan berbentuk teguran NC UTM itu. NC cuma menegur dasar kerajaan itu sahaja. Dan cubalah bertindak rasional sebagai orang tengah.

Saya fikir, masanya sudah tiba untuk kita hentikan penghantaran siswa ke luar negara kerana universiti kita pun sudah pun cukup lengkap mutunya, melainkan ada ilmu-ilmu dan teknologi kepakaran tertentu yang tiada di Malaysia ini. Rasanya, kerajaan sudah lama terbawa-bawa dengan budaya lama iaitu akan mengirim siswa ke luar negara jika akademik pelajar cemerlang tanpa mengambilkira keperluan.

Asal sahaja cemerlang, maka terus dikirim ke luar negara, sedangkan berkemungkinan kursus siswa itu ada juga diajarkan di kebanyakan universiti di negara ini. Hal inilah yang perlu dinilaikan semula oleh Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin itu.

Semoga mahasiswa pro-Aspirasi Umno ini menjadi orang tengah yang membawa isu ini ke rundingan bersama MPPK juga bagi menilai dan mengkaji semula berhubung kursus apakah yang masih berkaitan dan berbaloi jika dihantar pelajar kita untuk belajar di sana.

Cukuplah sudah ditonton filem cinta muda-mudi di kampus luar negara, drama cinta anak-anak remaja kita sebenarnya hanya bercinta sahaja dan bukannya belajar. Itu yang digambarkan di filem, drama. Itu ramuan drama cinta antara benua suatu ketika dahulu. Cukup-cukuplah berangan-angan belajar di luar negara kerana terhimbau dengan kesukaan melancong di luar negara dengan duit rakyat.

Jika kita suka melancong, guna duit sendiri apabila kerja nanti. Jangan diulangi drama cinta kampus di Kazakhstan pula, sampaikan ibu bapa dibawa sekali menjenguk bakal menantu dengan wang rakyat.

No comments: