Saturday, June 25, 2011

Pemulauan - Inti teras perjuangan 'sastera melawan' (sastera revolusioner)

Oleh H FANSURI

Assalamualaikum. Dato' A Samad Said yang terhormat. Ketika menaip ini, saya di Mestre. Kata orang-orang Melayu kita, Mestre umpama Seberang Perai, manakala Venice itu bagaikan sebuah pulau yang dibayangkan sebagai Pulau Pinang jua adanya.

Demikianlah sebuah perbandingan yang boleh dikemukakan sebagai permulaan untuk memudahkan faham. Petang tadi di Venice, saya lihat banyak juga perkataan Itali yang dulunya digelar Latin yang memiliki kesamaan dengan bahasa Inggeris.

Bolehlah disebutkan secara ringkasnya di sini, bahawa bahasa Latin ini menjadi ibu kepada kelahiran bahasa Inggeris yang kini telah mula menduniai (tidak mengakhirati) kita.

Pun begitu, ketika rakyat Itali baik di Mestre mahu pun di Venice ini berbicara, sama ada di televisyen atau di mana-mana jua pun di belahan dunia ini, tiadalah pula mereka selangselikan bahasa dan ucapan mereka dengan bahasa Inggeris. Pada lojiknya pun, memang sepatutnya begitu.

Filem-filem dari luar negara yang disiarkan di tv di sini akan dialihbahasakan. Mereka cintakan bahasa ibunda mereka yang menetaskan bahasa Inggeris. Dan mustahillah bahasa ibu (Latin) akan meniru bahasa anaknya sendiri? Bahasa anaklah (Inggeris) yang perlu menuruti jalan bahasa ibunya (Latin) lalu Itali 'pulaukan'bahasa Inggeris kerana cintakan bahasanya sendiri.

Ketika memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dahulu, saya terdengar bualan Dato' kepada  seorang wanita yang sedang remuk redam hati kerana turut sama disoal siasat oleh pihak polis di Rumah Pena itu. Ada tiga polis yang dibawa khas untuk menyiasat beberapa orang pejuang bahasa.

Pesan Dato' ke atas wanita berkenaan untuk meredakan ketegangannya, "Kena baca 'kesusasteraan penjara..." (Maaf kerana mencuri dengar bualan itu). Apa pun, daripada situ saya dapat kesimpulan bahawa dalam dunia kesusasteraan ini ternyata memang ada suatu jenis sastera melawan yang bermuara perjuangannya di penjara.

Kalaulah orang yang dibisik dan dipesankan itu tahu, faham dan sedar bahawa Nabi Yusuf a.s adalah antara sosok terulung yang membawa pesan-pesan dakwah di penjara, maka tentu sahaja dia berminat. Bukankah nabi itu tetap meneruskan usaha dakwahnya dari penjara juga?

Jadi, Islam tidak kalah daripada ikut membicarakan hal ini. Maka, jika kita benar-benar berfikir mengenai sastera melawan dan ia terkait dengan penjara, maka tentu sahaja kita akan lebih banyak menerbitkan lebih banyak novel-novel sastera yang bersifat melawan jika kita kini berpegang terhadap 'aqidah sastera', bahawa surah Nabi Yusuf a.s itulah sebaik-baik riwayat pengkisahan dan baginda 'pulaukan' dunia luar dengan menyediakan dirinya ke penjara!

"Berlusconi in galera!" tertera tulisan itu di sebuah dinding ketika saya dalam perjalanan dari Mestre ke Venice pagi kelmarin. Saya tidak tahu galera itu makna apa. Tetapi keberanian rakyat menconteng nama Berlusconi, pimpinan di negara ini sudah menunjukkan betapa mereka tidak pedulikan ancaman. 

Mereka bencikan skandal seks presiden walaupun rakyat negara ini terkenal dengan gaya hidup yang serba-serbinya berpusat kepada keberahian.

Memang begitulah gaya memprotes. Kalau di sini, anak-anak muda menconteng nama Rosmah di Universiti Malaya, terus sahaja dihadap ke mahkamah. Tetapi, jika NC UM 'conteng' arang ke wajah bangsa dan negara dengan meletak papan tanda bahasa Inggeris di kampus, tiada pula dikenakan tindakan.

Syahadan, bahasa Latin itulah bahasa pemula yang mewujudkan bahasa Inggeris kini. Dan, menurut sesetengah pendapat, bahasa Latin telah menerima kesan pengaruh bahasa Sanskrit jua adanya. Maka, Latin meniru Sanskrit. Sementara itu Sanskrit itulah jua yang membidankan kelahiran bahasa Melayu. 

Arakian, bagaimanakah pula Melayu (daripada Sanskrit yang memberi kesan pengaruh terhadap Latin, seterusnya Latin mempengaruhi Inggeris) dengan tiba-tiba boleh jadi tunduk mengalah terhadap bahasa yang mutunya lebih kurang setara atau pun jauh lebih rendah mutunya dibanding bahasa Melayu?

Tiada jawapan lain ke atas sikap kerajaan yang mengelar leher dan lidah bahasa ibunda ini dengan belati PPSMI melainkan dengan memulaukan mereka sahaja. Dan perjuangan dalam penjara itu berkesan, jadi berhasil kalau disertai mogok lapar iaitu memulau makanan yang disediakan di penjara.

Kita mesti kurang bercakap dan banyakkan bertindak. Oleh itu, maudhuk berkisar PPSMI itu saya akhiri dengan syor baharu iaitu memulau PWTC sebagai tempat berjualan buku-buku di sana. Umno, musuh negara, rakyat dan segala bangsa dan agama di negara ini bukanlah ahli dalam dunia perbukuan. Di sana, sudah berapa banyak kerugian dengan sebab projek kampung buku. Itu antara salah satu bukti bahawa mereka bukan ahli di dunia perbukuan.

Masa singkat dan ruang terhad. Maka coretan itu saya ringkaskan dengan mauduk pemulauan segala perusahaan dan perkhidmatan yang ditawar Umno bertujuan mengukuhkan kembali keyakinan dan kekuatan kita terhadap matlamat memansuhkan PPSMI itu. Sekian, revolusi sampai mati!

Sekolah Pemikiran Campo San Barnaba (SPCSB), Venice, 1:40 pagi, 28 April, 2011.

No comments: