Sunday, June 26, 2011

Pengarang, penyair muda dan perjuangannya

Oleh H FANSURI

Saudara-saudara penyair dan pengarang muda yang dikasihi. Salam revolusi thawrah! Baru-baru ini, saya menonton Nur Kasih The Movie. Seorang rakan pun bertanya, "Kenapa filem itu ada 'The Movie'? Kenapakah tajuknya itu tidak dimelayukan kepada 'sebuah filem?'"

Tambah beliau lagi, "Boleh sahaja diletakkan tajuk filem itu, Nur Kasih Di Layar Perak..."

Pertanyaan ini datang daripada seseorang yang saya lihat bukannya banyak terlibat dengan gerakan memansuhkan PPSMI dan lain-lain kegiatan bersifat memartabatkan bahasa. Pertanyaan ini sudah pun mengirim pengertian baharu, bahawa dalam perjuangan memartabatkan bahasa ini, semua rakyat tak mengira apa pun darjat dan makam, mestilah terlibat sama.

Hari ini, kelibat pejuang bahasa itu kebanyakannya sudah meraih gelar pendeta, Tan Sri dan Dato' daripada gelaran istana. Tetapi, perjuangan bahasa ini terbina susun ketika mereka masih muda belia juga. Jadi, janganlah hendaknya para pelapis muda ini berasa segan silu dengan ketiadaan gelaran ini.

Kerana Tuhan itu tidak memandang terhadap gelaran-gelaran yang diberikan oleh istana. Rasulullah s.a.w juga dalam sebuah hadisnya turut menyatakan bahawa semua manusia itu sama sahaja seperti kedudukan bilah-bilah sikat.

Selain itu, para penyair dan pengarang muda ini harus menginsafi bahawa, bukan semestinya semua perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan itu, akan lahir terzahir dan terbit baik daripada generasi penyair, pengarang lama dan muda belia semata-mata.

Rakan bualan saya itu, seorang yang kelihatan biasa pun boleh timbulkan persoalan seperti ini juga. Jadi, inilah pelajaran pertama iaitu, jangan sesekali kita mendakwa diri sebagai pejuang bahasa lalu kita pun menjadi bermegah-megah dengan gelaran tersebut.

Saudara pengarang dan penyair muda sekalian. Berbalik kepada mauduk awal tadi, bahawa perusahaan perfileman yang kerap meletakkan kalimat 'The Movie' ini tampak kelihatan kecil juga kadang-kadang. Tetapi, ia tetaplah memberitahu kita suatu hal, iaitu betapa jiwa dan pemikiran kita ini masih juga terpasung dengan kebudayaan luar khususnya daripada Barat itu.

Lalu, kenapakah kita tidak mencuba dengan sedikit usaha bagi mengakrabkan segala juzuk kehidupan samada iktisad, hiburan, kebudayaan ataupun apa sahaja dengan bahasa Melayu? Usaha ini bukannya tumbuh sehari dua, tetapi menelan tempoh yang panjang juga.

Sekali peristiwa, saya pernah terdengar suatu ceramah Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau menegur persoalan Kamus Dewan yang menurut beliau sudah mengeluarkan istilah-istilah dan ungkapan Islam di dalamnya.

"Proses itu pada saya, jika dimelayukan patut disebut sebagai 'keberlakuan berangkai'," katanya ketika menjelaskan kepentingan usaha 'memelayukan' kamus rujukan bahasa Melayu terbesar di negara ini.

Saudara sekalian, kadangkala saya fikir, kita tidak perlu mengeluh dan meratap lagi seperti mana abang-abang dan kakak-kakak kita yang terlibat dalam gerakan memajukan bahasa itu. Kita perlu banyak bekerja dalam bidang penyelidikan sementara usia kita masih muda.

Kita tidak perlu membuang masa dengan terus-menerus melakukan ratapan seperti mana yang kerap kita dengar di akhbar-akhbar itu. Sekarang, marilah kita petik satu tajuk sahaja, iaitu usaha menyempurnakan Kamus Dewan itu sendiri.

Saya masih teringat ketika zaman berkuliah dahulu. Betapa saya dan beberapa kenalan di kampus dahulu terkial-kial menyemak kamus untuk kononnya membetulkan makna kamus itu. Hal ini kami lakukan dengan keterbatasan ilmu juga, tetapi semangat kami sangat tebal dan jiwa kami agak tinggi juga.

Makna rasuah seperti 'tumbuk rusuk' adalah antara yang kami fikirkan perlu diubah dengan suatu tafsiran lain. Tidaklah lengkap serta sempurna makna 'tumbuk rusuk' itu dengan pengertian kata rasuah dalam erti kata yang sebenarnya. Kami terfikir, jika kita mahu membahaskan sesuatu yang besar, maka tak dapat tidak, ia mestilah bermula dengan 'pembersihan dan penjernihan' makna di sebalik kata-kata yang termuat dalam setiap lembaran kamus itu.

Tetapi berapa ramaikah anak-anak muda yang faham, berani dan mampu bersabar dengan pekerjaan yang merumitkan ini? Tidak ramai yang faham akan kepentingannya. Dan, untuk beberapa tahun lagi, kita akan sentiasa menyaksikan kekeliruan dan keterbabasan makna oleh sebab tafsiran-tafsiran yang kurang tepat di dalam kamus yang selalu kita semak selama ini.

Ambil satu contoh. Saya mendapati ada bezanya 'murtabak' dan 'martabak'. Hal ini baru sahaja saya kesan ketika berkunjungan ke Singapura. Ketika saya semak semula perbezaannya, rupa-rupanya Kamus Dewan menggunakan martabak sedangkan martabak itu di Indonesia bermaksud apam balik yang kita makan selama ini, dan bukanlah murtabak yang biasa kita makan di restoren-restoren mamak.

Itu baru sahaja kita bincangkan bab pemakanan yang sudah pun menimbulkan kekeliruan. Bagaimanakah pula dengan istilah dan perkataan yang penting seperti rasuah itu. Di Indonesia barangkali lebih parah kerana akhbar di sana lebih kerap mendengungkan kalimat korupsi ketika memperihalkan rasuah!

Sekarang, biarlah catatan ini ditamatkan dengan suatu pertanyaan. Selepas melihat gejala nama filem Melayu diresapi pengaruh luar (The Movie), boleh atau tidak kita bersepakat untuk menyemak semula tafsiran di sebalik kata-kata yang terkandung dalam Kamus Dewan itu?

Kalau berminat, maka tokoh yang boleh dirunding untuk berbincang mengenainya ialah Prof Dr SMN Al-Attas. Mungkin, inilah antara inti perjuangan awal pengarang dan penyair muda jika kita benar-benar ingin berjuang memartabatkan bahasa...

No comments: