Sunday, June 26, 2011

Fikiran umat perlu diubah - kahwin seawal akil baligh

Oleh BOESTAMAM SARI

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) baru-baru ini dalam taklimatnya ketika menyentuh Dasar Keluarga Negara (DKN) menyebutkan perihal gaya hidup anak muda yang berkahwin lewat.

Perkara itu berlaku khususnya dalam kalangan wanita yang berpendidikan tinggi. Ketika menjelangnya kemerdekaan, ada isu bahawa ramai kaum wanita tidak berpendidikan. Maka, hal itu menjadi rungutan sehingga wujudlah kegelisahan di pihak tertentu dalam kerajaan.

Hari ini, apabila ramai wanita berpendidikan (termasuk berpendidikan tinggi di universiti), sehingga kononnya mengakibatkan mereka tidak berkahwin, timbul pula rungutan lain. Sebenarnya, berkahwin ataupun tidak, hal ini tidak ada kaitan dan kena-mengena dengan taraf pendidikan.

Ia soal jodoh. Ramai wanita yang tidak berpendidikan tinggi pun masih hidup membujang. Kesibukan bekerja yang diakibatkan pendidikan tinggi itu hanya secebis daripada faktor yang mendorong kepada gejala kahwin lewat dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN Dr Anjli Doshi Gandhi berkata, bahawa fenomena itu boleh juga membawa kesan ke atas institusi kekeluargaan.

Berasaskan perangkaan, kata beliau, data yang ada telah menunjukkan bahawa kira-kira 30 peratus wanita antara umur 25 ke 29 tahun belum berkahwin dibanding 25 peratus untuk lelaki antara umur 30 dan 34 tahun yang masih bujang.

“Kami memberi perhatian serius trend perkahwinan yang semakin di lewatkan, khasnya di kalangan wanita yang memberi alasan bahawa mereka tidak ada calon yang sesuai,” kata beliau lagi.

Tambah beliau lagi, bagi lelaki pula, perihal kewangan yang belum stabil dikatakan antara perkara yang menyebabkan lelaki dalam lingkungan umur awal 30-an hari ini memilih hidup membujang.

Fakta-fakta yang ada kini menunjukkan bahawa kira-kira satu pertiga dari 27.5 juta rakyat di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 15 tahun ke bawah dan akan memasuki usia perkahwinan menjelang 2020.

Generasi muda masa depan dikatakan bakal memberi kesan terhadap penambahan isi rumah yang berlipat kali ganda daripada jumlah sekitar 6.3 juta yang ada sekarang.

Maka, ada kalangan pimpinan negara yang melantunkan pendapat bahawa perlunya suatu dasar yang lengkap dalam mendepani cabaran pembangunan keluarga pada masa depan.

Biar apa pun rungutan di pihak kerajaan, kita mengetahui suatu hal, iaitu berkahwin lewat bukanlah masalah negara. Masih banyak gejala dan fenomena yang perlu diberi perhatian misalnya ketagihan arak, pengedaran dadah, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Dalam Islam dan sejarah ketamadunan bangsa, kita akan dapat melihat betapa ramainya wanita yang tidak berkahwin dan keputusan tidak berkahwin itu tidaklah menyebabkan rosaknya sesebuah masyakat tadi. Hanya dengan memilih kehidupan untuk tidak berkahwin, tidak merosakkan apa-apa pun.

Tapi, jika benarlah kerajaan menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang serius, maka perlulah diteliti juga apakah sebenarnya yang lebih serius dalam hal kewanitaan hari ini. Iaitulah, gejala wanita muda hamil di luar nikah khususnya.

Kebanyakan hal ini terbit daripada gejala berpeleseran seperti rempit dan kegiatan 'clubbing' sehingga jam tiga pagi. Akibat gejala inilah, kita mendapati bahawa kaum remaja, khasnya wanita muda mula terjebak dengan kegiatan mengandung di luar nikah itu.

Tiada jalan lain untuk hentikan fenomena liar ini melainkan dengan jalan perkahwinan pada usia muda. Apatah lagi saranan Islam sendiri menganjurkan supaya anak-anak perempuan itu dikahwinkan segera apabila sudah menunjukkan tanda-tanda yang mereka boleh dinikahkan.

Sebenarnya, bukanlah LPPKN tidak boleh menganjurkan kongres, wacana dan bengkel-bengkel keibu bapaaan untuk memungut pendapat ibu bapa supaya mereka dapat bertukar-tukar fikiran berhubung cadangan menikahkan anak-anak mereka seawal remaja.

Bukan sukar bagi Menteri Pelajaran Muhyiddin Yassin untuk kumpulkan ibu bapa di seluruh negara bagi membincangkan perkara ini. Kita ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di sekolah. PIBG pun boleh menyusun mesyuarat dan bengkel ini juga tanpa Muhyiddin.

PIBG boleh berdikari untuk bersepakat dan bersatu suara untuk menikahkan anak gadis mereka pada usia muda apabila sudah tiba akil baligh. Ini bakal menyemai rasa tanggungjawab remaja hari ini. Persoalan remaja wanita akan mengandung pada usia muda bukan isu besar jika telah berkahwin. Semua ini boleh dibincangkan dalam mesyuarat.

Jika tidak mahu mengandung ketika berkahwin pada usia persekolahan, bukankah kini telah ada teknik tertentu untuk tujuan itu? Pendek kata, ada seribu satu cara untuk menyelesaikan kerumitan yang ada. Dan, sekali lagi – bukanlah kita berdepan dengan masalah wanita berpendidikan tinggi yang kahwin lewat. Tapi, kita sendiri menyekat pernikahan seawal usia remaja sehingga merebaknya gejala maksiat.

Penawarnya sudah ada dibekalkan nabi, kahwin awal bagi remaja wanita. Hanya terpulang kepada kita, adakah kita mahu melaksanakannya ataupun tidak.

No comments: