Thursday, June 30, 2011

Karisma Jasa ada agenda guling PR Selangor?

Oleh BOESTAMAM SARI

"Mereka perlukan RM100 untuk batalkan pencalonan setiap calon kami di Upsi," kata seorang pelajar kepada saya pada suatu malam di sebuah restoren yang berhampiran 'Masjid Bulat' di Seksyen 14, Petaling Jaya.

"Kami ada 12 orang calon mahasiswa, jadi sudah ada RM1,200 wang yang diperlukan untuk membatalkan pencalonan itu," kata beliau lagi.

'Wan' (bukan nama sebenar) menambah, apabila pencalonan siswa itu sudah dibatalkan oleh pihak pentadbiran, maka siswa dibenarkan merayu semula dengan membayar RM100 lagi.

"Tapi, kita pelajar lagi. Manalah ada duit," tambah Wan. Beliau menceritakan pengalamannya bersama rakan-rakan mahasiswa ketika bertanding dalam pilihan raya kampus sebelum ini.

Malam itu, beberapa mahasiswa dan beberapa graduan saling berhimpun mengumpul pendapat dan pandangan mengenai cadangan mahasiswa kepada Pakatan Rakyat. Ketika itu, ada banyaklah kisah pergelutan politik dalam kampus ini yang kami bicarakan.

"Sebenarnya kami bukan lagi bertempur dengan Aspirasi Umno sahaja," kata Wan, "tapi dengan mahasiswa yang terlibat dengan agensi kerajaan seperti Jasa."

Berdasarkan bualan malam itu, saya mendapat tahu bahawa Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) kononnya sudah pun melatih beberapa kumpulan mahasiswa dalam kampus untuk mengisi kegiatan-kegiatan politik kepartian tertentu.

"Nama kumpulan mahasiswa dalam kampus yang ditaja oleh Jasa itu adalah Kumpulan Rakan Siswa JASA Malaysia, ringkasnya (Karisma)," kata Wan lagi. Mendengar cerita ini semua, hati saya tertanya-tanya bagaimanakah Wan mendapat tahu perkara ini semua?

"Ada kawan saya yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam Karisma, kemudian dia belot setelah dia tersedar dengan banyak hal," katanya lagi. Tetapi kemudiannya, ada beberapa pendedahan berikutnya yang lebih mengujakan!

Tahukah anda (menurut Wan) mahasiswa JASA (Karisma) ini sudah pun diberikan 'amanah', misi dan tugasan yang penting. Iaitulah kononnya mahasiswa ini semua terlibat atau dilibatkan dengan misi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor!

"Oleh kerana Upsi ini berada antara sempadan Perak dan Selangor, maka kampus universiti ini menambat perhatian kerajaan. Ya! Umno tidak cuma menggunakan kuasa maklumat yang dimiliki oleh 'cyber trooper', malah, bahkan mereka melatih mahasiswa untuk menggulingkan PR Selangor!

Kelam pandangan sebentar ketika merenung peristiwa ini. Sebenarnya, kalau hari ini kita memikirkan kuasa berada di tangan orang-orang besar di HEP, maka kita silap besar. Tahukah anda, seolah-olahnya kuasa sebenarnya dimiliki oleh mahasiswa yang sudah pun dilatih oleh Umno ini.

Ambil satu contoh di Mesir. Ada aduan mengenai Rumah Melaka 'terpecah' dua gara-gara sentuhan lepasan graduan Al-Azhar yang beraliran Umno juga. Struktur kepemimpinan Rumah Melaka yang sebelum ini dipegang oleh mahasiswa PAS sebelum ini gagal ditawan oleh mahasiswa Umno. Maka, dengan kehadiran Ali Rustam beberapa bulan yang lalu, maka Rumah Melaka itu khabarnya sudah ada dua!

"Ketua Menteri cuma iktiraf Rumah Melaka yang dianggotai oleh pelajar Al-Azhar beraliran Umno sahaja, dan Rumah Melaka yang asal yang sebelum ini dianggotai mahasiswa PAS sudah tidak mahu diambil peduli oleh kepemimpinan Melaka," kata seorang lulusan Al-Azhar kepada saya.

Dan tahukah anda? Menurut teman saya itu, keputusan bagaimana Rumah Melaka itu terpecah dua, ia berkaitan gara-gara sentuhan seorang mahasiswa yang (menurut teman saya itu) tamakkan kedudukan dalam pentadbiran negeri Melaka.

"Padahal, graduan Al-Azhar Umno yang kini bekerja dengan Melaka itu pun bukannya kelahiran Melaka pun," kata teman saya itu. "Tapi, dia dapat pecah Rumah Melaka menjadi dua." Demikianlah betapa hebatnya pukulan serang hendap seorang graduan Umno Al-Azhar ke atas salah sebuah rumah anak negeri di bawah PMRAM itu.

Itu kisah luar negara. Siswa Umno juga sungguh berkuasa di kampus seolah-olah samseng lagaknya dan mereka kebal daripada akta dan undang-undang dalam universiti kerana bekerjasama dengan HEP.

Kalau ada demonstrasi yang diikuti mahasiswa Pakatan Rakyat, maka siswa Umno ini akan turun untuk mengambil gambar mereka. Lalu gambar itu akan disimpan dengan sebaik-baiknya. Adakah gambar ini akan disimpan begitu sahaja? Jawapannya, tentu sekali tidak.

"Gambar demonstrasi pelajar Pakatan Rakyat ini kemudiannya akan diguna menjelang pilihan raya kampus," tambah rakan saya itu. "Jadi," tambahnya, "kalau misalnya ada kalangan mahasiswa PR yang pernah berdemonstrasi itu mahu menjadi calon pilihan raya, maka mereka akan dipanggil oleh HEP."

"Siswa tadi dipanggil atas tujuan apa?" saya bertanya.

"Ya, sebagai ugutan haluslah," balas kenalan saya itu. "HEP akan kata kepada mahasiswa itu, jika kamu ingin bertanding juga dalam pilihan raya kampus kali ini, maka HEP terpaksa ambil tindakan buang universiti ke atas kamu. Gambar kamu berdemonstrasi dah ada. Kami boleh dedahkan ini jadikan bukti untuk hukum kamu dengan membuang kamu daripada universiti."

Dan, inilah cabaran yang mesti difahami dengan sebenar-benarnya. Kita perlu selalu berawas dengan kuasa mahasiswa Umno yang menjadi dalang HEP. Mereka inilah dalang yang secara halus menjahanamkan masa depan universiti-universiti di Malaysia.

No comments: