Thursday, June 30, 2011

Zahid perlu ke mahkamah walau kabinet tidak izinkan

Oleh H FANSURI

Seorang anak muda masuk ke rumahnya. Rumah ayahnya adalah juga pejabat ayahnya yang menjalankan perniagaan perkhidmatan rumah sewa di Kuala Lumpur. Walaupun anak muda itu sering pulang lewat ke rumah dalam keadaan mabuk saban malam, beliau mempunyai hati suci.

Ada seorang penarik beca yang menyewa rumah sewa ayahnya di mana beliau sendiri tidak tahan hati melihat penderitaan lelaki itu. Jadi, anak muda itu berhelah bahawa penarik beca itu tidak dapat membayar duit sewa lagi, konon wang itu diperlukan bagi membiayai perkahwinan nenek beliau nanti.

Selesai menyerahkan wang itu, maka dia disuruh pulang oleh ayahnya. Pemuda itu sedikit terperanjat lalu bertanya, "Balik macam tu saja ke pak?"

"Ya lah, habis tu kau nak balik macam mana lagi!?" kata ayahnya dengan nada tegas.

"Err... Habis tu... KOMISEN?"

"Ooh... komisen ya? Ha.. ha.. aku fikir kau lupa..."

Kisah ini termuat dalam suatu babak filem Keluarga 69, arahan Tan Sri P Ramlee. Osman, pemuda itu adalah pemuda yang ditugaskan mengutip duit sewa ayahnya.

Selepas selesai menyerahkan kesemua hasil jumlah kutipan itu, beliau terus diminta pulang oleh ayahnya, Bakar dengan harapan anaknya itu lupa dengan komisen yang sepatutnya diberikan kepada anak tunggalnya.

Babak ini boleh diulas dengan pelbagai cara. Tapi, kisah tentang komisen inilah yang menarik perhatian saya. Komisen adalah suatu hal yang sulit dibayar kepada agen-agen yang kita upah secara halal. Apatah lagi kalau agen-agen itu 'diupah' secara haram melalui kaedah cara gelap.

Maka, hal inilah yang terjadi ke atas Altantuya, seorang model Mongolia yang terkenal jelita itu. Masalah komisen tidak ingin dibayar atau enggan dibayar oleh majikan dengan helah tertentu; mengharapkan buruh terlupa menuntut komisen atau helah majikan yang buat-buat lupa membayar komisen adalah antara helah-helah muslihat majikan.

Kalaulah komisen itu berharga seringgit dua, mungkin tidak sulit mahu membayarnya. Majikan orang kaya Bakar boleh buat-buat lupa walaupun komisen itu hak anak tunggalnya sendiri.

Tapi, bagaimana dengan komisen kapal selam Scorpene yang berharga jutaan ringgit? Dapatkah Najib Razak buat-buat lupa? Dapatkah Altantuya buat-buat lupa komisen itu?

Jika komisen kapal selam itu seringgit dua atau seribu dua nilainya, hal itu mungkin boleh dibuat helah dengan terlupa. Tapi, Altantuya tiba dengan tuntutan yang amat banyak untuk dirinya seorang. Masakan Najib Razak boleh berhelah seperti gaya muslihat orang kaya Bakar itu?

Tiada cara lain lagi melainkan tuntutan itu dijawab dengan bom C4. Dan hal itu makin mudah dalam keadaan beliau adalah Menteri Pertahanan. Semua peralatan senjata boleh diambil dengan begitu mudah tanpa memerlukan tandatangan menteri. Inilah padahnya; kesan daripada tuntutan komisen model jelita Mongolia itu.

Syahadan, masalah ini berlarutanlah sehingga ke hari ini. Dan, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dalam suatu kenyataannya kepada pemberita sudah buat salah besar ketika mengaitkan hubungan kabinet dengan institusi kehakiman baru-baru ini. Tamat sebentar kisah komisen.

Kini, kita bercerita hal Ahmad Zahid Hamidi yang terkeliru dengan teori pengasingan kuasa yang diamalkan selama ini. Persoalan komisen kapal selam Scorpene bukan lagi dilihat sebagai benar atau salah tapi ia menjalar dan bersangkutan dengan persoalan teori doktrin dan semangat pengasingan kuasa.

Menurut laporan, Ahmad Zahid akan pergi ke mahkamah berikutan siasatan kerajaan Perancis berhubung kemungkinan wujudnya amalan rasuah dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene dari negara Perancis itu.

Perkara ini berawal sekitar dua tahun lalu ketika sebuah pertubuhan bukan kerajaan; Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengemukakan saman terhadap sebuah firma pertahanan yang berpengkalan di Perancis, iaitu DCNS. Saman itu dikemukakan di mahkamah Paris dengan dakwaan rasuah, dan beberapa hal lain.

Lalu Perancis sekarang dilaporkan sedang menyiasat kedudukan komisyen yang dibayar dalam perjanjian yang bernilai RM7.3 bilion itu. Itulah nilai wang komisen antara Malaysia dengan sebuah firma pertahanan di Perancis, iaitu DCNS.

Pembayaran seperti itu telah dianggap sebagai sesuatu hal yang tidak sah berdasarkan peruntukan perundangan negara Perancis. Ia bukan seperti yang diamalkan antara orang kaya Bakar dan anak tunggalnya Osman itu. Sudah ada orang tengah yang tidak diketahui dan samar-samar pula.

Namun, yang kelakarnya, ketika perkara seperti ini sudah dihadapkan kepada Ahmad Zahid oleh para pemberita, maka beliau berkata:

"Saya sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian tetapi syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet. Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi."

Maka, kita sudah berdepan dua isu utama - falsafah dan pengertian konsep komisen yang terkait dengan helah majikan yang buat-buat lupa untuk membayar komisen serta perkaitan sifat ini dengan 'helah' sang menteri yang 'buat-buat lupa' bahawa negara ini dibangun di atas iltizam dan semangat falsafah doktrin pengasingan kuasa.

Kepada Ahmad Zahid Hamidi, pergilah ke mahkamah dan usah peduli sama ada kuasa eksekutif (government of the day) mahu benarkan kamu pergi ke mahkamah ataupun tidak. Ada satu sebab sahaja, kenapa Ahmad Zahid enggan pergi ke mahkamah; takut rahsia Najib Razak terbocor dan beliau akan dibuang oleh Najib Razak akibat membocorkan rahsia tersebut.

Tentang komisen ini bolehlah kita buat-buat lupa untuk tidak membayarnya (atau bunuh peminta komisen jika perlu), tetapi takkanlah sampai keputusan sama ada mahu ke mahkamah ataupun tidak, anda mahu buat-buat lupa pula seperti berhelah atas alasan terlupa untuk membayar komisen.

Jika terlupa, buka balik kitab Perlembagaan Persekutuan dan beberapa suhuf perundangan negara. Mana ada perenggan yang menyatakan menteri kena minta izin Perdana Menteri sebelum pergi ke mahkamah?

1 comment:

Anonymous said...

Cerita apa nie..shit...tak ada fakta langsung. Hentikanlah kerja fitnah. Allah tanya kat akhirat kelak.