Oleh H FANSURI
Salam revolusi buat penyair dan pengarang muda. Tanggal 28 Mei lalu, beberapa mahasiswa berkumpul di sebuah dewan Petaling Jaya yang berdekatan Amcorp Mall. Pertemuan itu dibuat bertujuan merangka Buku Jingga Mahasiswa. Ia adalah rangkuman harapan baru siswa kepada Pakatan Rakyat kalau pakatan ini berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Salam revolusi buat penyair dan pengarang muda. Tanggal 28 Mei lalu, beberapa mahasiswa berkumpul di sebuah dewan Petaling Jaya yang berdekatan Amcorp Mall. Pertemuan itu dibuat bertujuan merangka Buku Jingga Mahasiswa. Ia adalah rangkuman harapan baru siswa kepada Pakatan Rakyat kalau pakatan ini berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Mereka berbicara mengenai sudut kebajikan, kewangan, PTPTN, Auku, Autonomi Universiti dan lain-lain perkara yang bersangkutan. Semua ini sudah pun biasa didengari bagi mereka yang memang aktif dengan pergerakan mahasiswa ini.
"Siswa itulah yang sepatutnya diangkat menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar," kata salah seorang daripada mereka ketika saya kendalikan majlis perbincangan yang dibuat secara berkumpulan itu. "Perlu juga ada wakil siswa di Parlimen, malah perlu dilantik wakil siswa di Dewan Negara."
Dan, banyaklah lagi idea-idea termasuk bahan fikiran yang sangat tajam, bernas lagi radikal yang dikemukakan lewat perbincangan dalam setengah hari itu. Mereka juga berani membidas sikap MB Kedah yang tidak peka dan kurat peduli terhadap isu penggantungan para pelajar kolej Insaniyah, Alor Setar.
Sikap berani itu sungguh terpuji. Bagaimanapun, saya menyedari ada suatu lompang yang boleh ditampung lagi. Iaitu, betapa perlunya siswa-siswa yang bergiat dalam lapangan kebudayaan dan kesusasteraan di IPT turut dilibatkan dalam perbincangan itu.
Anda boleh kemukakan beberapa syor dan cadangan untuk memartabatkan kegiatan kebudayaan dan kesusasteraan pelajar juga. Perbincangan tentang 'Buku Jingga Mahasiswa' itu akan dibuat dalam beberapa zon lagi - utara, selatan dan pergerakannya akan menghala kepada beberapa buah negeri yang terpilih nanti. Maka, semoga pihak penganjur dan mahasiswa yang terlibat dengan kebudayaan dan kesusasteraan dapat juga menghadirinya nanti.
Kebetulan, keesokannya (29 Mei) adalah tarikh kematian seniman agung Tan Sri Dr P Ramlee. Maka, saya terbaca kenyataan P Ramlee tentang keperluan anak-anak muda diakrabkan dengan lagu-lagu Melayu tradisi supaya ianya menjadi penampan terhadap serangan kebudayaan lagu-lagu Barat dari luar.
"Jika tak diperluaskan lagu-lagu Melayu tradisi ke atas anak-anak muda ini, maka saya bimbang dalam 10 ke 20 tahun lagi, anak-anak muda kita ini akan terpengaruh dengan kuatnya ke atas lagu-lagu Barat ini," kata-kata tokoh seniman agung itu dipetik daripada History Channel di Astro.
Maka, bertolak daripada bahan pemikiran tokoh seniman agung ini, saya tertanya-tanya juga kepada para mahasiswa yang bergiat dalam lapangan seni dan kebudayaan IPT, adakah mereka akan berjuang memartabatkan lagu-lagu Melayu tradisi sebagaimana yang disentuh oleh tokoh itu? Mungkin siswa yang bergiat dalam lapangan kebudayaan di IPT ini boleh menaruh beberapa isi pemikiran mereka dalam buku jingga mahasiswa ini?
Terhadap badan-badan mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan kesusasteraan pula, adakah mereka mahu menghidupkan tradisi bedah puisi di kampus seperti mana yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa Indonesia. Ini adalah suatu budaya baru yang boleh dikembangkan di IPT Malaysia jikalau mereka ada kesungguhan. Sudut-sudut pidato yang tersedia mungkin boleh dimanfaatkan dengan acara deklamasi sajak juga.
Semua bahan perbincangan mahasiswa budaya dan mahasiswa sastera ini mungkin boleh dibawa ke dalam buku jingga mahasiswa itu dengan harapan ia boleh terlaksana dengan baiknya ketika Pakatan Rakyat berhasil memuziumkan Barisan Nasional kelak.
Akhirul kalam. Biarlah dokumen buku jingga mahasiswa ini turut merakamkan juga keterlibatan dan kemahuan mahasiswa daripada seluruh bidang, tidak hanya mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan politik kepartian kampus sahaja. Sekian dengan itu, mahasiswa sekalian. Bersatulah kita mengguling BN!
No comments:
Post a Comment