Oleh H FANSURI
“...Life is a sum of all your choices...” --- Albert Camus. Maka, kata Camus, kehidupan ini hakikatnya adalah jalinan kepada segala pilihan yang kita laksanakan selama ini.
“...Life is a sum of all your choices...” --- Albert Camus. Maka, kata Camus, kehidupan ini hakikatnya adalah jalinan kepada segala pilihan yang kita laksanakan selama ini.
Failasuf revolusioner Albert Camus ini boleh dikelompokkan dalam kumpulan failasuf moden. Saya berminat dengan idea dan pemikiran Camus ini kerana idea yang diketengahkannya berkait rapat dengan perihal pemberontakan (revolt).
Bagaimanapun, tidaklah kita dapat menelan semua bahan fikiran Camus itu. Namun, kata-kata di atas bolehlah ditafsir secara mudahnya sebagai berikut.
Dalam hidup ini, rakyat termasuklah Najib Razak mesti membuat pilihan dalam kehidupan. Dan perihal memutuskan keputusan tertentu dalam kehidupan inilah yang dinamakan politik.
Dan, baru-baru ini, dalam acara Perhimpunan Sejuta Belia, beliau umumkan Parlimen Belia. Setakat catatan ini ditulis, belum kedengaran semacam wujudnya sebuah jawatankuasa pelaksanaan bagi mengkaji pelaksanaan parlimen itu.
Orang-ramai tertanya-tanya, adakah belia-belia yang bersoal-jawab di parlimen itu akan kebal dan imun daripada tindakan undang-undang dan mahkamah? Juga, bagaimanakah cara memilih belia itu? Adakah melalui pilihan raya juga ataupun dilantik oleh Najib Razak sendiri nanti.
Dan, pelbagai persoalan yang masih rencam menyinggal di kepala. Kesimpulannya kesungguhan Najib dalam Parlimen Belia tetap dipersoalkan oleh sejumhur belia berwawasan. Manakala bagi belia 'huha huha', sama ada wujud atau pun tidak parlimen ini, bukanlah persoalan besar sangat.
Belia berkonvoi motor, belia panjat gunung, belia bersukan, belia yang gemarkan pemanduan kereta lumba laju-laju, bukanlah mengambil peduli sangat terhadap persoalan pembangunan negara ini.
Hal ini terkait dengan falsafah peribadi menteri dalam kabinet berkaitan belia ini. Menteri-menteri sendiri bukanlah berminat dengan perbincangan akademik. Apa yang menarik perhatian mereka adalah kegiatan 'out-door' dan sukan lasak yang mengeluarkan peluh dan menggembirakan mereka.
Menteri-menteri tidaklah gembira dengan suasana ilmiah, perbincangan akademik ini. Ambil satu contoh. Semua ini boleh kita lihat dengan menyemak kembali jiwa dan semangat asal penubuhan Kementerian Belia dan Sukan itu sendiri.
Satu persoalan yang mungkin boleh ditanya adalah - kenapakah nama kementerian itu sendiri 'Belia dan Sukan'? Adakah belia it bersukan sahaja? Bukankah belia ini terjebak dalam kegiatan pembangunan; perniagaan, perdagangan dan sebagainya.
Maka, daripada nama kementerian itulah wujudnya Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mana kedua-duanya bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Daripada apa yang kita kerap dengar, peruntukan kerajaan pun banyak tercurah kepada MSN dan bukannya MBM.
Alasannya, kerajaan perlu titik beratkan kegiatan sukan negara bertujuan menaikkan nama negara. Sedangkan, idea-idea pembangunan belia yang hadir dalam konvensyen, seminar, dialog, bengkel, kolokium tidaklah diambil peduli sangat.
Padahal, atas tujuan pembangunan belia ini juga, seperti merawat gejala ketagihan dadah dan lain-lainnya, kita memerlukan dana yang besar juga. Jadi, daripada kesan lebihan peruntukan kepada MSN itu pun menunjukkan betapa kerajaan tidak berminat dengan idea pembangunan belia.
Menteri-menteri akan lebih suka berhibur dan memberi keutamaan terhadap belia yang suka berfoya-foya, bukannya kepada belia yang betul-betul mahu berbincang serius mengenai perkara yang bersangkut paut dengan masa depan negara.
Di kampus, jurubicara mahasiswa hari ini yang terhimpun di bawah bumbung Aspirasi lebih gemarkan gaya hidup berpeleseran dan bukan suka hidupkan perbincangan bersama mahasiswa yang serius pemikirannya. Kegiatan mereka lebih banyak tercurah kepada tuntutan mahasiswa yang huha huha, yang suka hidup berpeleseran.
Perhimpunan Sejuta Belia itu tidak akan hidup melainkan dengan kerahan tenaga di kampus-kampus. Saya difahamkan badan-badan kerajaan dan MPP di setiap universiti pun dikerah turun ke Putrajaya untuk memperlihatkan kepada rakyat semua bahawa Najib Razak masih mendapat sokongan ramai.
Tapi, itu bukanlah isunya. Yang paling menjengkelkan ialah, pada sepanjang tempoh tiga hari berlangsungnya Perhimpunan Sejuta Belia itu, Najib Razak hanya bersama belia untuk bermain-main. Ada juga ditunjukkan aksi beliau menendang bola sepak sampai terseliuh.
Pada sebelah malamnya, beliau bersama Rosmah dan belia-belia menonton siaran langsung bola sepak dengan gembiranya. Walhal, konvensyen belia sangat sedikit dan cuma satu sahaja yang berlangsung jika tidak silap perhitungan saya.
Maka, itulah sahaja harapan belia-belia berwawasan di negara ini. Sudah banyak wang percukaian yang dilaburkan kepada MSN untuk menubuhkan institusi dan jabatan bagi tujuan meningkatkan mutu sukan negara sebaliknya, terhadap tuntutan MBM itu seperti dipandang sepi.
Najib Razak mesti insaf sedar bahawa, akan selalu hadir kumpulan yang akan menggulingkannya sama ada menggulingkannya daripada dalam ataupun dari luar.
“...Life is a sum of all your choices...” kata Albert Camus. Maka, buatlah pilihan sebaiknya. Buktikan Parlimen Belia itu benar-benar terlaksana untuk belia berwawasan dan bukan untuk belia huha huha!
No comments:
Post a Comment