Wednesday, July 06, 2011

Pemuda desak isu I.C palsu diberi perhatian dalam Bersih 2.0

Oleh H FANSURI

Sejurus tamatnya muktamar baru-baru ini, Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang sudah menyimpulkan suatu rumusan yang tepat dan jelas, iaitu saf kepemimpinan baru-baru ini adalah insan dipilih sebagai saf pelapis yang perlu berdepan dengan cabaran pilihan raya masa depan. Umno berwajah sugul ketika ini, terus dengan kerap melantunkan amarahnya lewat Utusan - bahawa kononnya parti ini sudah pun meminggirkan ulamak.

Bahawa kenyataan presiden berhubung saf kepemimpinan yang berdepan dengan cabaran pilihan raya umum itu tentu sahaja tepat dengan desas-desus andaian sekarang, bahawa pilihan raya umum bakal dijadualkan berlangsung pada 11.11.11 atau mungkin diawalkan ke Julai depan. Bagaimanapun, ada desas-desus bahawa kononnya rakyat Kemboja masuk ke Malaysia setiap hari.

Khabarnya, sekitar 50 orang yang tiba setiap hari (secara puratanya) sejak beberapa bulan lalu. Khabar angin ini memang bertiup keras. Ia berhembus dengan deras sejak Mac lalu kalau tidak salah ingatan saya.

Sejak Mac lalu, kononnya kerajaan Umno BN mahu memberi beberapa faedah bagi menawan hati Melayu Cham dengan harapan, mereka akan mengundi Umno. Tetapi, oleh kerana ia hanya desas-desus, maka saya tidaklah berhasrat menulisnya. Tapi, mutakhir ini ketika mendengar perkara ini timbul, maka tidaklah salah pula untuk meriwayatkannya semula.

Rencana seperti ini bukanlah hal yang rahsia lagi. Di Sabah, 'Projek I.C' yang dijalankan antara 1980-an sehingga 1990-an dengan tujuan menggulingkan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menjadi parti pemerintah di Sabah ketika itu.

Projek I.C itu nampaknya berjaya mengundang ratusan ribu pendatang tanpa izin. Manakala para penduduk tetap (permanent resident) pula sudah diberi hak kerakyatan termasuk kad pengenalan sekali gus mendaftarkan mereka sebagai pengundi baru.

Meninjau keadaan ini semua, maka sikap Pemuda PAS membangkitkan isu pemalsuan kad pengenalan ini sangat tepat pada masanya kerana pengundian membabitkan masa depan negara ini. Pendek kata, pengundi hantu adalah gangguan terbesar yang menghalang amalan dan perjalanan demokrasi yang sihat. Tetapi, usaha membersihkan daftar pemilih daripada senarai pengundi hantu ini bukanlah kerja yang boleh digalas oleh Pemuda PAS semata-mata.

Dalam usul yang dikemukakan Pemuda PAS, sayap parti itu juga turut menyebut perihal wujudnya usaha sulit, iaitu  'mencetak' kad-kad pengenalan baru untuk pendatang asing (pengundi hantu) itu. Tambah mereka, kelihatan seolah-olah perkara ini jarang diambil berat oleh setiap ahli masyarakat. Ia, amat jarang diberi perhatian penuh oleh kepemimpinan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri, kata Pemuda.

Pemuda turut mendedahkan perihal permuafakatan haram Umno BN dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai perkakas dan pada masa yang sama SPR turut membiarkan hal ini berleluasa.

"Lebih puluhan ribu warga asing diberi kad pengenalan dan kebanyakannya telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kelantan dan Kedah.

"Jika perkara ini dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan tegas diambil, ianya bakal menyebabkan PAS dan Pakatan Rakyat tewas teruk termasuk terlepas negeri-negeri yang dikuasai dalam Pilihanraya akan datang," kata mereka sebagai yang terkandung dalam usul sayap parti berkenaan.

Dan, kata Pemuda, kedaulatan negara akan terancam kalau hal pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran untuk berpolitik ini tidak dihentikan segera. Pemuda lantas tampil membangkitkan syor mereka supaya Pakatan Rakyat dapat mendesak agar diwujudkan suruhanjaya baru.

"Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat perkara ini ditubuhkan menurut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di mana ahli-ahli suruhanjaya tersebut dilantik dari kalangan mereka yang berwibawa, bebas dan berkecuali.

"Menuntut supaya Kementerian Dalam Negeri dan juga Jabatan Pendaftaran Negara khususnya mendedahkan secara terperinci statistik berapa jumlah taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada warga asing dan penduduk tetap terutamanya sejak sepuluh tahun kebelakangan ini mengikut negeri," kata mereka.

Selain itu di peringkat dalaman pula, Pemuda mendesak agar jentera PAS dan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dan kawasan-kawasan tertentu memantau secara rapi pergerakan komplot mengeluarkan kad pengenalan dan seterusnya membuat tangkapan awam terhadap mereka jika hal itu sah berlaku.

Injunksi sementara

"Sekiranya keadaan mendesak, PAS dan Pakatan Rakyat perlu mengambil satu tindakan undang-undang diambil ke atas JPN dan/atau SPR dan pada masa yang sama memohon suatu perintaah injunksi sementara diambil bagi menggantung segala proses pengeluaran kad pengenalan terhadap warga asing," tegas sayap Pemuda itu.

Untuk tujuan itu, pihak Pemuda turut menyarankan PAS dan Pakatan Rakyat bahawa hal pemberian kad pengenalan ini perlu diletakkan sebagai tuntutan baru untuk dimasukkan dalam agenda Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai depan.

Sebenarnya, telah agak lambat ketika tuntutan di atas disebutkan. Ketika catatan ini ditulis, telah bertiup kencang kisah 50 orang Kampuchea (Cambodia, Kemboja, Melayu Champa) yang masuk ke Malaysia dalam sehari. Dan, hal itu sudah lama berlaku sejak beberapa bulan belakangan ini. Jika perkara ini disahkan benar berlaku, maka tuntutan dan desakan Pemuda dalam muktamar itu wajib bermula sekarang tanpa bertangguh lagi.

No comments: