Saturday, July 09, 2011

Najib Rosmah perlu beza cinta anak, perniagaan dan urusan Malaysia-Kazakhstan

Oleh H FANSURI

Mujurlah dalam filem Tiga Abdul itu, P Ramlee Abdul Wahub tidak menyebut nama Kazakhstan. Kalau tidak, akan jadi isu besar juga. Abdul Wahub, anak bongsu Ismet Ulam Raja rupa-rupanya menerima harta warisan di luar negeri. Khuatir dan bimbang kalau-kalau semua hartanya dibolot anak sulung dan anak keduanya, maka harta di luar negeri itu memang sengaja dirahsiakan dan dipendamkan, lalu rahsia itu tersimpan kemas oleh Sulaiman Akhlaken, seorang peguam di Isketambola.

Bagaimanapun, harta-harta orang kaya Ismet itu memang ada sedia tersimpan di Hindustan, Gohedgostan (berdekatan negara Setan), Tg Rambutan dan lain-lain lagi. Harta di luar negara inilah yang tidak diketahui oleh Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang terkenal bodoh lagi tamak haloba itu.

Kisah penemuan, pencarian dan penggalian harta-harta luar negeri ini memang jadi kesukaan pemimpin besar kita agaknya. Daripada skandal pembelian helikopter Nuri, dan pembelian kapal selam Scorpene dan di Kazakhstan ini entah apa lagi yang akan berlaku. Apatah lagi saat ia melibatkan cinta antara benua, maka perebutan harta ghanimah ini memang semakin menjadi-jadi nampaknya.

Alkisahnya, timbul cerita mengenai percintaan anak muda belia antara anak Najib Razak dengan pimpinan negara di Kazakhstan itu. Maka, cinta itu tidak salah adanya. Oleh kerana cinta itu buta, maka orang bercinta tidak boleh dipersalahkan. Kebutaan itu, adalah sejenis kecacatan. Orang buta akan jalan bertongkat. Dan tongkat adalah lambang cintanya. Tanpa tongkat, orang buta (orang bercinta) akan teraba-raba dalam kegelapan.

Oleh sebab cinta itu buta maka cinta itu tidak mengenal batas sempadan kenegaraan lagi, hingga ramai yang sanggup meredah hutan belakar berapi dan lautan tsunami api pun sanggup direnangi. Apatah lagi jika sempadan negara dan sempadan negeri. Bukan suatu kesalahan jika Kelantan menikahi Kemboja, bukan dosa mencintai wanita Mongolia dan bukannya jenayah untuk menikahi lelaki Kazakhstan.

Cinta itu buta. Ia tidak mengenal apakah itu Mongolia atau Kazakhstan. Cinta tak mengenal itu semua. Cinta adalah mahabbah, kemuncak rasa paling agung. Maka berduyunlahlah pula kerabat Umno seperti ikan duyung berenang di lautan, hatta tsunami pun diredahnya bagi menahan tangkisan 'fitnah mehnah' yang ditujukan Pakatan Rakyat ke atas gelora badai gelombang percintaan anak Najib dan Rosmah itu.

Khairy Jamaluddin pun berkata ziarah Najib dan Rosmah ke Astana Kazakhstan untuk Forum Ekonomi Dunia Islam itu direncana setahun lebih awal. Justeru, ia tiada kaitan dengan lawatan peribadinya.

Tambahnya, rencana ziarah PM itu dibuat sudah lama sebelum pertunangan anak perempuannya, begitu kata Khairy seperti yang dilapor di media. Jadi, secara tak langsung kenyataan ini menjelaskan kepada kita bahawa Khairy sendiri tidak menafikan hadirnya percintaan anak Najib itu.

Cuma diungkapnya hujah pembelaan lain pula iaitu ziarah muhibbah itu direncana sudah lama sebelum pertunangan anak Najib itu. Maka, hal pertunangan itu wujud. Tapi, percintaan antara benua Malaysia dan Kazakhstan yang membuak-buak asmara itu sudah lama wujud. Khairy dan sesiapa pun antara kita tidak boleh menafikan wujudnya semua gejala ini kerana kita semua pernah leka bercinta.

Kalau tidak pernah hangat bercinta, mana timbul idea bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mahu mencapai sasaran penduduk 70 juta!

Tapi, Khairy sebut dalam hujah pembelaannya bahawa ziarah Najib baru-baru ini adalah lawatan balas Presiden Nazarbayev ke Malaysia ketika zaman Abdullah. Sebagai menantu Abdullah, Khairy mungkin masih teringat lagi peristiwa dan saat manis ini.

Untuk rekod lawatan presiden itu dibuat pada 2006 ketika era PM Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan itu boleh mengundang andaian lain. Mungkinkah percintaan anak Najib berlaku sejak 2006?

Jadi, berlangsungnya percintaan antara benua (mungkin melalui chat Yahoo Messenger, Skype, FB) ini mungkin sudah menjangkau lima tahun sejak 2006 sehingga tahun ini, 2011? Hal ini pun adalah suatu bahan kajian yang menarik juga. Mungkinkah rahsia percintaan ini sudah dikongsi bersama Najib dan Rosmah selama tempoh lima tahun percintaan jarak jauh antara benua itu?

Jadi, mungkin juga anak Najib sudah bermain cinta itu sudah lama dan hal percintaan ini diketahui oleh mereka sekeluarga sejak 2006. Lalu, dalam tempoh percintaan anak mereka itu juga, mungkinkah Najib sudah berunding dengan 'bakal besannya' sambil-sambil mencari prospek perniagaan di Kazakhstan?

Maka, pada tahun lepas mungkin barulah Najib nampak peluang itu dan kebetulan pula anaknya mahu bertunang dengan anak sang presiden di negara berkenaan. Jadi, proses ini semua bercampur-campur., bak kata pepatah, sambil menyelam minum air juga. Untuk mendapat jawapan semua ini, Najib Razak mesti menjawab persoalan ini di Parlimen Belia yang beliau janjikan penubuhannya baru-baru ini di Putrajaya. Bersempena Hari Belia itu.

Di Twitter, Khairy bebas berkata, untuk berkata, saya tidak bercakap bagi pihak sesiapa, saya hanyalah seorang pegawai kanan Umno dan bercakap bagi pihak parti saya saja. Maka, kenyataan ini memanglah biasa untuk mana-mana ahli parti pun.

Tapi, Khairy juga bekas pelajar luar negara. Anak Najib juga pernah belajar di Universiti Georgetown, Washington, Amerika. Khairy tentu sedar bahawa Najib dan Rosmah pernah melawat anaknya di sana atas program rasmi kerajaan.

Sebagai wakil partinya, bolehkah Khairy bezakan antara Najib dan Umar Abdul Aziz yang meniup lilin sehingga kelam ketika mendapat tahu anaknya mahu berbicara dengannya atas urusan peribadi?

No comments: