Salam revolusi teman-teman penulis muda! Apabila kita bersetuju tentang bahaya dan ancaman PPSMI ini, maka tidak semestinya kita bersetuju tentang cara-cara mengubah dan memansuhkannya. Sebab itulah, di sini kita bentangkan dua jenis aliran yang mahu memansuhkan PPSMI itu.
Aliran pertama menyatakan bahawa, cara-cara memansuhkan PPSMI itu mestilah dengan cara menggulingkan Umno, BN atau setepatnya menggulingkan Najib Razak dan sekutunya Muhyiddin Yassin melalui jalan demokrasi. Ini bermaksud, golongan ini sudah bersedia mengundi parti apa pun sahaja kecuali Umno. Mereka ini bertekad mahu menggunakan laras bahasa undi untuk menjatuhkan kekuasaan yang menaja PPSMI ini.
Mereka berpegang kepada 'fatwa' dan 'ijtihad' Dato' A Samad Said yang menyatakan bahawa, "Undilah apa sahaja kecuali Umno dan BN." Bagi mereka, Umno dan PPSMI ibarat aur dan tebing, bagaikan isi dengan kuku yang bertaut rapat dan hubungannya saling kukuh-mengukuhkan dan amat erat; saling menguatkan antara satu sama lain. Kata mereka, jatuh Umno, tergulinglah PPSMI. Rebah PPSMI, tersungkurlah BN.
Alasan kenapa kumpulan ini sudah bertekad mengundi Pakatan Rakyat adalah - mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Umno, BN untuk memansuh PPSMI itu. Kepada golongan ini, selagi Umno masih memerintah, maka selagi itulah PPSMI akan wujud. Janji memansuhkan PPSMI itu akan hanya tinggal janji yang tidak akan ditunaikan sampai bila-bila.
Kalau terdesak, Muhyiddin akan tunda dan lanjutkan lagi tarikh 'pemansuhan' PPSMI itu bertujuan mengaburi pemikiran rakyat. Demikian asas keyakinan kumpulan pertama ini.
Sementara itu, aliran kedua pula menyatakan bahawa, cara memansuhkan PPSMI itu mestilah melalui laras kekuatan bahasa memorandum, demonstrasi, perhimpunan aman dan bengkel. Bagaimanapun, golongan ini (mungkin) tidak akan tergamak menggunakan laras bahasa undi.
Kasih sayang dan kecintaan mereka terhadap Umno dan BN itu masih ada. Hal ini sukar diluputkan daripada jiwa dan fikiran mereka. Atau, mungkin juga mereka ada kepentingan peribadi ataupun berasa takut segala keistimewaan yang mereka ada pada hari ini akan luput, tenggelam habis ketika jatuhnya Umno. Dan, banyak lagi alasan yang boleh dikemukakan jika kita dapat menyiasat dan menemu bual kenapa mereka enggan mengundi selain Umno itu.
Barangkali juga, aliran kedua ini masih yakin bahawa akan tiba ketikanya, Umno dan BN itu akan segera insaf lalu diberikan hidayah, petunjuk, pedoman untuk memansuhkan dasar PPSMI tersebut. Sampai bilakah keyakinan aliran kedua ini akan berlanjutan berpanjangan, hal itu tidaklah diketahui lagi.
Surat-surat dan nota ini dikarang tulis bagi golongan kedua dan bukan banyak sangat ditujukan kepada golongan pertama tadi yang telah jelas matlamat mahu menggunakan laras bahasa undi itu. Saya secara peribadi ingin mengetahui alasan kenapa aliran kedua enggan mengundi selain Umno dan BN itu.
Maka, mungkin dengan permulaan surat-surat ini, kita dapat bermuhasabah mengenai perkara-perkara tertentu berhubung alasan-alasan tersebut. Saya meletakkan harapan tinggi menggunung terhadap para penulis muda hari ini untuk membuat beberapa perubahan di negara kita.
Jadi, buat mereka yang masih berasakan sulit untuk mengundi Pakatan Rakyat itu, bolehlah mengemukakan pandangan ke ibnuamir@gmail.com dengan meletakkan subjek; PPSMI. Sertakan juga alasan-alasan kenapa anda tidak mahu mengundi Pakatan Rakyat dan masih tetap mengundi Umno, BN walau PPSMI itu jelas membunuh masa depan bahasa Melayu (bahasa kebangsaan) dan jelas sekali melanggar prinsip semangat perlembagaan negara kita.
No comments:
Post a Comment