Wednesday, July 13, 2011

Pilihan raya masjid Pulau Pinang ancam AJK masjid Umno?

Oleh H FANSURI

Berdasarkan laporan di Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, imam-imam masjid perlulah bekerjasama dalam usaha menolak sistem pemilihan berdasarkan sistem pilihan raya itu kerana penjelasan yang terperinci diperlukan terlebih bagi memastikan kesahihan sistem berkenaan.

Jamil Khir berkata, kerajaan Pulau Pinang wajar memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum membuat pilihan raya umum bertujuan memilih AJK kariah masjid.

Dalam perlembagaan persekutuan, tambah beliau, segala hal yang berkaitan Islam adalah di bawah bidang kuasa raja dan sultan negeri masing-masing.

Di Pulau Pinang yang tidak mempunyai raja, segala hal-ehwal yang berkaitan Islam adalah di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, tambahnya.

Seolah-olah, kata Jamil Khir kepada pemberita, kerajaan negeri Pulau Pinang cuba ingkar kuasa Yang di-Pertuan Agong ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh perlembagaan dan perundangan itu.

Inilah yang dirisaukan oleh Umno. Ketika ini, wujud syor bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang mahu mengadakan kaedah pemilihan AJK kariah masjid di seluruh negeri itu seperti dengan sistem undi dengan kertas undi sebagai mana amalan yang biasa dilakukan dalam pilihan raya.

Media yang dikawal selia oleh Umno pun berkempen dan menyeru untuk mengangkat persetujuan umum bahawa - keputusan kerajaan Pulau Pinang yang mahu membuat sistem pilihan raya masjid ini mungkin akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam, khususnya di masjid.

Jamil Khir menambah, perpecahan itu akan berlaku kerana timbul keraguan dalam isu untuk menentukan kawasan lingkungan bagi seseorang qariah masjid, sekali gus melibatkan jentera yang digunakan bagi memperolehi senarai nama jemaah sesebuah masjid, yang bertindak sebagai pemilih dalam pilihan raya masjid itu.

Demikianlah antara hujah-hujah yang dikemukakan oleh media termasuk golongan cendekiawan Umno berhubung hal pilihan raya di masjd itu. Kini, tiba masanya untuk Umno Pulau Pinang menafikan kisah yang ini. Ini kisah di Masjid Gelugor, Pulau Pinang yang tidak jauh dari Universiti Sains Malaysia.

Alkisahnya, konon-kononnya, ketika Dr Mahathir mentadbir dahulu, ada segerombolan mamak Umno Pulau Pinang yang bertemu Dr Mahathir kerana mereka sedang berdepan dengan suatu masalah yang sangat besar. Masalah itu ialah ceramah-ceramah PAS yang sangat kuat di negeri tersebut.

"Macam mana nak buat Dato' Seri?" kata salah seorang daripada mereka. "Orang-orang PAS ramai dah yang kuasai masjid. Bila depa kuasai masjid, makin banyak ceramah pembangkang di masjid-masjid."

Mengikut kisahnya Dr Mahathir tidaklah setepatnya menyalahkan PAS dalam hal ini, sebaliknya beliau menyalahkan Umno sendiri yang tidak begitu akrab dengan institusi masjid di Pulau Pinang itu.

"Habis tu salah siapa la ni? Hangpa pun dah tak pi ke masjid, nak buat macam mana?" konon kata Dr Mahathir. "Jadi, pi la ke masjid, barulah orang nak percaya kat kita."

Kisah ini disampaikan lebih kurang oleh seorang bekas pimpinan tertinggi AJK di Masjid Gelugor itu. Katanya, berdasarkan 'fatwa' Dr Mahathir itu, maka Umno Pulau Pinang pun membuat rencana untuk menguasai tampuk pemerintahan keseluruhan masjid di Pulau Pinang.

Kisah dialog pertuturan ini sengaja saya rekacipta bagi menyedapkan cerita, menambahkan perisa dan kesan dramatik ceritera ini. Syahadan, maka jentera-jentera negeri pun digunakan dan entah bagaimana wujudlah dua puak AJK masjid hingga kini. Satu puak 'haram' (PAS) dan satu lagi puak 'halal' (Umno).

Maksud jawatankuasa masjid yang 'halal' ini ialah, AJK masjid yang dianggotai seluruhnya oleh Umno. Mereka mengambilalih kedudukan masjid dengan cara perundangan curang. Dan dengan sebab itu juga wujudlah AJK masjid 'haram', iaitu AJK masjid yang dianggotai PAS, iaitu AJK masjid yang asal.

Arakian, walaupun satu masjid itu telah ada dua jawatankuasa, iaitu AJK masjid Umno dan AJK masjid PAS, namun AJK masjid yang dikepalai sekalian juak Umno ini masih tiada kelihatan juga di masjid itu melainkan jika ada program-program yang bersifat politik jua adanya.

Tiada kalangan AJK masjid beraliran Umno ini yang menjadi imam, khatib yang berkhutbah di mimbar Jumaat, tiada kalangan mereka yang menjadi bilal, siak ketika solat jemaah berlangsung.

Pendek kata, acara rohani sangatlah sifar dibangunkan oleh AJK masjid Umno tersebut. Cita-cita awal mereka hanyalah bertujuan mengekang ceramah-ceramah PAS yang menyerang Umno di masjid itu.

Tapi, setelah berhasil mendapatkan kekuasaan dalam masjid-masjid itu, maka wujudlah pelbagai usaha lain pula. Antaranya, akaun-akaun masjid di bank itu ada yang dibekukan kerana tidak diketahui siapa yang layak menerimanya; adakah AJK Umno ataupun AJK PAS?

Justeru, saya hanya membuat dugaan awal, bahawa berkemungkinan pilihan raya masjid ini bertujuan memecahkan tembok AJK masjid Umno yang telah berhasil membuat coup d'etat terhadap AJK masjid PAS yang asal itu. Ini kerana, inilah sahaja jalan yang ada guna menjernihkan kekeruhan politik masjid.

Kalau pun DAP tiada niat seperti yang saya sangkakan itu rasanya wajarlah juga pilihan raya masjid itu diadakan juga demi kemaslahatan umat Islam seluruhnya di Pulau Pinang itu.

No comments: