Wednesday, July 13, 2011

Benarkah polis tempatan kita bersekongkol dengan samseng?

Oleh H FANSURI

Di Pulau Pinang, tumbuh bak cendawan rumah hiburan yang sebenarnya turut menawarkan khidmat seks. Di Pulau Tikus dan di Lebuh Chulia atau sebut sahaja di mana-mana, segalanya tersedia untuk semua, baik pelancong mahu pun orang-orang kita sendiri.

Oleh sebab banyaknya akhbar Cina di Pulau Pinang ini, maka memang tidak lepaslah laporan akhbar-akhbar ini daripada membuat pemantauan ke atas perkara-perkara tersebut.

Akhbar Cina mungkin cepat membuat laporan kerana di sana ada sumber daripada kaum Cina yang tampil memberitahu mereka berhubung apa jua gejala buruk di negeri itu.

Lagi pun, dalam konteks kegiatan pelacuran ini, memang ketara jelas bahawa kebanyakan pelacur hari ini datangnya daripada tanah besar China. Sebelum ini pun, ada juga kita dengar kegiatan Dato' T serta Eskay yang menyusun plot video seks menggunakan khidmat pelacur China di Thai.

Sebetulnya, ada sesuatu yang agak aneh di Pulau Pinang ini apabila kita membicarakan kegiatan rumah urut dan hubungannya dengan polis. Ada laporan suatu ketika dahulu mengenai serbuan polis di rumah urut, dan menurut rekod, rumah urut itu sudah puluhan kali diserbu kalau tidak salah ingatan saya.

Ini yang merungsingkan! Kenapa sampai puluhan kali? Dan setiap kali serbuan dibuat, hanyalah wanita pelacur itu juga yang ditahan dan pemilik premis perniagaan itu tidak pula kita kenali.

Kenapa premis perniagaan itu dibenarkan terus beroperasi berulangkali walaupun diserbu berkali-kali? Tak bolehkah diberi amaran – jika tiga kali diserbu, maka perniagaan anda akan ditutup sahaja. Hal ini mesti dijawab Menteri Kewangan Najib Razak yang mengeluarkan lesen perniagaan itu.

Dan yang agak terbaru adalah kisah para pelacur itu diconteng muka pula. Ketua Polis Pulau Pinang Dato' Ayub Yaakob mempertahan tindakan merantai dan menconteng muka, dada dan tangan wanita pelacur asing dalam suatu serbuan di negeri itu.

Serbuan itu katanya adalah kaedah biasa yang melibatkan pasukan polis Bukit Aman yang bekerjasama dengan polis negeri. Operasi yang melibatkan hal teknikal biasanya melibatkan Bukit Aman, katanya.

Tambahnya, tindakan polis merantai dan menconteng wajah dan tubuh para pelacur asing itu telah dilakukan bertujuan mengenalpasti mereka yang ditahan itu, kerana jumlah mereka terlalu ramai.

Tapi sehina-hina pelacur, mereka juga ada perasaan dan atas nama perikemanusiaan, tidaklah patut juga diletakkan tanda-tanda contengan di tubuh mereka itu, walhal nama dan maruah pemilik premis rumah urut itu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Polis hanya melepaskan keluhan berat mereka berhubung kerja mereka siang dan malam. Dalam kenyataannya kepada pemberita, Ayub Yaakob hanya berkata, bahawa mereka terpaksa bertindak atas aduan isteri-isteri yang mengadu sekitar 3 atau 4 pagi.

“Kebanyakan isteri ini tidak tahan dengan perangai suami mereka yang lazim mengunjungi tempat ini,” kata polis-polis ini. “Jadi, kami bertindak berdasarkan aduan mereka sahaja.”

Tapi, isunya, bukannya aduan isteri-isteri itu ke atas pelacur-pelacur itu. Isunya, kenapakah polis-polis itu bertindak menconteng tubuh badan dan wajah para pelacur itu, dan tidak berusaha menutup premis perniagaan rumah urut yang menyediakan perkhidmatan seks?

Hanya suatu hal yang berlegar di fikiran orang-ramai hari ini, iaitu, mungkinkah polis-polis tempatan ini bersekongkol dengan samseng-samseng yang berkemungkinan memiliki premis perniagaan gelap ini?

Hal ini turut diakui oleh polis-polis yang terlibat dalam serbuan-serbuan itu. Kata mereka, jika mereka tidak bertindak, mereka risau dikatakan bersekongkol dengan pemilik kelab hiburan malam itu.

Tapi, isunya, serbuan yang dilakukan itu pun tidak benar-benar telus. Yang ditangkap cuma pelacur dan bukan samseng-samseng pemilik premis perniagaan rumah urut tersebut. Ini bermaksud, polis tempatan mungkinkah masih bersekongkol?

Dan, oleh kerana persekongkolan itukah, maka polis dari Bukit Aman pun terpaksa turun membuat serbuan oleh sebab mereka tidak percayakan polis-polis tempatan itu?

Ya, sememangnya dalam serbuan di Pulau Tikus tempoh hari, ada sekitar lapan warga pelacur tempatan ditahan termasuk 30 pelacur warga asing (29 rakyat China dan seorang pelacur dari Vietnam). Serbuan itu dikatakan melibatkan 19 anggota polis dari Bukit Aman.

Dan dalam serbuan itulah kebanyakan wanita pelacur itu sudah pun yang dirantai serta diconteng sebagai tanda pengiraan. Pelacur itu ditanda di dahi, wajah, tubuh mereka dengan pen, demikian akhbar Cina di Pulau Pinang itu melaporkan. Bos mereka lesap entah ke mana?

Hingga kini, kita akan berterusan dihadapkan dengan berita-berita berhubung pelacur wanita asing ini ditahan dan ditangkap. Iklan-iklan di televisyen tajaan Menteri Dalam Negeri masih juga mendedahkan hajat suci kerajaan untuk membanteras kegiatan pemerdagangan manusia yang terkait dengan pelacuran itu.

Tetapi, jika benar polis tempatan kita bersekongkol dengan pemilik premis perniagaan rumah urut, maka bagaimana negara kita dapat bebas daripada kegiatan pelacuran ini wahai Hishammuddin Hussein?

No comments: