Saturday, July 09, 2011

Tubuhkan Kelab Suami Pengasih; asuh suami kasihkan isteri

Oleh RUHI HAYATI THANI

Puan Latifah mula bersiap-siap mahu keluar rumah sambil diperhatikan ayahnya. Dia sedang berjuang membawa usul baru ke dalam mesyuarat wanita yang bakal dihadirinya.

Apabila ayahnya bertanya maksud mesyuarat itu dan usul apa yang mahu beliau lantunkan ke atas golongan isteri di Singapura itu, maka Latifah berkata, "Laki-laki tidak boleh berkahwin lebih daripada satu!"

"Kalau dulu kau buat begini tak apa, sekarang dah terlambat," nasihat ayahnya kembali. Namun begitu, dengan helah encik Jamil, maka isterinya bukan sahaja dua, malah bertambah jumlahnya kepada tiga!

Kisah ini dapat disaksikan dalam Madu Tiga arahan Tan Sri Dr P Ramlee. Nama isteri pertamanya ialah Latifah. Jadi ketika kita terkenang fenomena Tipah Tertipu yang dipopularkan lewat filem cinta Ali Setan (arahan Jins Shamsudin) itu, maka bukanlah Latifah itu yang pertama mula ditipu.

Sebaliknya Latifah di dalam Madu Tiga itulah yang ditipu kerana suaminya mahu bernikah lebih daripada satu. Hari ini, lahir pertubuhan baru; Kelab Isteri Taat. Secara keseluruhannya, kelab itu tidak mempunyai masalah jika mengetengahkan isu-isu ketaatan isteri.

Tiba-tiba, kelab itu terlanjur mengeluarkan kenyataan berhubung ketaatan yang terkait dengan khidmat seks kaum isteri yang menurut mereka - mestilah setaraf dan seperti 'pelacur kelas pertama'. Maka, beranglah satu Malaya saat mendengarkan perkataan sebegini keluar daripada lidah kaum Hawa.

Ketika mengharungi arus pergolakan fitnah, barangkali perlu ditinjau apakah benar kenyataan isteri perlu beri layanan setaraf 'pelacur kelas pertama' itu ditimbulkan melalui lidah percakapan Naib Presiden Kelab Isteri Taat itu. Saya rasa sangsi kerana laporan itu termuat dalam media yang ada rekod fitnah.

Mungkin sebab ingin menaikkan jualan sahaja, maka sengaja diletakkan tajuk dan ayat sebegitu sebagai cara menarik perhatian pembaca. Tetapi, untuk sementara waktu, biarlah kita katakan bahawa kenyataan tersebut benar-benar berlaku bagi memudahkan perbincangan kali ini.

Syahadan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pun menyelar kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed yang mengesyorkan bahawa isteri mestilah taat melayan suami seperti 'pelacur kelas pertama' itu. Sebagai termaklum timbalan presidennya, Musa Awang menyifatkan buah fikiran yang terlontar di media itu sebagai 'biadap' kerana meletakkan diri isteri serendah seorang pelacur.

Musa berkata, isteri bukan alat seks suami, sebaliknya tugas isteri melayan suami adalah ibadah yang diberi ganjaran pahala. Tambahnya, suami wajib memberi nafkah kepada isteri seperti rumah, makan minum, pakaian dan wang, namun semua itu bukan gantian kepada khidmat seks yang isteri beri.

PGSM seperti juga beberapa kumpulan lain, turut menyelar kenyataan sebegitu kerana kumpulan Kelab Isteri Taat telah mengaitkan ketaatan isteri yang dirujuk kepada 'pelacur kelas pertama'. Hanya dengan layanan pelacur, maka suami mereka tidak akan terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat di luar.

Tambah pimpinan Kelab Isteri Taat itu, kegagalan isteri melayan seks suami itu mengakibatkan keretakan rumah tangga dan punca suami memiliki teman wanita, wanita simpanan dan mencari pelacur bagi mendapat kepuasan itu. Pendek kata, tidak habis-habis dan tidak sudah-sudah menyalahkan isteri.

Lalu, Musa berkata, bahawa kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang wanita berpendidikan kerana hal itu akan 'menjatuhkan imej wanita. Tapi, Musa tidak menolak kemungkinan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan niat baik sebagai lambang isteri mentaati suaminya.

Bagi beliau, tidaklah semua kaum lelaki di negara ini tahu bagaimana bentuk khidmat yang diberikan oleh seorang pelacur kelas atasan. "Jadi, kenyataan itu menggambarkan seolah-olah semua lelaki Melayu Islam melanggan pelacur," tambah beliau.

Sebenarnya, bukannya tiada pesan-pesan berhubung perlunya suami melayani isteri mereka dengan baik. Misalnya, Imam Ali bin Al-Husain Zainal Abidin pernah menyebutkan sebagai berikut:-

"... suami harus memperlakukan isterinya dengan baik, menghormatinya, dan berlemah-lembut terhadapnya meskipun hak-hak suami atas isteri lebih besar. Isteri harus mentaati suaminya jika ia memerintahkan sesuatu, selama hal itu tidak berupa maksiat kepada Allah.

"Isteri berhak untuk mendapatkan kasih sayang dan kelembutan kerana dialah yang memberikan ketenangan hati bagi suami. Isterilah yang dapat memuaskan keperluan nafsu syahwat suami yang memang harus disalurkan, dan hal itu adalah sesuatu yang agung."

Tamat ucapan Imam Ali bin Al-Husain Zainal Abidin di sini, cucu-cicit keturunan Rasulullah s.a.w. Berikut adalah catatan hadis nabi yang diperingatkan oleh baginda sendiri terhadap para suami.

"Lelaki terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri."

Maka, jika Kelab Isteri Taat tidak dapat mencetak suami terbaik untuk melayani isteri mereka dengan baik, apa kata jika kaum lelaki dan suami di negara ini menubuhkan Kelab Suami Penyayang untuk mengimbangi Kelab Isteri Taat tersebut?

No comments: