Saturday, July 30, 2011

Kisah polis sasterawan, dan sebalik falsafah Kuning Bersih

Oleh H FANSURI

12:56 pagi, 30 Jun, 2011 | Stesen KTMB Tg Pagar

Mereka berkata: “Mohonkanlah untuk kami kepada Rab (Tuhan) engkau agar diterangkan kepada kami apa warnanya?” Dia (Musa) menjawab: “Sesungguhnya Dia (Allah) berfirman bahawa ia adalah seekor lembu betina berwarna KUNING yang bersangatan, lagi MENYENANGKAN orang yang memandangnya.” --- {Al-Baqarah: ayat 69}

Kepada Ketua Polis Negara dan saudara revolusioner satu negara. Ketika catatan ini diturunkan, bahawa ini malam (tepatnya dinihari) terakhir kereta api Tg Pagar akan menggalas amanah terakhirnya. Tanah inilah benteng negara kita yang terakhir. Daripada Tg Pagar menuju ke stesen Segamat, saya temui tanda-tanda dan perlambangan Lion Club. Ada banyak catatan yang merujuk Lion Club ini seakan-akan serpihan atau mungkin jenama lain Freemason? Dan, kedengaran pula bahawa pasukan polis sangat akrab dengan Lion Club? Betulkah?

Malam ini saya ingin mengemukakan andaian hipotesis baharu - Lion Club mungkinkah badan yang secara halus tersirat menyebabkan KTMB Tg Pagar berpindah ke Singapura? Ini kerana, ada banyak juga 'pelaburan' Lion Club di beberapa buah perhentian KTMB. Ini suatu hal yang boleh direnungkan.

Kini, kita tumpukan kepada KPN PDRM yang akan berjuang menawan BERSIH itu. Suatu hal yang mengundang kemarahan rakyat ialah ketika Sasterawan Negara Dato' A Samad Said disoal siasat tentang hubungannya dengan BERSIH. Tidaklah sepatutnya polis bersikap biadap terhadap SN.

Ingatlah kepada sasterawan negara Usman Awang di mana pekerjaan awalnya adalah polis. Tapi, beliau bijaksana. Ditulis dalam catatannya berhubung kekesalannya ketika melihat betapa banyaknya kezaliman yang terjadi ketika beliau anggotai pasukan itu. Dan, ketika menulis mengenai komunis, Usman mengucapkan syukur kerana tiada sebutir peluru pun yang melompat dari senjatanya untuk menembak komunis yang disangka umum sebagai musuh negara seluruhnya.

Mungkin, sebab itu beliau memakai nama samarannya sebagai Tongkat Warrant kerana keterlibatannya dalam pasukan keselamatan. Hal ini boleh KPN menyemaknya dalam novelnya Tulang-Tulang Berserakan yang mencatat segala garis peristiwa berhubung keterlibatannya sepanjang berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu. Usman adalah jagoan pemuisi handalan, tetapi dia juga seorang polis dan dia mencela sikap biadab polis!

Jadinya saudara KPN, oleh sebab kesilapan polis yang tidak selalu menyemak arahan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ini, maka kita selalu melihat, bahawa ketika anggota polis dihadapkan di mahkamah nanti, maka pasukan akan ditertawakan umat.

"Mana akta dan perundangan yang mengesahkan bahawa penjual baju kuning Bersih itu boleh ditangkap?" tanya si peguam. Polis pun tercungap-cungap menjawab di mahkamah. Habis tiada perkataan yang boleh diucapkan, maka terpaksa disebutkan bahawa semua itu arahan KDN dan/atau PM juga.

Falsafah di sebalik warna Kuning
Kini, saya di stesen KTMB Segamat. Barulah hari ini terserempak dengan iklan anti-Bersih di tv. Ketika dibuka Facebook, betapalah banyaknya lakaran kartun yang menjadi alat dan modal untuk mengetawakan polis di negara kita mutakhir ini.

Saya di sini ingin merujuk warna kuning. Marilah KPN bersama menyemak surah Al-Baqarah; surah kedua mengikut ayat 69 di dalam Al-Quran itu. 


Kisah lembu ini hadir pada ayat 67 sehingga 73, di mana Bani Israil bertemu Nabi Musa a.s. untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Wahyu Allah telah memerintahkan agar seekor lembu disembelih (ayat 67) tetapi kaum Bani Israil terlalu banyak pertanyaan diajukan buat Nabi Musa (ayat 68 - 71) sehingga begitu terperinci sekali syarat-syarat lembu betina yang dikenakan ke atas mereka. Hampir sahaja mereka tidak dapat melaksanakan perintah penyembelihan itu disebabkan lembu seperti yang disyaratkan sukar diperolehi (ayat 71).

Maka lihatlah apa sabda Musa terhadap hal ini dalam ayat 69 - "Mereka berkata: "Mohonkanlah untuk kami kepada Rab (Tuhan) engkau agar diterangkan kepada kami apa warnanya?” Dia (Musa) menjawab: “Sesungguhnya Dia (Allah) berfirman bahawa ia adalah seekor lembu betina berwarna kuning yang bersangatan, lagi menyenangkan orang yang memandangnya.”

Sebenarnya, lembu berwarna kuning keemasannya berkemilauan itu telah pun diketahui oleh ibu kepada anak lelakinya dalam Bani Israel, yang amat luar biasa ketaatannya.

Suatu hari ibunya berkata: "Wahai anakku, ayahmu telah mewariskan seekor lembu kepadamu, dia telah melepaskannya di hutan untuk dipelihara oleh Allah. Oleh itu kamu pergilah ke hutan dan berdoalah kepada Tuhannya Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s., Nabi Ishaq a.s. dan Nabi Ya'qub a.s. semoga Allah s.w.t. mengembalikan semula lembu itu.

"Ibunya berkata lagi: "Wahai anakku, tanda lembu itu ialah berwarna 'kuning' berkilauan dan kulitnya bagaikan emas apabila terkena cahaya matahari."

Setelah pemuda itu mendengar segala pesanan ibunya maka dia pun pergi ke hutan, sesampai di sana dia melihat lembu yang dikatakan oleh ibunya itu sedang memakan rumput kemudian dia berdoa: " Wahai lembu, aku memanggil kamu dengan nama Tuhannya Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s. , Nabi Ishaq a.s. dan Nabi Ya'qub a.s. oleh itu hendaklah kamu datang kepadaku.

Kisah ini agak panjang juga, tapi kita boleh mengaitkannya dengan idealogi Bersih hari ini yang mengutamakan warna kuning sebagai tema perjuangan. Di atas sebab inilah, maka kita dapat melihat betapa Al-Quran itu tetap kekal relevan sampai bila-bila pun.

Dan, disebutkan oleh Musa dan ibu kepada budak itu - warna kuning itu akan menggembirakan hati orang yang memandangnya. Bahawa pemandangan serba kekuningan dan hubungan keindahannya sehingga menarik pandangan manusia ada disebut dalam Al-Quran.

Timbul persoalan wahai Ketua Polis Negara - kenapa polis dan Umno melihat kuning ini dengan penuh rasa takut? Setidak-tidaknya kaum Bani Bersih yang kamu buru itu ada falsafahnya di sebalik kepenggunaan warna kuning itu. Ini kerana warna itu difirmankan Tuhan sebagai warna yang menarik perhatian manusia. Jadi, apakah falsafah di sebalik patriot merah? --- Tamat di Segamat, 10:27 malam.

No comments: