Sunday, August 07, 2011

Bersih menguji siapa karyawan tulen sejati

Oleh H FANSURI

Salam revolusi buat rakan penyair revolusioner! Ketika direnung-renung dan difikir-fikirkan segala kejadian hari ini, khasnya Bersih 2.0 adalah suatu ujian untuk menilai siapa antara kita yang mengangkat pena demi kepentingan rakyat atau demi kepentingan peribadi.

Antara karyawan hari ini, sudah tentu ada yang mengarang demi kemasyhuran diri, untuk wang dan demi kepentingan rakyat. Jadi, kita hari ini berada di pihak mana? Adakah kita mengarang demi wang, kemasyhuran atau kepentingan rakyat?

Tidak salah mengarang demi wang. Wang perlu untuk meneruskan kehidupan. Mengarang untuk wang ini bukan hina. Ia menjadi pekerjaan hina apabila kita menulis setelah diupah bagi membela kezaliman penguasa. Mengarang demi wang (setelah diupah untuk memenangkan kezaliman) menjadi tercela.

Maka, mengarang demi wang itu asal-usulnya tidak boleh disalahkan. Jika dia menulis isu sekelilingnya bagi mencari wang tanpa prejudis apa-apa dan isunya menyentuh persoalan kemanusiaan sejagat, maka hal itu tidak boleh dicela sesiapa.

Menulis demi wang jadi isu ketika penulis diupah untuk membela politikus zalim. Hal ini bukan tidak berlaku. Suatu masa nanti, bagi mana-mana penulis muda hari ini yang mendewasa dan matang dalam penulisannya akan didatangi politikus. Mereka akan terpaksa berperang dengan nafsu untuk menolak tugasan menulis apabila mengetahui kecurangan politik.

Golongan kedua adalah mereka yang mengarang demi kemasyhuran. Hal ini tercela kerana hatinya sudah berniat buruk. Telah ada yang ingin diri mereka dinobat-nobatkan dan ditabalkan sebagai jaguh. Antara tanda sikap mereka ini ialah - mereka mengutuk orang tertentu yang mendapat anugerah lewat penulisan-penulisan mereka. Walhal, perkara ini boleh dihakimi sendiri oleh rakyat.

Sebenarnya, jika penulis itu tidak layak diberi anugerah, maka umat tidak terasa kehadiran mereka walaupun sudah bergondol anugerah mereka dapati. Jadi, biarkan sahaja penulis itu tenggelam dalam dunia kemasyhurannya dan tidak perlu diberi publisiti murahan dengan mengkritiknya.

Dengan mengkritik juri dan penulis yang tidak patut menerima anugerah, bermakna kita membazir masa bagi sesuatu yang tidak berfaedah sama sekali untuk rakyat. Rakyat peduli apa dengan kepengarangan yang tiada bersangkutan dengan mereka.

Sepatutnya, tidak perlu dibuat liputan apa pun. Walau teguran dituju ke atas penulis yang terima anugerah itu, termasuk juri yang dituduh salah menilai, maka teguran itu makin menjadikan hal itu jadi polemik dan umat makin terpinggir menjauhi sastera yang dirasakan tiada kaitan dengan mereka. Ruang akhbar makin tidak bercerita perjuangan umat dan masa hangus oleh polemik yang panjang.

Kini, Bersih menjadi ladang usaha, padang amal karyawan muda hari ini dalam meletakkan diri mereka untuk dihakimi penulis masa depan. Hari ini, kita memuliakan penyair Unggun Bersih. Pendeta Gapena juga diludahi kerana kenyataan dangkal mereka ke atas perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) suatu masa dahulu.

Terserah mahu memihak yang mana? Jika hari ini kita boleh muliakan penyair Unggun Bersih, mencela Pendeta Gapena, agaknya mustahilkah penulis masa depan menilai sikap kita ke atas Bersih kini? Kalau kita boleh menilai penyair lama hari ini, apakah kita tidak akan tua untuk dihakimi penulis muda pada 40 tahun akan datang?

No comments: