Thursday, August 04, 2011

Penyair rakyat, pejuang jalanan wajib sertai Bersih!

Oleh H FANSURI

Saudara revolusioner yang dikasihi. Kisah ini berlaku pada tahun 1992 ketika saya berada di tingkatan 2 Maktab Mahmud. Wafdi adalah rakan di sebelah meja saya yang amat pendiam. Dia yang terlibat dengan gerakan dakwah itu kemudiannya terus meluru ke depan kelas ketika mendapat nota berhubung kejadian aneh di Kelang itu.

"Tahukah anda di Kelang baru-baru ini sudah ada keajaiban Tuhan? Kita semua patut merenungkan kejadian ini," kata beliau berceramah pidato. Semua rakan-rakan sekelas terdiam. Suasana yang riuh tadi bertukar sepi. Semua orang takjub. Bagaimana seorang pelajar yang terkenal pendiam, berwatak soleh dengan tiba-tiba boleh berceramah depan kelas? Sudah tentulah hal yang ingin disampaikannya itu adalah perkara besar juga.

Jika kita masih ingat, saat itu juga kisah objek-objek di langit Kelang mula heboh diperkatakan orang. Ratusan pelajar Kolej Islam Kelang (KIK) kemudian, dikenali sebagai Kisas adalah antara mereka yang dikatakan sebagai saksi kehadiran objek-objek di langit yang sentiasa berulang-ulang itu.

Antara yang tertayang di langit; objek wanita menangis dan yang ingin ditekankan di sini adalah - objek peta Malaysia terbalik dengan negara Singapura di atasnya. Walaupun ada pihak yang menafikan kejadian itu, tapi dengan tertimbusnya Pulau Batu Putih dan dengan 'hilang'nya Tg Pagar kepada pulau Republik Singapura, maka perkara 'aneh' itu tidak boleh dikesampingkan.

Kisah Tg Pagar dan semua tanah-tanah kita yang semakin mengecil ini adalah antara hal yang sepatutnya diperjuangkan dengan cara sasterawi setelah kita meyakini bahawa jalan-jalan politik kepartian sudah tidak boleh diharapkan lagi.

Untung benar Pak Samad Said sudah menunjukkan contoh teladan yang baik kepada kita generasi muda dalam tempoh penggulingan Najib Razak apabila perhimpunan aman anjuran Bersih akan tampil bulan ini. Pak Samad sudah membuktikan kepada kita tentang suatu hal, iaitu betapalah kuasa sakti puisi itu adalah antara yang terhebat pada zaman mutakhir ini.

Inilah hakikat pahit yang terpaksa kita telan. Negara Malaysia ini sudah semakin mengecil oleh penindasan yang ditimbulkan republik Freemason yang berpusat kekuasaannya di Singapura. Tiada jalan lain lagi. Kuasa politik kepartian telah korup! Dan Bersih perlu digerakkan oleh jagoan penyair jalanan.

Sekolah Pemikiran Pulau Besar, Melaka | 10:56 p.m, 4 Julai, 2011

No comments: