Friday, August 12, 2011

Kisah Pak Samad dan revolusioner Bersih 2.0 dihalang penderhaka Najib Razak

Oleh H FANSURI

Salam revolusi revolusioner Bersih 2.0 yang terhormat. Seorang rakan menitip sajak Muhammad Haji Salleh di Facebook, bertarikh 25 Mei 1983. Di sini, dilampirkan sajak itu dengan suntingan:-

BULAN LUNTUR

"...yang licik jadi ketua,
yang kejam jadi hakim,
pemuji dipangkatkan tinggi,
pemikir diawas-awasi.

sarjana dipencilkan ke bilik,
si rajin dituduh bercita-cita,
si malas merancang kuasa.

gelap dunia ini
rimba subur
membeli sopan dan seni
kudengar ketawa besar
dari daerah peniaga
dan terkelip senyum
pada sekutunya yang bertakhta.

tiada lukisan, tiada puisi.
lagu telah tenggelam di bawah arahan,
penari dirogol oleh pengurusnya..."


Sajak yang telah dipenggal-penggal itu, bait-bait isinya menceritakan kejadian yang terjadi mutakhir ini. Yang licik jadi ketua, si kejam jadi hakim, pemuji dipangkatkan tinggi dan pemikir kerap diawasi.

Kalakian pada 9 Julai lalu, sasterawan negara Dato' A Samad Said menyerahkan memo Bersih 2.0 ke istana setelah perhimpunan di stadium yang asalnya 'diperkenankan' sang penderhaka Najib Razak telah gagal.

Pergelutan lidah dan pertarungan fikiran berlaku ketika laluan menuju ke Istana Negara itu disekat! Dua pegawai polis itu bersuara garang, "Kami dapat arahan agar anda semua bersurai!" kata kedua-dua pegawai itu, tanpa menjelaskan arahan dari siapa. Unit FRU dengan belantan sudah berbaris untuk berdepan dengan kemungkinan yang ada.

Pak Samad tampil menjelaskan bahawa, pihak istana telah pun bersetuju. Jadi, tambah beliau, atas alasan apa pula pertemuan Bersih 2.0 dengan Agong itu disekat polis? 
Presiden Teras Pengupayaan Melayu Mohd Azmi Abdul Hamid mencelah, "Jika memo ini diserah kepada polis lalu anda beri ke istana?" Tiada jawapan. Polis mungkin tidak pernah terduga tentang permintaan itu.

Setelah melihat polis berkeras, menutup segala pintu rundingan yang cuba diketuk, Pak Samad memajukan soalan, "Jika kami tidak dibenar masuk istana, bagaimana kalau kami serah memorandum Bersih 2.0 ini dan tolong serahkan kepada istana?"

"Oh, itu juga kami tidak boleh lakukan," kata polis itu.

"Habis tu macam mana?" nada Pak Samad sedikit 'mengeras'. Hati tuanya terluka oleh sikap polis yang bertindak tanpa didorong kewarasan. 
Hidung dan mata tuanya sudah dimesrakan dengan bau bom gas pemedih mata, tapi oleh sikap polis yang satu ini, dia jadi kecewa. Air, wap pedih polis itu memang tidak boleh dirunding lagi. Ia menyerang bukan dengan kehendaknya. Fitrah sudah begitu. Tapi, polis yang ada hati dan perasaan ini tidak boleh langsung diajak runding bicara.

Drama itu akhirnya berakhir dengan 'kemenangan' di pihak polis. Mana ada kudrat orang awam terdaya melawan belantan FRU termasuk senapang yang memuntahkan peluru! Terhadap peristiwa ini, kita teringat Mogok Utusan 1961 ketika Said Zahari menjadi Ketua Pengarang Utusan dan Usman Awang menjadi wartawannya. Mereka berjuang dengan segenap upaya tenaga bagi melawan pengaruh Umno di dalamnya.

Usman mengubah sajak, Said mengguna saluran kesatuan sekerja. Mereka sedar bahawa pengaruh parti (khasnya Umno dalam hal ini) tidak wajar dibiar ke dalam Utusan.

Usman, Said termasuk A Samad Ismail adalah pendiri dan tonggak Pena. Mereka ada sejarah menolak Umno. Mogok Utusan itu bukti bahawa mereka ini pernah berjuang menolak penjajahan Umno di Utusan.

Ditakdirkan Tuhan, pengaruh Umno menyusup juga. Mereka menyekat, tapi Umno lolos bagai garuda melanggar kota purba dalam hikayat Melayu lama. Hari ini semangat awal Pena itu masih diwarisi Pak Samad ketika beliau gigih melawan Umno, polis yang menyekat kemaraan Bersih 2.0 ke istana. Pak Samad dalam watak tua renta itu masih menitip pesan budiman...

"Masa depan negara  kita terletak pada orang muda. Orang muda sahaja yang layak mengubah. Setiap orang muda harus fikir bagaimana untuk membantu membentukkan kerajaan yang baru," pesan beliau diikuti gemaan takbir.

Hati tuanya menderu memanggil menyeru tunas baru dalam kalangan anak muda untuk membina kerajaan baharu. Kepada pengarang muda, tepuk dahi dan bertanyalah kepada akal kepala.

No comments: