Wednesday, August 10, 2011

Najib Razak berang, polis sedia juadah cuma sandiwara

Oleh H FANSURI

Najib Razak tentu berang dengan peristiwa 9 Julai lalu. Beliau malah bertanya kepada hadirin di dalam suatu pertemuan dengan ahli-ahli Umno baru-baru ini berhubung cara membalas kembali perbuatan revolusioner itu.

"Bagaimanakah cara kita mahu berdepan dengan orang yang sudah terlibat dengan perhimpunan ini?" tanya beliau lagi. Sebetulnya, Najib Razak berang sebab syor beliau, iaitu perhimpunan itu perlu dibuat di stadium, rupa-rupanya sudah direstui istana dan pendokong Bersih 2.0 kebetulan bersetuju pula.

Sikap penyokong Bersih 2.0 bersetuju dengan demonstrasi ini, sungguh tidak dijangka Najib Razak. Dia menduga bahawa mereka akan menolak saranan beliau itu. Lalu, kalau penyokong Bersih 2.0 menolak syor agar perhimpunan itu dibuat dalam stadium, maka sandiwara kedua boleh diapikan lagi – bahawa kerajaan sudah pun minta demonstran berhimpun di stadium, tapi ternyata demonstran itu berdegil.

Tetapi, istana merestui permohonan Bersih 2.0 dan tiba-tiba penyokong badan itu pula sudah bersedia berhimpun di stadium. Bayangkan bagaimana Najib Razak tidak gelabah? Beliau tentu sahaja berpeluh kerana sandiwara beliau ini tidak menuai sebarang hasil.

Najib ingin tunjukkan bahawa beliau rasional, beliau mahu mewarnakan dirinya sebagai PM yang amat bertimbang rasa, merestui hajat kita semua dengan menyediakan stadium sebagai tempat berhimpun. Walhal, hakikat sebenarnya beliau tidak pernah bersetuju pun walaupun kita semua berhimpun dalam stadium itu. Lidahnya berbicara hal lain dan hatinya menggelungsur ke arah lain pula.

Ini bermaksud, Najib Razak sebenarnya menipu 28 juta rakyat dengan menyatakan bahawa dia setuju rakyat berhimpun di dalam stadium tersebut. Sikap mulut cakap lain sedangkan hati di dalam lain pula bicaranya ini dikatakan lidah bercabang. Maruahnya jatuh selepas polis tetap mengganggu himpunan.

Jika tidak percaya, cuba berhimpun sekali lagi dalam episod Bersih 3.0. Di sana, kita semua akan sedar bahawa Najib Razak tidak menyarankan perhimpunan apa-apa dan tidak mengizinkan perhimpunan di mana-mana. Ini kerana, beliau sudah belajar sesuatu daripada kesilapannya baru-baru ini.

Najib bagaimanapun cuba memulihkan dan membina reputasi baru. Di akhbar baru-baru ini, tertayang kisah peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang ditahan dengan makanan yang menyelerakan. Kesemua ini untuk membersihkan kembali imej reputasi polis yang sedia tercalar lama sebelum ini.

Gambar ini sengaja disiar di laman depan akhbar pada sehari selepas kejadian. Hal polis beri makanan percuma, melayan baik peserta himpunan itu turut jua dipautkan dengan hebahan bahawa RM40 ribu wang dihanguskan dengan peruntukan itu. Sekitar 1,000 lebih peserta yang ditahan dengan RM40 ribu kos makanan yang disediakan ini adalah gambaran kelam bagi menenggelamkan imej bersih kita.

Inilah semua deretan peristiwa atau fenomena yang baru muncul tiba. Kita namakan ini semua adalah pasca Bersih 2.0, iaitu satu keadaan di mana kerajaan ini akan berterusan menggambarkan 'kebejatan' kita semua kepada 28 juta rakyat kita. Imej polis akan sentiasa baik kerana menjaga keamanan negara, walaupun ada peserta Bersih 2.0 meninggal dunia akibat sesak nafas sebab terhidu gas pemedih mata.

Ini semua adalah gejala gelap yang terpaksa kita semua tempuh selepas Bersih 2.0 berlalu. Tetapi, kita tetap boleh tampil menjelaskan kepada rakyat bertalu-talu bahawa perjuangan ini adalah perjuangan rakyat yang dibuat secara terhormat dan direstui oleh pihak istana pula.

Yang paling malang dan terhina tentu sahaja Ibrahim Ali yang tidak mahu ditemui oleh istana sebelum ini. Hal pemulauan istana terhadap Ibrahim ini tentu sahaja akan disembunyikan oleh akhbar perdana.

Dan, mengenangkan ini semua, maka Najib Razak terus memancing perhatian memukat sokongan dari seluruh Melayu. Setelah beliau bertanya, apakah yang perlu dilakukan ke atas peserta demonstrasi itu, maka dengan bodohnya Umno mengampu beliau dengan menyeru agar kita disumbat ke dalam ISA.

"ISA! ISA!" jerit pekik laungan hadirin mula bergema. Di sini, Najib Razak cuba juga menunjukkan sikap hemahnya. Lalu, Najib Razak pun cuba untuk berkata tidak terhadap saranan hadirin Umno berhubung penahanan ISA ke atas semua penyokong Bersih 2.0 itu.

“Tidak, bukanlah begitu,” kata Najib dengan sedikit lembut. “Walau rasa hati di dalam tu ada juga (nak menahan para penyokong Bersih 2.0 itu ke dalam ISA.)”

“Cara kita sebenarnya adalah dengan bersatu sesama Melayu!” suaranya gementar berombak, isyarat bahawa Najib sebenarnya gentar terhadap kebangkitan umat. Dia sedar, rakyat sedang memerhatinya. Jadi, Najib perlu tunjukkan sesuatu agar dia kelihatan kuat.

Jika ditanya, apakah antara bukti bahawa Najib Razak tidak pernah jujur dengan kita? Maka saya kata, jika orang mempelawa anda makan, tiba-tiba diungkit semula belanja makanan, maka di situlah letak duduk penilaiannya. Itulah ketidakjujuran Najib, walhal peruntukan makanan itu pun datang dari duit rakyat juga. Najib Razak cuma khadam umat. Rosmah pula isteri khadam, tidak lebih daripada itu!

No comments: