Oleh H FANSURI
Setelah disebutkan bahawa tidak semestinya karya yang tersiar itu bagus, maka jangan pula saudara tersinggung hati. Ini kerana, kenyataan itu bukanlah berniat merendah-rendahkan mutu karya yang disiarkan di ruangan ini.
Setelah disebutkan bahawa tidak semestinya karya yang tersiar itu bagus, maka jangan pula saudara tersinggung hati. Ini kerana, kenyataan itu bukanlah berniat merendah-rendahkan mutu karya yang disiarkan di ruangan ini.
Pernyataan ini cuma ingatan tulus ikhlas bahawa karya yang disiar itu sebetulnya berniat - (1) meraikan kehadiran karya kumpulan penulis muda yang baharu berjinak menulis; (2) melatih penulis menggilap cerpen, sajak dari semasa ke semasa. Pun begitu, ruangan ini tidak meminggirkan karya-karya penulis yang mapan dan berpengalaman.
Jadi, cerpen sebelum ini, (tanpa merujuk mana-mana judul) ada juga ditegur orang. Katanya, ia menunjukkan seolah-olah, ustaz-ustaz ini mundur fikiran. Penegur itu menelefon seorang penyunting di sini dan teguran tersebut disampaikannya kepada saya.
"Kalau cerpen itu terbit di akhbar lain, atau cerita itu terbit di dalam drama tv, kita pun faham, tapi kalau tersiar di akhbar ini, hairan sikit," kata pembaca itu lebih kurang. Pertamanya, terima kasih kerana sudi membaca dan membuat teguran. Ini menunjukkan bahawa ruangan ini ada peminatnya tersendiri.
Maka, sedikit sebanyak terhapus satu faham purba yang menyatakan bahawa, orang PAS tidak meminati sastera. {Mungkin ahli parti berminat, tapi yang pimpinan parti itu juga yang diperselisihkan orang, apakah mereka minat sastera atau tidak. Saya sebut begini kerana ada beberapa ruangan yang belum meraikan semua ragam fikiran orang, akibatnya fikiran pun menjadi sehala sahaja, dan bukan dua hala dalam bentuk dialog dan perbincangan.}
Apa-pun, saya tak dapat pertahankan cerpen itu kerana bukan saya penulis asalnya. Hendaknya pengarang asal cerpen itu sendiri yang menceritakannya kerana semua idea terhimpun dan terkumpul dalam alam fikirnya ketika dia sedang berkarya. Saya tidak tahu apakah kisah yang tersiar itu kejadian benar atau rekaan semata-mata. Di pihak saya, hanya yang dapat ditulis di sini ialah ruangan ini cuma menyiarkan apa-apa sahaja yang diterimanya.
Segala ulasan serta teguran itu, terserahlah kepada pembaca. Kalau ditanya, atas alasan apa cerpen dan sajak itu disiarkan, maka saya kata, ini ruangan terbuka. Cuma kisah yang tiada sangkutan dengan paparan seksual, erotik yang mengundang keghairahan syahwat akan disiarkan. Cuma itulah pantang-larangnya selagi mana ruangan ini saya kendalikan.
{Ada teman-teman yang bertanya mengenai sajak yang kelihatan 'lucah', tetapi disiar juga. Maka, jawapan awal yang saya berikan adalah sajak tersebut sebenarnya menyerlahkan luahan rasa protes terhadap gejala lucah itu sendiri. Contohnya akan ditunjukkan jika ada masa terluang pada lain waktu.}
Selain itu di sana ada cerpen yang memuatkan kisah remaja, cinta tiga segi, kisah kasih suami isteri yang menyebabkan saya dilema pula untuk dihidang sebagai santapan fikir. Begitu hati berperang, terkadang mahu ruangan ini diberi juga sekali-sekala kepada orang baharu, tapi ada juga permintaan pihak lain yang menyatakan bahawa - adalah lebih baik jika ruangan ini diberi kepada cerpenis, sajak sang penyair yang sudah pun lama menempa nama.
Arakian, dalam gejala kecamuk pendirian dan fikiran yang sentiasa berkembang bergolak dalam wilayah sengketa perang ini, terhidanglah segala perkara yang hadir kepada anda selama ini. Teruskan menegur di samping bersama-sama memusat perhatian, bersatu menuju matlamat semua kita; mengguling PM dan mengusir isterinya dari tanah air tercinta lewat karya-karya anda.
No comments:
Post a Comment