Monday, November 14, 2011

Wayang pacak filem Khurafat di Kg Baru, kempen baru Umno?

Oleh RUHI HAYATI THANI

Sejak pemergian ahli Parlimen PAS Titiwangsa Dr Lo' Lo Ghazali, maka bermacam-macam lagi plot yang sedang disusun rangka oleh BN Titiwangsa untuk merampas tanah di Kg Baru. 
Terbaru, ada suatu bujukan rayu paling halus dengan mengadakan wayang pacak yang menawarkan filem Khurafat, lakonan Shamsul Yusof dan Liyana Jasmay. Adakah sampai terpaksa memainkan cerita hantu untuk menarik sokongan rakyat terhadap mereka?

Kebimbangan BN Titiwangsa itu berasas juga. Ini kerana, tanggal 10 Oktober lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sudah membuat suatu rapat umum mengenai usaha menyelamatkan Kg Baru. Jadi, usaha di pihak Umno dan BN Titiwangsa itu perlu ada juga. Tapi, kali ini mereka tusukkan jarumnya lewat kaedah hiburan. Jika kita ada kaedah hiburan seperti Malam Puisi Kg Baru, mungkin hal ini pun boleh menarik perhatian penduduk Kg Baru itu juga.

Tak apalah. Itu kaedah BN Titiwangsa mahu mencari sokongan rakyat Kg Baru untuk menjual tanah-tanah mereka itu. Tetapi, kita kena bangkitkan soalan lain pula. Iaitu, kenapakah pengisian BN Titiwangsa itu dilaksanakan sehingga terpaksa menghidangkan filem-filem seram pula. Tiadakah filem bermutu?

Nampaknya, bebanan tugas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lebih mencabar. Sedang beliau mengecam penayangan filem seram yang begitu berleluasa di negara kita pada hari ini, ternyata masih ramai ahli Umno yang masih setia serta berdegil menayangkan genre filem seram berunsur tahyul, khurafat tanpa rasa malu dan segan. Mereka tayangkan filem itu tanpa ditekan oleh rasa bersalah apa-apa pun.

Pada Jumaat pagi ketika melalui sekitar Masjid Jamek Kg Baru, saya ternampak kain rentang yang menyiarkan iklan mengenai penayangan filem tersebut pada 15 Oktober. Agak aneh pula apabila memikirkan bagaimana sebuah filem seram, filem hantu boleh pula diangkat kain rentangnya di depan masjid?

Ia sesungguhnya, satu pemandangan yang sangat ganjil kerana mewakili dua jalur faham yang bertentangan. Masjid adalah lambang dakwah sedangkan filem itu bercerita mengenai amalan sihir dan pemujaan syaitan.

Menurut iklan tersebut, acara wayang pacak yang menyiarkan filem Khurafat itu akan diadakan berdekatan Pasar Minggu, Kg Baru. Di samping itu, pihak penganjurnya BN Titiwangsa dan Pakar akan membuat cabutan bertuah kepada sesiapa sahaja yang menghadirinya.

Saya berpendapat, dalam hal ini, sejarah Kg Baru ini mesti difahami betul-betul dengan jelas oleh setiap orang yang mendakwa dirinya orang Melayu. Kg Baru adalah tempat di mana badan dakwah Islami, parti berhaluan kiri Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), PAS menempatkan para pejuangnya.
Ia juga menjadi tempat di mana Umno lahir. Oleh sebab itu, semua pihak mestilah menghormati Kg Baru ini dengan tidak memasukkan unsur-unsur yang merosakkan keperibadian fikrah Melayu sekali gus perkara-perkara yang mencalarkan pembawaan gambaran menyeluruh; tasawwur Islami.

Kalau dikaji susur-galur asal-usulnya, wayang pacak ini berperanan pada era darurat dulu saat televisyen belum wujud. Kempen-kempen termasuk usaha menyampaikan maklumat awam kerajaan amat terbatas saat itu. Oleh itu Jabatan Penerangan Awam menjadikan wayang pacak ini sebagai alat sebaran awam.

Tetapi, kini peranannya telah berbeza. Wayang pacak menyiarkan filem yang tidak membina fikiran rakyat, apatah lagi ia ditayang selepas rakyat sedang menuntut agar siaran filem seram dihentikan atau dikurangi.

Dalam dunia yang kini telah berkecamuk fikiran berganda, maka kita perlukan Bedah Filem Negara. Rakyat perlu ini semua supaya dialog dua hala antara pembikin filem dengan para penonton itu wujud. Penerbit mesti mengetahui akan jenis filem yang rakyat ingini. Bedah Filem boleh dibuat secara terbuka beramai-ramai di mana-mana sahaja selepas tayangan percuma filem tersebut dijalankan. Kemudian, penganjur bolehlah mengambil pendapat semua.

Filem Khurafat yang mahu disiarkan di Kg Baru itu bukanlah mengirim mesej peringatan apa-apa pun. Ia hanya menghidangkan cerita seorang lelaki yang telah menjalankan ilmu sihir guna-guna ke atas seorang gadis liar. Kemudian dia insaf lalu bertaubat. Itu sahaja.

Maka, jika penganjur BN Titiwangsa itu berhujah bahawa filem seram itu meletakkan ayat Al-Quran sebagai isyarat bahawa ia filem dakwah, maka hujah itu masih boleh dibantah. Cara bentuk penghujahan sebegitu, saya kira tidak sesuai langsung untuk diangkat sebagai hujah.

Ini kerana penerbit filem seperti David Teoh sudah pun membuat filem-filem bergenre seram. Filem terbitannya ada juga dikepil nas-nas al-Quran. Soalan yang boleh diapungkan kepada BN Titiwangsa, adakah pihak penerbit filem seram itu boleh diangkat sebagai pendakwah lewat filem terbitannya?

Sesekali tidak. Ayat-ayat Al-Quran yang tersiar dalam filem itu dijaja dengan niat dagangan. Ia setara dengan kedudukan para pelarian Rohingya Kg Baru yang menjual ayat-ayat Al-Quran di gerai-gerai makanan saban malam.

Jadi, sekali lagi kita bertanya kepada BN Titiwangsa, kenapa tidak ditayang filem 1957 Hati Malaya dalam program wayang pacak itu? Bukankah filem ini juga menunjukkan jiwa patriotik, menonjolkan keperibadian Umno, sesuai dengan latar filem itu yang menceritakan latar peristiwa bersejarah di Kg Baru.

No comments: