Thursday, November 17, 2011

Bajet 2012 tajaan Najib Razak dihasut kapitalis?

Oleh BOESTAMAM SARI

Belanjawan yang dibentang Perdana Menteri Najib Razak dan dasar kerajaan hari ini banyak menyekat kenaikan pangkat. Had persaraan umur dinaikkan. Maka, bertambahlah 'peluang' menganggur. 

Sesetengah pelajar akan mengambil langkah bergelut di dunia politik kepartian, supaya mereka akan mudah mendapat pekerjaan mengikut saluran politik kepartian tersebut.

Tetapi, langkah ini amat merbahaya. Misalnya, apa akan terjadi jika kerajaan parti A atau kerajaan parti B itu kalah? Maka kerja sebagai kontraktor sekali pun tidak menjamin kedudukan mereka akan berhasil baik.

Umpamanya di Selangor, kita dapati berderetan kontraktor kapitalis Umno yang akhirnya sulit mendapatkan projek. Tapi, yang tersiar di berita itu adalah kenyataan Muhyiddin bahawa, kononnya ramai rakyat Selangor kini hidup tertekan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor.

Tetapi, yang dikatakan rakyat oleh Muhyiddin itu sebenarnya adalah kapitalis kontraktor Umno, para peniaga perasuah dan golongan pelobi yang selama ini mendapat permaidani merah daripada kerajaan Umno-BN. Mereka inilah yang sedang sesak nafas kerana kerajaan Pakatan Rakyat kini tidak memberi peluang kepada mereka setelah mereka lama mengaut untung berganda pada zaman Khir Toyo sebelum ini.

Itu cerita risiko yang terpaksa diambil oleh siswa universiti atau sesiapa sahaja yang ingin mencari pekerjaan dengan menyandarkan pergantungan serta harapan kepada politik kepartian. Jadi, cara selamat ialah bekerja sendiri. Tapi, itu tetap saja tidak menjawab persoalan pelajar yang mahu bekerja dalam sektor kerajaan. Persoalan mereka adalah - kenapa mahu dilanjutkan usia persaraan itu? Atas alasan apa?

Hal ini mungkin akan difikirkan semula oleh Najib Razak. Dia boleh batalkan usul orang bawahannya dalam kerajaan, iaitu melanjutkan usia persaraan ini pada bila-bila pun atas alasan ingin mendapatkan undi rakyat. Tidak bolehkah usia persaraan ditetap terus? Berilah hak dan masa agar pekerja kerajaan itu 'bekerja' untuk menggembirakan keluarga mereka pula.

Polemik berhubung usia persaraan ini bermula dengan syor Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Azlan Zainol. Kata beliau, umur bersara yang baharu itu akan diumumkan di dalam Bajet 2012. Berikutan itu, ramai yang tuduh KWSP memiliki kepentingan sendiri, lalu mempersoal kewibawaan badan itu yang tidak mengurus dana pencarum secara baik melalui pemberian dividen yang tinggi. Dibanding institusi lain, KWSP didakwa mendapat keuntungan besar juga.

Jadi sebab itu timbul rungutan tentang hal menaikkan usia persaraan itu. Ada yang berkata, walau alasan KWSP itu munasabah, tapi ia masih menambah masalah pengangguran hari ini. Melanjutkan umur bersara hingga 58 tahun - 60 tahun adalah hal yang tidak manis. Jika mahu lanjut kadar umur bersara, mulakan dengan umur 56 tahun dan selesaikan masalah pengangguran. Demikian menurut sesetengah pihak.

Sebenarnya, kebanyakan golongan termasuk sektor swasta dan awam membantah syor melanjutkan umur persaraan pekerja itu. Mereka isytihar bahawa usia 55 tahun itu sudah baik sebenarnya. Desas-desus mahu menaikkan kadar umur persaraan ini kemudiannya menjalar kepada andaian lain pula.

Ada kalangan rakyat yang menyifatkan syor itu (jika terlaksana) akan menyekat peluang kenaikan pangkat, selain meningkatkan kadar pengangguran, ia juga menaikkan masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat. Selain itu yang amat merbahaya, telah ada sangka buruk yang memandang KWSP (badan amanah yang menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum) itu sebenarnya tidak memiliki wang lagi dan punya agenda terlindung.

Kenaikan kadar usia persaraan dilihat mengundang banyak kesan buruk ke atas ekonomi berikutan produktiviti tenaga buruh lanjut usia semakin menurun manakala kerajaan dan pembayar cukai pula terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi. Adalah lebih baik, kembalikan keadaan biasa iaitu mereka meluang usia tua dengan keluarga, memberi panduan dan nasihat kepada setiap ahli keluarga dan memperbaiki ibadat harian.

Najib Razak akan menurut beberapa syor yang menguntungkan kerajaan tentunya. Jadi, jikalau syor untuk gubal akta yang terkait dengan usia bersara itu tidak diteliti semula, maka ia pasti mengundang kesan padah dan memberi kesan parah dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang ini.

Semua hal ini sepatutnya membuatkan kita berfikir keadaan yang amat parah mutakhir ini iaitu kerajaan Umno BN hari ini akan lebih banyak merumuskan dasar demi kepentingan kapitalis. Belanjawan 2012 itu dirumus khusus setelah Najib Razak melayani kehendak golongan berkepentingan di dalam KWSP, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan lain-lain lagi.

Golongan kapitalis inilah yang menyokong usul tersebut yang kemudiannya akan menjejaskan peluang golongan muda bagi mendapat peluang kerja atau pun menutup kenaikan pangkat.

Jadi, apalah ertinya kehidupan berijazah bagi anak-anak muda itu, ada ijazah tapi tidak dapat peluang kerja. Sampai bila-bila pun, Najib Razak jangan ikut sangat desakan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu had umur persaraan itu dinaikkan kerana ia membabitkan periuk nasi belia di negara kita.

Melainkan Najib Razak membuat perkara itu selepas beliau benar-benar bersedia menanggung risiko akan kehilangan undi anak muda dalam pilihan raya ke-13 nanti.

No comments: