Sunday, December 18, 2011

PPSMI tetap jenayah walau UPSR kita terbaik tahun ini

Oleh RUHI HAYATI THANI

Apabila akhbar melaporkan bahawa pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN), maka ada banyak tafsiran dan rumusan yang boleh kita sebutkan di sini.

Pertama, adakah kita hendak beritahu kepada rakyat bahawa PPSMI yang dilaksana sebelum ni, tidak menimbulkan masalah apa-apa pun? Lazimnya hal fakta kehebatan seperti inilah yang akan didahului serta kemudiannya isu PPSMI pula yang dikaitkan dengan UPSR, PMR dan peperiksaan lain.

Akhbar boleh mencatatkan laporan dan fakta terbaik seperti tahun-tahun sebelumnya. Misalnya menurut Ketua Pengarah Pelajaran Abd Ghafar Mahmud, seramai 46,012 calon mencatat keputusan cemerlang mendapat semua A. (Tapi jumlah ini mengalami penurunan juga dibanding tahun lepas iaitu 48,327 calon yang meraih semua A).

"Peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap pencapaian minimum semua D atau E atau kombinasi kedua-duanya, menurun sebanyak 0.51 peratus iaitu daripada 3.39 peratus kepada 2.88 peratus tahun ini," katanya. Antara lain, beliau turut menyentuh peningkatan pencapaian calon luar bandar yang dikatakan lebih tinggi dibanding calon bandar, sebanyak 1.21 peratus.

Pada tahun ini, Abd. Ghafar berkata, peratusan calon yang mendapat semua mata pelajaran di bawah tahap penguasaan minimum berjaya dikurangkan terutamanya di luar bandar dengan pengurangan sebanyak 0.68 peratus berbanding di bandar sebanyak 0.38 peratus.

Semua catatan berhubung laporan fakta ini menggambarkan seolah-olah para penjawat awam, pegawai kerajaan di peringkat kementerian hanya menitik beratkan persoalan akliah semata-mata, sedangkan sistem pembelajaran ini merumuskan bahawa pelajar-pelajar yang kita inginkan adalah pelajar yang bermutu berdasarkan JERI - Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual.

Adakah UPSR yang dikatakan terbaik itu merekod pertumbuhan jasmani? Adakah sijil UPSR merekod kedudukan emosi dan rohani? Bagaimana UPSR mahu mengukur kedudukan kejiwaan rohani seseorang murid? Yang pasti, UPSR yang dikatakan terbaik itu cuma menyukat tahap intelektual sahaja.

Sebenarnya, masyarakat sudah tidak pedulikan
lagi persoalan hubungkait UPSR dengan kemajuan rohani murid-murid melainkan segelintir sahaja dalam kalangan mereka. Ini kesilapan awal yang jarang disedari ibu bapa, guru dan masyarakat semua.

Bagaimanapun, eloklah kita meninjau persoalan UPSR dan lain-lain sijil peperiksaan ini dengan persoalan PPSMI juga. Sehingga catatan ini ditulis, masih ada lagi sekolah-sekolah di Malaysia yang tetap mengguna bahasa Inggeris dalam penyampaian ilmu Matematik dan Sains.

Setidak-tidaknya hal ini membuktikan bahawa ada ibu bapa dan guru-guru yang masih tidak fasih dengan satu hal. Iaitu mereka belum sedar bahawa PPSMI secara jelas melanggar undang-undang negara. Atau, dengan kata lain, undang-undang negara menegaskan bahawa hal meletakkan bahasa bukan Melayu, bahasa bukan ibunda adalah dosa di sisi undang-undang di negara ini.

Kalau tidak, mana mungkin badan penulis seperti Gapena membuat aduan laporan polis sebelum ini ke atas Hishammuddin Hussein (sepupu Perdana Menteri 'Haji' Najib Razak) ke muka pengadilan. Hal seperti ini yang mesti diterangkan dan diperjelas berulangkali ke atas para guru dan ibu bapa di negara ini. Persetujuan menggunakan buku teks acuan PPSMI untuk UPSR, PMR, SPM ini bermaksud masih hadir 'persekongkolan' antara guru-guru dan ibu bapa dengan jenayah PPSMI secara tidak disedari ramai pihak.

Kita seharusnya turun ke sekolah-sekolah untuk membangunkan kesedaran bahawa segala jenis peperiksaan yang masih mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris itu adalah pekerjaan batil. Segala surat-menyurat mestilah dihantar ke sekolah-sekolah agar dipulau segala buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu.

Mungkin akan ada selepas ini, sekumpulan manusia Page yang menyeru supaya PPSMI itu dikekalkan dan segala buku teks dalam acuan PPSMI itu tidak dibatalkan. Hujah mereka mudah sekali.

Merujuk keadaan sekarang, tentulah sahaja kelompok ini akan berhujah bahawa pencapaian terbaik di dalam UPSR baru-baru ini telah membuktikan bahawa pelajaran Sains dan Matematik itu tiada masalahnya jika diajar dalam bahasa Inggeris sekali pun.

No comments: