Oleh BOESTAMAM SARI
Sunnah adalah sesuatu yang mewakili sikap dan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. Ada banyak tafsiran lain mengenai sunnah ini yang terlalu luas untuk kita bicarakan di sini. Untuk tidak membuang waktu yang banyak, maka marilah kita berbincang mengenai Sunnah Pemerintahan Rasulullah s.a.w.
Yang diertikan dengan sunnah pemerintahan ini tidaklah seperti cara nabi berpakaian, makan minum serta tidur seperti yang selalu kita dengar di dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah agama yang biasa. 'Sunnah Pemerintahan' ini terkait dengan beban permasalahan mentakrifkan cara-gaya tadbiran negara dan kepemimpinan ala Rasulullah s.a.w.
Kalangan kita, mungkin sudah terbiasa dengan hadis seperti yang disebutkan di bawah ini:-
Daripada 'Amr bin 'Auf bin Zaid al-Muzani r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, "Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun."
Maka, hadis yang seperti ini, mungkin terkait dengan tatacara kehidupan baginda Nabi s.a.w seperti perlakuan tidurnya, makannya dan sikapnya bertutur di depan khalayak atau hal-hal yang sifatnya bukan terkait dengan pemerintahan negara.
Jadi apakah dalil yang menunjukkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w itu telah meninggalkan sunnah-sunnahnya dalam pemerintahan negara? Maka hal seperti ini bolehlah dirujuk seperti di bawah ini.
"Maka, berpeganglah dengan sunnahku (sunnah pemerintahan Rasulullah s.a.w) dan sunnah (sunnah pemerintahan) Khulafa' Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin. Berpeganglah dengannya (sunnah pemerintahan) dan gigitlah ia dengan gigi geraham.
"Jauhilah kamu daripada perkara-perkara yang diadakan-adakan (dalam agama dan pemerintahan), kerana setiap yang diada-adakan di dalam agama itu adalah Bid'ah dan setiap yang Bid'ah itu sesat."
(Sunan Abu Daud)
Maka, inilah hadis yang mengisyaratkan kewajipan berpegang kepada 'sunnah pemerintahan negara' yang ditaja oleh baginda Rasulullah s.a.w termasuk 'sunnah pemerintahan' para sahabat baginda yang benar-benar menghidupkan pemerintahan berteraskan semangat Islam warisan Rasulullah s.a.w itu.
Antara sahabat yang terkenal sebagai Khulafa' Ar-Rasyidin itu adalah Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar Al-Khattab r.a, Saidina Uthman Al-Affan r.a dan Saidina 'Ali k.w. Termasuk dalam Khulafa' Ar-Rasyidin selepas itu adalah Amirul Mu'minin Khalifah 'Umar Abdul 'Aziz, iaitu keturunan Khalifah 'Umar r.a.
Adapun semangat pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w ini adalah keadilan dalam penghakiman dan edaran pengagihan wang terhadap rakyat mereka itu. Menurut riwayat sejarah, Saidina Ali dan Saidina Umar pernah mengagihkan gandum-gandum ke rumah-rumah janda dan balu setiap malam.
Dengan cara itu, mereka ini tidak pernah menyebabkan harta-harta terkumpul hanya kepada satu pihak sahaja. Tetapi, hal ini berlainan sekali dengan corak pemerintahan Najib Razak yang menyebabkan dana-dana awam telah terkumpul kepada kroni sahaja. Isu lembu 'Feedlot' NFC yang terkait dengan Shahrizat Jalil misalnya antara contoh yang mudah difahami di dalam hal ini.
Selain itu, kita dapat melihat bagaimana adilnya para sahabat dan Rasulullah s.a.w dalam mengadili penghakiman pada era pemerintahan mereka itu. Rasullah s.a.w pernah bersabda, "Jika Fatimah mencuri, nescaya aku memotong tangannya." Hal yang sama jelas dapat dilihat dalam kes Yahudi mencuri baju besi Saidina Ali, lalu hakim memberikan kemenangan kepada si Yahudi itu, lantaran hujah Saidina Ali tidak begitu kukuh.
Hakim itu memberi kemenangan kepada Yahudi walaupun Ali adalah khalifah negara. Ini bererti tiada campurtangan kerajaan eksekutif terhadap urusan penghakiman. Hal ini tentu sahaja terbalik kalau ditinjau dengan penghakiman pada zaman ini yang telah wujud campurtangan Najib Razak, Dr Mahathir khasnya yang melibatkan fitnah liwat, skandal seks video dan sebagainya.
Akhir kata, marilah kita melihat bagaimana kedudukan baginda Rasulullah s.a.w di sisi Tuhannya dan para malaikat. Firman Allah S.W.T, "Sesungguhnya Allah beserta para malaikatNya sentiasa bersalawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, ucapkanlah selawat dan salam ke atasnya." (33: 56)
Ternyata Tuhan sendiri menghebahkan dalam Al-Quran bahawa diri-Nya berserta para malaikat berselawat ke atas baginda. Tidak cukup dengan itu, Dia berfirman sebagai berikut, "Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." (Al-Ahzab: 21).
Maka, atas sebab itu, atas alasan apa lagi yang menyebabkan Najib Razak khasnya dan Umno umumnya enggan menuruti sunnah pemerintahan baginda dalam urusan pentadbiran negara kita pada hari ini?
Thursday, December 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment