Sunday, December 25, 2011

Hijrah daripada kekayaan pecah amanah kepada miskin bermaruah

Oleh H FANSURI

"...Cah tidak menyangka sama sekali petang itu dia menjadi seekor singa betina yang lapar. Pada matanya yang pudar itu menyala-nyala kilatan kebencian yang amat sangat. Memperkatakan tentang sawah seperti memperkatakan tentang maruahnya dan maruah seluruh pesawah kampung.

"Cah tidak tahu menyukat, sebanyak mana harga maruah mereka, tetapi dia dapat merasai bagaimana masa depan mereka begitu tercabar. Habibah di sisinya pasti merasainya..."
--- Azizi Abdullah, Harga Sebuah Maruah, halaman 25.

Cah, watak wanita tua di Kampung Kertau di Kerpan itu digambarkan memiliki dua anak lelaki; Sulaiman dan Hijrah. Sulaiman bergaji besardi kota serba indah dan menjalani kehidupan senang serta mementingkan diri. Sementara Hijrah itulah anaknya yang paling setia walaupun bodoh kalap. Banyak juga perkataan baharu yang kita boleh temui daripada novel arwah Azizi ini.

Yang paling penting, tema utama dalam novel ini ialah persoalan tanah sawah bendang mereka yang dikaitkan terus dengan rapi dan diadun dengan rapat pengertiannya kepada persoalan maruah. Tanah adalah maruah dan maruah itulah tanah mereka. Menodai tanah mereka itu bererti memperkosa maruah mereka. Di sinilah kelebihan Hijrah walaupun dia bodoh kalap dan miskin pula!

Tetapi, kemiskinan dan kebodohan Hijrah tidak membataskannya mengenali maruah itu apa sebenarnya. Inilah kisah yang diadun dengan ramuan sastera yang tinggi nilai pada zaman moden hari ini. Bagaimanakah kedudukan maruah pada zaman bahari dahulu?

Di dalam filem Musang Berjanggut, ketika persoalan diangkat di depan Sang Nila Utama, putera raja Pura Cendana berhubung pencarian calon isterinya, maka putera pun kembali mengangkat sembahnya kepada sang raja, seraya berkata,

"Adapun anak-anak gadis segala menteri itu tidak layak dijadikan isteri patik... Ini kerana, mereka bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata."

Sultan sudah tentu terkejut sebab inilah kalimat penghinaan ke atas kaum wanita di seluruh Pura Cendana. Baginda lantas bertanya dalam kemurkaan itu, "Tun Nila! Apakah bezanya antara perempuan dengan betina!?"

"Perempuan memelihara maruah, tapi betina menjualnya..." jawab Tun Nila kembali. Sudah tentu, hal yang sama boleh dipakai dalam menilai antara lelaki dan jantan. Maka, wanita dan betina atau lelaki dan jantan itu dibeza jarakkan oleh batas persempadanan nilai yang dinamakan sebagai 'maruah'.

Barangkali hal seperti inilah yang jarang-jarang ada dalam novel hari ini yang mengangkat tema persoalan seperti nilai, moral dan akhlak. Jangan-jangan sudah ketandusan novel sastera kita yang mengetuk pintu nurani kita untuk berfikir keras, lebih jauh mengenai hal nilai-nilai maruah? Mungkin, dorongan novel sastera sudah memahat kehendak tiap-tiap tunas muda di negara ini untuk bekerja hebat dan mencapai kemajuan dalam kehidupan mewah?

Novel-novel sudah banyak memperihalkan fiksyen sains atas tujuan dan matlamat mengejar kemajuan negara pada masa depan dalam sains, teknologi.

Semua ini memunculkan watak manusia yang ghairah mengaut keuntungan duniawi tanpa memikirkan lagi persoalan nilai, moral, akhlak dan maruah. Di sana-sini, akan lebih ramai watak pemimpin negara yang menjual maruahnya asalkan dapat cepat kaya. Lembu 'feedlot' adalah salah satu contoh bukti, bahawa kekayaan itu boleh diraih dengan menanggalkan pakaian maruah dan harga diri.

Di sinilah Umno perlu belajar mengenai makna Hijrah. Maka kebetulan pula watak wira dalam novel arwah Azizi ini bernama Hijrah juga. Sangatlah tepat jika pementasan teater revolusioner Harga Sebuah Maruah ini diperpanjangkan lagi ke setiap negeri di bawah naungan Pakatan Rakyat khasnya di Kedah itu.

Semoga Menteri Besar Kedah akan dapat mempertimbang syor ini dengan sewajarnya nanti. Begitulah harapan kami, sekalian warga revolusioner.

No comments: