Tuesday, December 27, 2011

Revolusi iktisad gandum Yusuf a.s dan perihal komoditi negara

Oleh ALI BUKHARI AMIR

"Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan." - [Surah Quraisy (106): 4]

"Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

"Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)." - [Surah Yusuf (12): 47 - 49]

Tercatatnya kisah Nabi Yusuf a.s dan diberi pengiktirafan Tuhan bahawa ia adalah kisah terbaik, maka itu bererti kita perlu mengambil pelajaran darinya. Kisah perjuangan Nabi Yusuf a.s itu, termuat dalam sebuah surah lengkap yang hanya menceritakan kisahnya sahaja. Sementara kisah nabi-nabi lainnya berserakan di seluruh surah-surah tertentu.

#############################

Salah satu revolusi yang dilakukan Nabi Yusuf a.s ke atas ekonomi Mesir purba ialah penyusunan semula pengurusan pertanian komoditi gandum. Hal ini dilakukan supaya rakyat Mesir tidak berdepan dengan penderitaan baru, iaitu kebuluran kerana tidak cukup sumber makanan.

Sementara itu, di sebuah gurun yang dahulunya padang tandus dan gersang, kini disuburkan dengan pelbagai tumbuhan yang memberi kehidupan insan baharu yang dinisbahkan nama mereka sebagai bangsa pedagang Quraisy.

Maka, kemakmuran ekonomi yang memungkinkan mereka hidup dengan segalanya bercukupan (bebas merdeka daripada kelaparan) dan membebaskan mereka dari ketakutan itu, adalah ekonomi yang bermuara daripada semangat pengabdian kepada Tuhan.

Tuhanlah yang bebaskan mereka daripada penyakit lapar dan memerdekakan mereka daripada ketakutan pedagang, peniaga, penguasa akibat tanaman tidak menjadi, memelihara mereka daripada diganggu perompak yang menyekat laluan perniagaan pasaran dan ancaman lanun yang menutup pasaran perdagangan di lautan.

Inilah dua ancaman yang menimpa dunia saat ini. Dan, ia seharusnya menginsafkan kita tentang kepentingan ekonomi yang semangatnya membebaskan insan daripada ancaman bahaya kelaparan (al-Ju') dan ketakutan (al-Khauf) melalui surah Quraisy itu.

EKONOMI PASARAN BEBAS MEMBUNUH KEMANUSIAAN

Di suatu sudut lain, kita menyedari bahawa dunia hari ini berdepan dengan kedudukan ekonomi yang memenatkan. David C Korten, Presiden, pengasas People-Centered Development Forum dalam buku Agenda for a New Economy - From Phantom Wealth to Real Wealth, memperihalkan bahawa kita bakal menghadapi masa depan yang amat menakutkan. Justeru, pada saat ini kita sedang menempuh jalan menuju jurang kehancuran diri (self-destruction). --- "We have good reason to fear for our future." (Korten D. C., 2009: 9 - 10).

Nampaknya, isyarat kejatuhan ekonomi dunia sudah disebutkan dengan beberapa petanda sehinggakan Korten sendiri menyimpulkan bahawa kita rakyat sedunia ini mempunyai alasan yang cuup kuat untuk menjadi takut apabila bertarung dengan masa depan kita sendiri. Kemelut ekonomi yang kacau dan kusut ini bakal menyebabkan manusia-manusia akan menjadi patah hati dalam mengharungi arus kehidupan hari ini dan masa depan.

Hal ini turut diakui Barbara Enrenreich di dalam The Suicide Solution. Beliau menyentuh perihal bunuh diri dalam kalangan warga tertindas sebagai salah suatu daripada langkah penyelesaian.

Katanya, "Gejala bunuh diri semakin mendapat sambutan sekarang lantaran hutang... di India, gejala itu mungkin adalah suatu hal biasa, sekitar 150,000 petani yang terbiar berhutang akhirnya tunduk menyerah kepada keadaan dengan membunuh diri sejak tahun 1997. Walau senapang sukar didapati di kawasan luar bandar India, namun para petani yang hidup terdesak itu sudah mengambil langkah dengan meminum racun perosak yang digunakan untuk tanaman mereka." (Heuvel, Katrina vanden, 2009: 207 - 209).

Nampaknya, pasaran bebas hari ini menyebabkan petani India atau mungkin petani-petani lain di dunia hidup dihimpit derita oleh sebab hutang mereka. Ekonomi yang menjurus kepada manfaat komoditi pertanian gandum secara berhemah gagasan Yusuf a.s tersebut nampaknya terpaksa berdepan dengan kemaraan pasaran bebas yang menakutkan mutakhir ini.

Bagaimanapun, di celah-celah tentangan masyarakat dunia terhadap kapitalis, maka di sana terbit juga sumbangan kemanusiaan oleh kapitalis itu yang tampil dengan jenama: CSR (Corporate Social Responsibility), Creative Capitalism, Philanthrocapitalism dan Social Business. Namun, semuanya berpusat dalam kerangka pemikiran dan jiwa kapitalisme yang melebihkan keuntungan dibanding persoalan tanggungjawab.

Sementara itu, pemenang Hadiah Nobel Joseph Stiglitz turut mengkritik pasaran bebas sebagai tempat yang tidak bertanggungjawab. Beliau menyatakan bahawa pasaran bebas adalah kawasan subur untuk menanam pelbagai benih gejala kecurangan.

Katanya, Ideologi pasaran bebas menjadi alasan kecurangan berwajah baru. 'Penswastaan' bererti, orang luar boleh membeli lombong, lapangan minyak di negara-negara membangun pada harga rendah. Ia juga bermakna mereka boleh meraih keuntungan besar daripada monopoli dan seakan-akan monopoli, seperti bidang telekomunikasi.

Tambah beliau, 'Pasaran kewangan dan modal liberalisasi' menyebabkan bank-bank asing boleh mendapat pinjaman yang tinggi kepada mereka, dan apabila pinjaman gagal, IMF terpaksa merebakkan kerugian, yang bererti bebanan diletakkan kepada rakyat untuk membayar kepada bank asing kembali. Kemudian, sekurang-kurangnya selepas krisis 1997, beberapa bank asing yang sama diwujudkan lagi keuntungan dalam 'jualan api' (fire sales) yang IMF paksakan ke atas negara-negara yang memerlukan wang mereka. Perdagangan liberalisasi juga bererti bahawa syarikat-syarikat asing boleh menghapus perusahaan baru, menghalang pembangunan bakat keusahawanan. (Stiglitz, Joseph, 2010: 221)

Sementara itu, Michael Backman pula yang menulis buku Asia Future Shock - Business Crisis and Opportunity in the Coming Years dalam renungannya berkata, "Malaysia is in trouble. It shouldn't be."

Hal berkata demikian tentang kedudukan pengurusan kewangan Malaysia di bawah judul, 'From Malaysia Boleh to Malaysia Bodoh?' Maka, antara yang beliau sebutkan ialah berhubung cara kita mengurus kekayaan negara sebagai berikut...

"Sudahlah tidak berjaya, terlalu kerap pula Malaysia cuba membeli perhiasan kejayaan -. Bangunan tertinggi di dunia, lapangan terbang antarabangsa yang tidak perlu besar, dan sebagainya. Tetapi pada tahun 2025, satu-satunya komoditi yang banyak diguna untuk perkara ini - adalah minyak - hal ini disebabkan oleh penyusutannya pada suatu masa nanti."

Selain itu, beliau turut menyentuh pelbagai hal yang menyebabkan beberapa pelabur tidak berminat melabur di Malaysia. Antaranya termasuklah rasuah dan ketidaktelusan.

Michael Backman membentangkan keluhannya berhubung amalan ketidaktelusan yang seringkali terjadi di dalam korporat negara, iaitu "... Penggunaan syarikat-syarikat penama yang kunjung sudahnya..." Bagi menggambarkan bahawa amalan ketidaktelusan itu telah mendarah daging, maka sebuah judul kecil pun ditulis dengan kata-kata berbentuk sindiran, "Transparency? No Thank You, We are Malaysian."

Berhubung merebaknya rasuah ini, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap pimpinan negara yang tidak berupaya membanterasnya. Dalam tinjauan Transparency International, rumusan masyarakat awam terhadap badan polis sebagai berikut, "... Sebuah institusi di Malaysia yang paling korup..."

Beliau mengakhiri pendirian tentang Malaysia dengan saranan agar Malaysia membaiki institusinya, meningkatkan tahap ketelusannya, dan menghapus gangguan ke atas rasuah yang disebutnya sebagai, "...Dan yang tidak berkesudahan, adalah permintaan kecil secara tersembunyi daripada para pegawai kerajaan seperti hadiah dan habuan untuk anak saudara, sepupu dan sebagainya yang tiada kesudahannya..."

Kesimpulannya, banyak hal yang harus negara lakukan kerana komoditi minyaknya akan habis. Dengan itu, negara ini tidak boleh berterusan bergantung kepada pembiayaan Petronas. (Backman, Michael, 2008: 132 - 139).

ASAS TAWARAN ISLAM

Lantaran komoditi minyak yang semakin menyusut, maka hal terawal yang diajarkan Al-Quran adalah usaha menyelamatkan sumber komoditi itu seperti yang dijana gerakkan oleh menteri kewangan Yusuf a.s itu. Tetapi, komodoti minyak yang bakal habis itu pun belum dibereskan secara utuh lagi.

Maka, sekali lagi diingatkan bahawa manhaj ekonomi masa depan adalah gerakan iktisad yang membebaskan perut manusia daripada kelaparan. Para peniaga, pengusaha perusahaan itu pula tidak akan tertekan, risau oleh bebanan peraturan daripada penguasa yang naik ke puncak kuasa secara yang tidak terhormat. [Surah Quraisy: 4]

Dengan iktisad-siasah itulah kita dapat melihat betapa Ali k.w dan Umar r.a akan mengendong gandum ke rumah-rumah balu, janda pada waktu malam untuk membahagikan gandum sebagai usaha membunuh kelaparan di setiap rumah. (Dalam hal ini kita patut berasa insaf betapa negara masih membeli beras daripada negara luar).

Atas sebab itu juga, Yusuf a.s merumuskan ekonomi berhemah; mempertahan komoditi gandum yang bermuara daripada mimpi raja Qithfir di Mesir. Jadi, mimpi mengenai tujuh lembu gemuk berisi yang dimakan tujuh lembu kurus itu turut mementingkan hal ehwal penanaman serta kepenggunaan gandum secara berhemah. Rencana ini tentu sekali penting ketika berdepan dengan ujian tujuh musim kemarau agar rakyat tidak kelaparan. [Yusuf (12): 47 - 49]

Dan buat yang terakhirnya, seorang menteri kewangan seperti Yusuf a.s tidak terjebak dan dijebak oleh sogokan rasuah seperti yang disebutkan di dalam perenggan di atas. Maka, dengan dasar dan falsafah ekonomi yang terurus baik ditambah dengan sikap berjimat cermat dan enggan menerima sogokan, maka negara tersebut akan menjadi suci, murni dan pulih kedudukan ekonominya seperti sediakala.


RUJUKAN

Backman, Michael. 2008. Asia Future Shock -- Business Crisis and opportunity in the Coming Years. New York: Palgrave Macmillan.

Heuvel, Katrina Vandel. 2009. Meltdown -- How Greed and Corruption Shattered Our Financial System and How We Can Recover. New York: Nation Book.

Korten, David C. 2009. Agenda for a New Economy -- From Phantom Wealth to Real Wealth. San Francisco: Berrett-Koehler.

Stiglitz, Joseph. 2010. Freefall -- Free Market and the Sinking of the Global Economy. London: Allen Lane.

No comments: