Thursday, January 05, 2012

'Integriti Sunnah' menuju ke arah Negara Berintegriti

Oleh H FANSURI

"...Maka bahawasanya siapa yang hidup (lama) antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak. Saat itu berpegang teguhlah terhadap 'Sunnahku' (nabi) dan 'Sunnah' Khalifah Ar Rasyidin Al-Mahdiyyin. 
"Pegang teguhlah ia dan gigitlah ia (kedua-dua sunnah itu) dengan gerahammu..."

(Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Syahadan, setelah kita melihat Al-Quran dan Hadis sebagai sumber kesusasteraan dan persuratan Islami, maka molek jika ia diangkat sebagai sumber ilmu, akar pengetahuan yang menumbuhkan fikiran baharu dalam menyusun faham kenegaraan.

Biar kita namakan negara baharu itu negara berintegriti. Negara Berintegriti itu tentu sahaja diangkat penilaiannya ke atas ketelusan kerajaan di negara. Misalnya, jika disebut Negara Islam, tentu pemimpinnya beragama Islam sekali gus menjalankan hukum Islam.

Tapi, memadaikah hanya pemimpinnya Islam dan menjalankan hukum-hakam Islam jika mereka itu tiada berakhlak, tidak bermoral, sifar ihsan dan tidak menjunjung integriti dalam memelihara ketelusan dalam pentadbiran?

Dalam pertemuan di Hotel Shah Village pada Sabtu 3 Disember, Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu telah diundang memberikan penerangan di kepada kira-kira 30 revolusioner berhubung Negara Berintegriti.

Pada masa sama, berlangsung Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) yang menyaksikan Umno belajar bai'ah dan cuba melafazkan sumpah ikrar bai'ah kepada Najib. Dahulu, bai'ah PAS dikritik hebat oleh Umno. Kini Umno memanfaatkannya.

Dalam kutukan itu pun, banyak yang Umno belajar daripada PAS. Umno tidak buat bai'ah bukan sebab bai'ah itu salah, tapi sebab Wahabi Literalis Umno tidak mendidik mereka cara berbai'ah guna melicin lancarkan lagi kezaliman Umno itu.

Umno akan buat apa juga demi kemenangan. Umno tabur dedak janji, menjala budi dan memukat undi. Janji Hudud tergendala sebab Umno bertuhankan MCA, dan MCA bertuhan ekonomi. 
Kata, Soi Lek pada Ahad baru-baru ini dalam Forum Hudud di Wisma MCA, "Jika Hudud dibuat maka para pelabur akan lari." Soi Lek ini murid yang diasuh di bawah bumbung madrasah sekular pimpinan Dr Mahathir, lalu ajaran ini tertanam di kepalanya sejak sekian lama.

Maka, satu-satunya hal yang PAS boleh lakukan di peringkat peribadi adalah memelihara ketelusan. PAS boleh isytihar harta, boleh diajak runding bicara, bersoal-jawab mengenai berapa jumlah hasil kekayaan yang dikumpul mereka.

Inilah yang boleh dilakukan tanpa wujud perang bersama MCA dan Umno dalam isu Hudud. Inilah wacana integriti. Lalu, ada seseorang bertanya, "Mesti ada istilah dalam Melayu atau Arab. Tidak mungkin Islam tiada istilah bagi menterjemah integriti itu sebagai apa?"

Hujahnya, jika tiada istilah, maka sulit hendak angkat tema Negara Berintegriti. Maka, ada yang menyebut integriti itu 'ihsan'. Ada yang mempertalikan ia kepada 'akhlak', 'ketelusan', kewibawaan' dan pelbagai ungkapan lagi.

Saya teringat hadis di mana nabi menyeru umat berpegang kepada sunnahnya dan sunnah khalifah ar-Rasyidin al-Mahdiyyin. Najib Razak berpesan agar ketaatan kepadanya dan Umno diberikan saat membuang undi dalam pilihan raya itu. Kata Najib, taatlah seperti kita gigit dengan gigi geraham.

Jadi, sunnah dalam hadis di atas tidak menoleh kepada faham sunnah bersifat keperibadian, misalnya jubah serban, tetapi ia sunnah kenegaraan. Ini biar kita namakan 'sunnah pemerintahan'.

Dalam Reformasi 1998, Dr Siddiq Fadhil mendengungkan Reformasi Islah bagi membezakan Reformation dalam acuan Barat. Maka, antara ihsan, akhlak yang disebutkan pada pagi itu, tiada pun yang menyebut 'sunnah', padahal asasnya telah ada sedia tertuang dalam hadis di atas.

Syahadan dengan ini saya mengesyor agar dijalinkan kata Inggeris; 'Integriti' dengan kata Arab Islami; 'Sunnah' menjadikan ia sebagai 'Integriti Sunnah'. Wallahu'alam..

No comments: