Friday, January 06, 2012

Masa depan PAS, antara pelaksanaan Hudud dan Integriti Sunnah

Oleh BOESTAMAM SARI

Sebenarnya, dalam ucapan penolakan hukum Hudud di dalam Forum Hudud pada 4 Disember lalu di Wisma MCA, Presiden MCA Chua Soi Lek bukan tidak memberi perangkaan. 
Katanya, pasaran saham akan jatuh antara 10 ke 20 peratus jika Hudud dilaksanakan sekali gus ia akan mengundang kesan ke atas kewangan para pelabur tempatan. Kenyataan ini masih boleh disanggah debat lagi oleh rakyat revolusioner yang tiada apa-apa kepentingan.

Yang tak akan mendebatkannya adalah Umno saja sebab mereka khuatirkan undi MCA akan lari dan parti akan bertindak keluar jika Umno melaksanakan Hudud ini. Perlahan-lahan, umat mula faham hakikat keretakan 'Tauhid' dalaman Umno gara-gara bersujud melutut kepada 'wahyu' MCA.

Rakyat sedar Umno telah bertuhankan MCA, kerana Umno dalam ketakutannya, telah pun menolak Hudud walaupun mereka mengakui bahawa Hudud itu sebenarnya hukum Tuhan. MCA pula, sebagai kapitalis telah bertuhankan wang dan kemakmuran ekonomi.

Kedudukan MCA bertuhankan wang ini jelas tertera lewat ucapan Soi Lek bahawa para pelabur di Malaysia akan lari jika hudud dilaksanakan. Sebetulnya kata-kata Soi Lek ini pun terbit hasil daripada tarbiah guru besar mereka; Dr Mahathir di bawah kepemimpinan madrasah sekular beliau selama 20 tahun.

Sesetengah orang pernah bertanya juga, apakah mungkin penolakan Soi Lek ini terbit lantaran hadir secalit kerisauan yang berkocak di samudera hati Soi Lek kalau-kalau dia ditangkap kerana berzina, lalu dia akan dihukum rejam di bawah undang-undang Islam itu. Entahlah.

Tetapi, bukanlah ini sebenarnya yang dibimbangi oleh Soi Lek dan MCA itu. Soi Lek sendiri tertipu dengan dirinya sendiri apabila menyatakan Hudud akan mengundang kejatuhan ekonomi negara akibat pelabur akan lari. Yang sebenarnya, pelabur bukannya berurusan pun dengan pengamal Hudud itu.

Pelabur akan berdepan dengan ahli-ahli perniagaan. Mereka ingin bermuamalah dengan insan-insan yang ada ketelusan, berintegriti dalam perdagangan dan perniagaan. Orang mahukan kepercayaan terhadap pelaksana undang-undang seperti mana para peniaga ingin berdagang dengan peniaga yang ada sikap integriti dalam mengelolakan perdagangan di sesebuah negara itu.

Lojiknya, ada hubungan apa ahli perniagaan dengan Hudud itu? Peniaga akan hanya lari apabila negara itu mengenakan cukai yang tinggi dan segalanya berkait dengan dasar-dasar ekonomi di sesebuah negara itu. Jadi, sekali lagi, hubungan itu tiada kaitan kena-mengena dengan hukum Hudud.

Ditinjau daripada sudut ini, maka sewajarnya Umno mengetengahkan pakar ekonomi Islam Umno bagi menjawab Soi Lek, lalu meyakinkan beliau bahawa pandangannya berhubung ekonomi itu adalah salah. Antara yang menyanggah kenyataan Soi Lek itu dalam Forum Hudud adalah Syed Hassan, Setiausaha Agung Perkasa. Tapi, sanggahan itu tidak kuat kerana, Perkasa menyebut bahawa NGO itu akan memberi pengajaran buat MCA dalam pilihan raya kelak.

Sepatutnya amaran itu perlu dibuat secara jelas dan bernada khusus, tidak boleh Syed Hassan melafazkannya secara umum. Syed Hassan misalnya perlu bertegas bahawa ahli-ahli Perkasa tidak akan mengundi calon-calon MCA dalam pilihan raya kali ini jika mereka menolak hukum Hudud itu.

Inilah baharu disebutkan sebagai paluan kata yang cukup keras. Tapi MCA pun tidak gentarkan sangat kepada Perkasa sebab mereka memahami bahawa Perkasa akan mengundi MCA juga akhirnya, setelah Najib dan Muhyiddin menyergah marah kepada Perkasa nanti. Lagipun sumpah bai'ah telah dibuat.

Apabila sumpah bai'ah telah dibuat, adakah Syed Hassan, Perkasa dan ahli-ahli Umno akan berani mengundi selain daripada MCA dan Umno sendiri. Ini suatu pertanyaan yang mesti dijawab secara jujur juga oleh semua ahli Umno.

Sementara itu, hujan Syed Hassan juga tidak betul-betul kuat dan kemas nampaknya. Umpamanya, ketika menolak hujah Soi Lek, Setiuasaha Agung NGO Perkasa itu berkata, jika dilaksanakan hudud sebenar, maka telah pasti akan membawa banyak pelabur dari luar melabur di Malaysia. Soalnya dari mana beliau tahu pelaksanaan hudud sebenar itu menyelesai masalah ekonomi, walhal beliau sendiri belum dapat melihat pelaksanaan Hudud sebenar itu.

Dan, kenyataan Syed Hassan ini pun diragui. Ini kerana, hukum Hudud sama ada ia terlaksana atau pun tidak, maka pada hakikatnya, pelabur sebenarnya akan berdagang lantaran kedudukan integriti para pemimpin di sesebuah negara berkenaan.

Hal inilah yang sepatutnya diperjuang oleh PAS dalam tempoh-tempoh sekarang, iaitu meningkatkan integriti dalam usaha menegakkan sunnah di dalam pentadbiran negeri mereka sendiri (khususnya di Kelantan dan Kedah) sebelum mereka menyempurnakan integriti (sunnah) dalam pentadbiran Malaysia selepas berjaya menggulingkan Najib Razak di Putrajaya kelak.

No comments: