Wednesday, February 22, 2012

Harussani, Hassan harus luruskan aqidah Najib


Oleh BOESTAMAM SARI

Seperti yang disebutkan Hassan Ali, aqidah adalah penting dalam kehidupan. Doa Hassan dalam menangis sendu sebaknya di atas pentas itu barangkali sudah didengari dan diaminkan para penduduk di langit agaknya. Maka, tibalah Thaipussam dan Najib Razak pun pergilah ke upacara agama itu.

Kembali kepada Najib, penganut Hindu tidak tahu pantang-larang Islam yang menganjurkan Muslimin tidak menghadiri upacara agama lain. Melainkan kenduri, rumah terbuka yang tidak dikenakan apa-apa simbol dan bacaan mantera yang berkaitan upacara keagamaan itu.

Khalifah Umar al-Khattab telah dipelawa seorang gerejawan, paderi untuk bersolat di dalam gereja di Palestin tapi sahabat baginda s.a.w menolak.

Melihat keadaan hari ini, sepertinya tiada apa lagi yang dapat diharapkan daripada Hassan Ali dalam hal membela aqidah umat Islam. Kempen-kempen jelajah Malaysia kelihatan tidak banyak menoleh perhatian ke arah kedudukan aqidah Najib yang terjerumus ke jurang kebinasaan.

Daripada suatu segi, Mufti Perak Harussani Zakaria tidak boleh dipersalahkan kerana beliau sudah membangkitkan teguran itu. Tapi, tugas mufti tidaklah selesai di situ. Harussani mesti bergabung dengan Hassan untuk menegur Najib hingga beliau memohon ampun kepada Tuhan.

Dalam kenyataan terdahulu, Mufti Perak berkata, hal larangan ke atas Najib agar tidak menghadiri upacara keagamaan selain Islam ini telah lama beliau tegur. Tapi, Najib seperti memandang sepi larangan mufti.

Dengan rancaknya amanah baharu Hassan, nampaknya tugas mufti tidak tamat sekadar mengeluar kenyataan. Harussani tidak boleh berkata, "Saya dah lama tegur, tapi jika dia tak peduli, maka terpulanglah kepada Najib."

Ayat '...maka, terpulanglah kepada Najib...' dari lidah mufti tidaklah sama dengan sikap Imam Abu Hanifah yang pertahan pendiriannya bahawa al-Quran adalah Kalamullah dan bukan makhluk. Hanya kerana itu, Abu Hanifah dipenjarakan khalifah.

Jadi, perkataan '... telah saya tegur, tapi kalau Najib tidak peduli juga, maka terpulanglah..." itu, rasanya belum menyelamatkan beliau, dan mufti lainnya daripada azab Tuhan.

Pada era ini Hassan telah mengisytihar dirinya sebagai penggerak Jati yang mahu menjadi kuasa ketiga. Jadi kenapa Harussani masih enggan bergabung suara berpadu tenaga dengan Hassan dalam usaha memurnikan aqidah Najib?

Rakyat ingin melihat bukti, adakah benar Hassan benar berjuang memurnikan aqidah rakyat termasuk aqidah Najib? Kita semua pasti diuji. Dan, mungkin Tuhan gerakkan hati Najib ke upacara keagamaan itu bagi menguji Harussani, Hassan Ali dan muslimin seluruhnya yang berhimpun di acara HIMPUN itu.

Jika Harussani tidak berucap di pentas yang sama dengan Hassan bagi menyuarakan teguran ke atas aqidah Najib Razak, maka di akhirat nanti, mungkin Allah membuat bandingan antara Harussani dengan Imam Abu Hanifah yang menegur aqidah penguasa dalam isu al-Quran adalah makhluk. Abu Hanifah rela dipenjarakan pemerintah. Adakah Harussani dan Hassan mencapai martabat itu?

Belajarlah daripada sejarah dan semak betul-betul, teliti sesungguh hati ke atas segala sikap ulama dahulu yang dipenjara, mati dibunuh sebab berjuang mempertahan aqidah umat termasuk menegur aqidah khalifah yang tempang pincang itu.

Masih ada yang teringat betapa Hassan Ali masuk PAS kerana aqidah Umno rosak. Dia bersama PAS untuk menegak negara Islam dan membela aqidah.

Lalu, dalam sekelip mata, selepas Hassan dipecat, tiba-tiba beliau menyeru rakyat agar tidak mengundi Pakatan Rakyat atas pesan Ketauhidan. Rupanya Umno sudah menjalankan kempen pilihan raya lebih awal atas nama agama lewat khidmat Hasan Ali.

Bukan sedikit yang mempertikai sikap Hasan dalam hal merumus keputusan ke atas rakyat sama ada mahu mengundi BN atau Pakatan Rakyat. Tapi, apa yang perlu dilakukan lagi, melainkan terpaksa menjadi pemantau Hassan daripada semasa ke semasa kalau beliau beraksi di luar batasan. 
Kini masanya tiba. Rakyat menunggu adakah Hassan akan bersama Harussani untuk meluruskan aqidah Najib yang pincang itu.

No comments: