Thursday, February 02, 2012

Puisi memuji nabi sempena Maulid Nabi makin pupus?

Syair puji nabi terus hidup!
Oleh H FANSURI

Setelah A Samad Said muncul dengan 'kitab' puisi panjang dengan judul Al-Amin, rasanya kita ketandusan nazam, gurindam dan sajak yang memuji nabi. Tradisi memuji nabi yang terawal telah dibangunkan oleh penyair Rasulullah s.a.w; Hassan bin Tsabit r.a.

Hassan bin Thabit adalah sahabat yang dikasihi baginda. Beliau penyair terawal yang bermadah indah untuk memuji baginda. Beliau penyair keagamaan pertama yang mengguna banyak ayat al-Quran di dalam rangkaian bait syair gubahannya.

Beliau menjadi penyair Islam pertama sekali gus pembela nabi dengan syairnya. Gubahan syair dalam rangka pembelaan rasul itu mengandungi banyak rujukan terhadap peristiwa lalu yang amat berguna dalam usaha merakam detik peristiwa bersejarah dalam tempoh dakwah baginda.

Gubahan syair Hassan bin Thabit memainkan peranan penting dalam menyebar dakwah Nabi s.a.w, apatah lagi bangsa Arab ini dikenali sebagai bangsa penyair dan kegiatan kepenyairan ini adalah bahagian penting dalam kebudayaan Arab kala itu.

Gubahan syair Hassan bin Thabit ini masih dilihat sebagai gubahan terindah dalam memuji Rasulullah s.a.w hingga kini. Berikut adalah antara terjemahan ke atas syair Hassan bin Tsabit yang diterjemah secara longgar.

    Dialah cahaya dan kebijaksanaan yang kita ikuti,
    bagindalah penglihatan dan pendengaran yang keduanya hanya bagi Allah,
    demi Allah, tiada lagi wanita yang akan hamil dan melahirkan anak
    seperti watak Rasul, dan Nabi sebagai Panduan kepada umat-Nya.
    tiada juga Allah menciptakan lagi manusia seperti ini dalam kalangan makhlukNya,
    bagindalah yang paling setia terhadap kehadiran-Nya atau janji-Nya
    dibanding mereka yang hadir mengirim cahaya kepada kami.
    direstui Tuhanlah ke atas amalannya, dengan adil dan teguhnya,
    wahai insan terbaik, walau aku terendam di dalam sungai,
    tetapi kini, tanpamu, aku jadi kesepian dalam dahagaku.


Dalam sebuah syair lain, Hassan bin Thabit r.a bermadah...

    Pabila kumelihat cahayanya bersinar dengan sebagainya,
    dalam ketakutan, aku menudung mataku dengan telapak tanganku,
    aku jadi takut dengan penglihatanku lantaran keindahan bentuknya.
    maka aku hampir-hampir tidak mampu melihatnya sama sekali.
    cahaya dari cahayanya tenggelam dalam cahayanya
    dan wajahnya memancar bagai mentari dan bulan dalam kesatuan.
    ruh cahaya jadi terkurung di dalam tubuh bagai rembulan,
    (ia bagaikan) jubah yang dirangkai daripada gugusan bintang yang bersinar garang.
    aku biarkannya hingga aku tidak sanggup menahannya lagi.
    aku melihat rasa sabar ini berubah menjadi gaharu pahit.
    aku tidak mampu mencari penawar demi kebebasanku sendiri
    melainkan aku gembira dengan penglihatan yang aku sukai.

    Walau dia tidak membawa satu petanda jelas bersamanya,
    kedudukan baginda akan melebihi kedudukan yang lain.
    Muhammad itulah insan tapi baginda tidak seperti insan lain.
    sebaliknya, bagindalah berlian sempurna dan seluruh umat manusia hanyalah batu-batu.
    salam hormatlah ke atasnya semoga Allah akan memberi rahmat kepada kita semua
    iaitu pada hari yang membahang saat neraka mengaum melantunkan percikan api.


Tamatlah sedikit terjemahan syair Hassan bin Tsabit yang agak longgar itu. Apa pun, kedua-dua syair yang memuji nabi ini mengesahkan betapa Islam membenarkan pengembangan bakat dan kebolehan yang berbeza selagi mereka mempertahan Allah dan Rasul-Nya. 

Rasulullah amat gembira dengan Hassan bin Thabit r.a hingga baginda memerintah agar diperbuat mimbar untuk Hassan berdiri di atasnya apabila beliau mahu mendeklamasi syairnya.

Baginda s.a.w mendoakannya dengan berkata bahawa Jibril a.s akan membantunya selagi mana beliau mempertahan Allah dan Rasul-Nya. Diriwayatkan Hassan bin Thabit Al-Ansari, katanya, aku bertanya Abu Hurairah, "Demi Allah! Beritahu aku mengenai kebenaran, apakah kau dengar baginda berkata...

"Wahai Hassan! Jawablah (serangan mereka) mewakili Rasulullah. Wahai Tuhan! Bantulah dia dengan Ruhul Qudus." Abu Hurairah berkata, "Ya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Selain Hassan, salah seorang daripada tiga penyair Rasulullah s.a.w adalah Abu Abdillah atau Ka'ab bin Malik bin Amr bin Qain Al-Anshari As-Salami Al-Khazraji. 

Beliaulah salah seorang penyair terkemuka Rasulullah s.a.w. Mengenai syair Ka'ab, baginda pernah menyatakan kepada Ka'ab; "Kamu benar-benar menggubah syair yang amat bagus," dan "Sungguh syairmu ini lebih dahsyat daripada tikaman anak panah".

Ketika turun firman Tuhan; "Dan ahli-ahli syair itu, diturut golongan yang sesat..." (Asy-Syu’ara : 224), Ka'ab jadi gelisah. Beliau segera menemui baginda dan bertekad berhenti menggubah syair kerana takut kesalahan syairnya mengenai kebenaran sirah Rasulullah s.a.w.

Lalu, baginda memujuk Ka'ab dengan sabdanya, "Seorang mukmin itu dapat berjuang dengan pedang dan lisannya."

Oleh kekuatan gaya penceritaan Ka'ab bin Malik ini, maka kesan keberkatannya mengalir tercurah hingga ke hari ini. Pementasan teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' contohnya, telah menunjukkan betapa Ka'ab mempunyai gaya penceritaan seperti penglipur lara yang sungguh kental spiritual. 

Beliau handal bercerita hingga wujud hadis terpanjang dirakam dalam Sahih Al-Bukhari. Keberkatan tercurah lewat pementasan teater ini hingga ia tidak menjemukan!

Demikianlah secebis kisah bagaimana para sahabat Rasulullah s.a.w telah menggunakan sastera dan persuratan demi mempertahan agama Islam, Allah dan Rasul-Nya. 

Muhasabah ini sungguh baik untuk dibanding dengan hasil kerja gubahan sajak kita selama ini. Berapa banyakkah sajak Melayu (Muslim) mutakhir ini yang menuang pesan-pesan sehingga berkesan demi kebaikan ajaran Tuhan?

Zaman berganti, lalu tradisi Maulud Nabi seterusnya diperindah dengan amalan sajak puisi berzanji dan qasidah. Jadi, ini bukanlah bid'ah, tetapi sunnah. 

Buktinya, Nabi s.a.w meraikan Hassan bin Tsabit mendeklamasikan sajak, syair yang memuji rasul dan mempertahan Islam sehingga ada mimbar khusus untuk Hassan bin Tsabit bersyair. Jadi bid'ahkah amalan berzanji dan berqasidah sementelah isinya turut memuatkan pujian ke atas Tuhan dan Nabi ini?

Melihat ini semua, kadangkala saya tertanya sendiri, adakah kepengarangan ketika menuliskan bait-bait memuji Nabi s.a.w di dalam 'kitab' puisi Al-Amin misalnya telah didokong Jibril? 

Dan adakah kepenyairan Melayu (Muslim) pasca moden telah pun berhenti memuji rasul setelah terbitnya 'kitab' puisi Al-Amin, gubahan A Samad Said ini?

No comments: