Friday, February 03, 2012

Kisah panjang PPSMI yang masih menyengat kita


Oleh H FANSURI

Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) baru selesai menutup tirainya. Serentak itu Festival Deklamasi Puisi di Pulau Pangkor pun tamat sudah. Terbaru, persatuan penulis menjemput Perdana Menteri Najib Razak untuk makan malam.

Alasan mereka saya terima secara peribadi - ingin selamatkan Rumah Pena dan lain-lain perkara.Nampaknya tahun ini, Disember kita ditutup dengan su'ul khatimah (kesudahan yang buruk).

Kini telah masuk Safar dan permulaan kita disambut dengan hal-hal yang memenatkan. Saya masih teringat ketika saya bentang kertas kerja dahulu dalam PPMN ke-2 di Melaka.

Ketika itu, para penulis berasa khuatir hendak menyuarakan bantahan ke atas isu PPSMI. Mungkin mereka takut digelar sebagai pembangkang. Tapi saya redah juga. Saya agak bersikap biadap juga. Selepas menyelar Najib Razak, saya minta resolusi PPMN ke-2 bersuara keras ke arah pemansuhan PPSMI.

Barangkali ada orang terkilan juga agaknya. Tetapi, kita perlu menyinggung perasaan orang untuk kebaikan semua. Sebenarnya, pada 2005, ada sebuah perhimpunan yang disusun di Kolej Era Baru di Kajang. Ia anjuran pertubuhan Dong Jiang Zong (DJZ) yang diketuai oleh Dr Yap Sin Tian (Yassin Tani).

Pada ketika itu, sudah ada anjuran di pihak kerajaan yang meminta agar PPSMI itu turut dikembangkan di sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil juga. Lalu pertubuhan DJZ ini telah memanggil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan Melayu, Cina dan India untuk menentang PPSMI ini.

Pertemuan itu juga bermaksud memanggil persetujuan semua Melayu, Cina dan India bersatu menentang PPSMI. Malangnya, yang hadir menjadi wakil Melayu hanya seorang, iaitu Ahmad Lutfi Othman. Saya antara yang turut ikut menemani beliau ketika itu.

Dalam PPMN ke-2, saya menyeru hadirin agar bangkit menentang PPSMI dengan sepenuh kekuatan. Dan hari ini PPSMI masih berbolak-balik di atas lidah Muhyiddin Yassin. Saya kehabisan kata-kata. Akhir kata, pesan saya - buatlah yang terbaik demi bahasa Melayu.

Ini kerana, bahasa Melayu itu bahasa Islam kedua terbesar di dunia selepas bahasa Arab, demikian menurut Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

No comments: